Sekolah Menengah Sains Dungun atau nama ringkasnya SMSD, merupakan sebuah
Sekolah Berasrama Penuh yang terletak di Jalan Paka, Dungun, Terengganu.
Pada 2009, Sekolah Menengah (Sains) Dungun memiliki 317 pelajar lelaki dan 271 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 588 orang. Ia mempunyai seramai 69 orang guru.2009
Sejarah
SMSD terletak di kawasan seluas 47.048 ekar di Mukim Sura Tengah, Daerah Dungun, Terengganu. Kerja-kerja pembinaan sekolah ini telah bermula pada bulan Januari 1980 dan siap pada Jun 1982.
Pada 1 Mei 1982, beberapa orang kakitangan guru dan bukan guru telah ditempatkan di sekolah ini sebagai persediaan untuk memulakan sesi persekolahan. Akhirnya pada 15 Ogos, 1982 Sekolah Menengah Sains Dungun dengan rasminya memulakan sesi pengajiannya. Kumpulan pertama murid yang mendaftarkan diri pada 12 Ogos 1982 adalah seramai 450 orang iaitu terdiri daripada murid-murid Tingkatan I, IV dan VI Rendah. Sejak tahun 1982 sehingga sekarang sekolah ini telah mengalami pertumbuhan dan perkembangan yang pesat dari segi enrolmen murid, bilangan kelas, guru dan kakitangan bukan guru.
Selari dengan ledakan teknologi maklumat, Sekolah Menengah Sains Dungun telah disenaraikan sebagai salah sebuah sekolah projek rintis Sekolah Bestari yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1999. Sehubungan dengan itu, pelbagai kemudahan teknologi maklumat disalurkan ke sekolah ini bagi meningkatkan kualiti pengurusan pentadbiran serta pengajaran dan pembelajaran.
Kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai dalam aspek pengurusan dan kemenjadian murid akhirnya mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia apabila Sekolah Menengah Sains Dungun dianugerahkan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan bagi fasa ke-6 pada tahun 2012 dengan Matematik dan hoki sebagai bidang kebitaraan sekolah. Dengan pengiktirafan yang diberikan, Sekolah Menengah Sains Dungun dapat meneruskan agenda kecemerlangan pada masa hadapan agar misi sekolah untuk mencapai Sekolah Berprestasi Tinggi akan menjadi realiti.
Pada tahun 2020, pihak pengurusan sekolah telah sepakat untuk menukar nama singkatan sekolah daripada SMSD kepada SEMESDI yang merupakan singkatan kepada Sekolah Menengah Sains Dungun Darul Iman
Pada akhir tahun 2020, singkatan SEMESDI sudah tidak digunakan lagi di atas beberapa faktor dan dikembalikan singkatan yang lama iaitu SMSD yang merujuk kepada Sekolah Menengah Sains Dungun sehingga kini.
Senarai Pengetua Sekolah
Nama
Tempoh Berkhidmat
TUAN HAJI SHAMSUDDIN BIN MOHIDIN
01.05.1982 – 31.03.1986
ENCIK AMAT BIN ABSAH
01.04.1986 – 31.12.1987
TUAN HAJI ABDUL RAHMAN BIN ABDULLAH
01.01.1988 – 15.06.1993
TUAN HAJI ABDUL MOEIN SKYMMAR BIN ABD WAHAB
16.06.1993 – 15.07.1998
TUAN HAJI A.SHAARY BIN CHEEK
16.07.1998 – 15.08.2000
TUAN HAJI MAHAMUD BIN OMAR
16.08.2000 – 31.10.2007
PUAN ANISAH BINTI SARMADI
05.03.2008 – 10.4.2013
ENCIK MOHD ALIZIYAD BIN ABAS
16.05.2013 – 01.07.2018
PUAN HAJAH NOOR MAZIAH BINTI A.RAHMAN
02.07.2018 – 15.07.2020
PUAN ROSLINA BINTI ABD AZIZ
01.09.2020 – 07.06.2021
TUAN HAJI SULAIMAN BIN NGARIF
01.07.2021 – 09.12.2021
DR. MAZNI BINTI SALLEH
16.01.2022 – 02.03.2024
CHE MOHD YUSRI BIN CHE HASHIM
03.03.2024 – KINI
Misi ,Visi dan TAG Line
Misi
Melonjakkan Prestasi Sekolah Melalui Pendidikan Berkualiti Bagi Melahirkan Modal Insan Terbilang
Visi
SBP Terbilang, Peneraju Pendidikan Berkualiti
TAG Line
Sepakat Menjulang Sains Dungun
Falsafah Sekolah
Berusaha mewujudkan suasana persekolahan yang terancang dan sempurna supaya pendidikan dapat memperkembangkan potensi murid-murid secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang sempurna
Bulatan melambangkan semangat kerjasama antara guru dengan pelajar manakala bentuk tajam di bahagian atasnya menunjukkan penggembelengan tenaga antara guru dan pelajar untuk mencapai kejayaan
Buku
Buku merupakan sumber ilmu sekolah ini yang melambangkan sebagai tempat untuk menimba ilmu pengetahuan. Tahun yang dicatatkan menunjukkan sekolah ditubuhkan pada tahun 1982 Masehi bersamaan dengan tahun 1402 Hijrah.
Empat lingkaran Cincin Berkait
Melambangkan empat buah rumah sukan. Cincin berkait melambangkan perhubungan dan semangat berkerjasama dalam bidang sukan dan menjadikan sekolah ini sebagai institusi yang bersatu padu.
Simbol Sains dan Teknologi
Melambangkan sekolah ini adalah dalam jurusan sains
Obor
Tenaga pendidik yang berwibawa menjadi penerang kepada pelajar-pelajar untuk mencapai kecemerlangan
Bendera Negeri Terengganu dan Jalur Gemilang
Sekolah Menenengah Sains Dungun merupakan sekolah Berasrama Penuh (Sekolah Persekutuan) yang terletak di Negeri Terengganu, Malaysia
Bendera Rasmi SMSD
Warna
Merah : Melambangkan berani menempuh cabaran untuk menuju kejayaan dalam semua bidang dan sentiasa bercita-cita tinggi
Kuning : Melambangkan perpaduan antara masyarakat SMSD
Biru : Melambangkan hidup dalam keadaan yang harmoni, pelajar-pelajar yang berbilang bangsa dan datangnya dari pelbagai-bagai negeri bersatu padu dalam usaha meraih kejayaan
Putih : Tanda kesucian rohani dan jasmani yang melahirkan keikhlasan, kejujuran dan sifat-sifat terpuji dalam segala tindakan
Lagu Sekolah
Belajar tekun dan berusaha,
Itulah hasrat kami semua,
Berdisiplin dan amanah setia,
Bersatu aman sejahtera.
Belajar tekun dan berusaha,
Berbakti pada bangsa dan negara
Menjunjung perintah agama mulia,
Menghormati guru dan keluarga.
Belajar tekun dan berusaha,
Menjaga maruah agama dan bangsa,
Berbakti berbudi dan berjasa,
Lambang rakyat Malaysia jaya!!
Rumah sukan
Para teknokrat SMSD dibahagikan kepada 4 buah rumah sukan. Penempatan pelajar di asrama juga adalah mengikut rumah sukan. Sememangnya suatu tradisi bagi setiap pelajar mempunyai semangat rumah dan bersaing untuk menjulang rumah masing-masing dalam akademik, ko-kurikulum, sukan dan sebagainya. Rumah-rumah ini mempunyai satu matlamat iaitu untuk dinobatkan sebagai Rumah Terbaik pada Malam Apresiasi setiap tahun.
Rumah sukan dinamakan berdasarkan tokoh ternama Terengganu pada zaman dahulu:
Blok A (Tun Telanai)
Blok B (Bentara Yusof)
Blok C (Megat Kembar Ali)
Blok D (Megat Panji Alam)
Pencapaian
Mendapat anugerah Sekolah Cemerlang peringkat Negeri Terengganu pada tahun 2006 dan 2008.
Dianugerahi gelaran Sekolah Kluster kecemerlangan pada tahun 2012.
Alumni
Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun (Exsemesdians) telah di tubuhkan pada tanggal 14 Jun 2005. Alumni telah didaftarkan di Pejabat Pendaftar Pertubuhan di Kuala Terengganu. Penubuhan alumni ini adalah hasil cetusan idea dan perbincangan yang telah diadakan di Dewan Besar SMSD pada 1 Mei 2005 dengan dihadiri oleh 70 orang bekas pelajar SMSD.
Nama Persatuan : Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun (Exsemesdians)
Alamat Berdaftar :
Sekretariat Ex-Semesdians
d/a Sekolah Menengah Sains Dungun
23000 Dungun
Terengganu