Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (Jawi: ڤنتدبيرن اءيروناءوتيک دان اڠکاس لڤس کبڠساءن اميريکcode: ms is deprecated ) atau singkatannya NASA (Jawi: ناساcode: ms is deprecated ) merupakan badan pemerintah Amerika Syarikat yang bertanggungjawab mengelola dan mentadbir program angkasa lepas dijalankan di negara tersebut. Badan ini ditubuhkan pada 29 Julai 1958 hasil pelaksanaan Akta Aeronautik dan Angkasa Lepas.[5] Perbelanjaan tahunan bagi tahun fiskal 2007 (FY2007) berjumlah AS$ 16.8 bilion.[6] NASA secara umumnya dirujuk sebagai agensi angkasa lepas yang terulung diseluruh dunia, walaupun kebanyakan teknologinya (seperti kapal angkasa bolak balik) tidaklah baru mahupun "berteknologi tinggi".
Selain dari program angkasa lepas, NASA juga bertanggungjawab terhadap penyelidikan aeroangkasa ketenteraan dan awam jangka panjang. Sejak Februari 2006, kenyataan misi NASA ialah "merintis masa depan dalan penjelajahan angkasa lepas, penemuan saintifik dan penyelidikan aeronautik."[7] Moto badan ini ialah per aspera ad astra, suatu ungkapan bahasa Latin yang bermaksud "menuju ke bintang melalui kesukaran."
Berikutan pelancaran program angkasa Soviet melalui satelit buatan manusia dunia yang pertama (Sputnik 1) pada 4 Oktober 1957, perhatian Amerika Syarikat tertumpu ke arah usaha-usaha angkasa lepas mereka sendiri. Kongres negara tersebut merasakan bahawa penemuan baru dalam projek tersebut mampu mendatangkan ancaman kepada kepimpinan keselamatan dan teknologi mereka (dikenali sebagai "Krisis Sputnik") lalu ahli-ahlinya menggesa tindakan segera dilakukan; Presiden Dwight D. Eisenhower serta para penasihatnya pula memberi perhatian terhadap tindakan yang lebih drastik. Perdebatan yang berlangsung selama beberapa bulan membuahkan ilham perlunya suatu agensi persekutuan bagi mengendalikan kegiatan bukan ketenteraan negara ini di angkasa lepas.