Pemerdagangan manusia

Pemerdagangan manusia adalah perdagangan dan perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara haram, termasuk aktiviti buruh secara sah dan secara paksa. Istilah ini digunakan dalam konteks lebih sempit oleh kumpulan advokasi untuk merujuk kepada perekrutan, pengangkutan, perlindungan, atau pengambilan manusia bagi tujuan perhambaan, pelacuran, dan buruh paksa (termasuk melalui ikatan hutang).

Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan. Bagi kanak-kanak, ekploitasi termasuk untuk tujuan pelacuran, pengambilan anak angkat antarabangsa yang tidak sah, perkahwinan kanak-kanak, atau pengambilan kanak-kanak sebagai tentera, pengemis dan tujuan permainan, atau untuk tujuan kegiatan keagamaan.

Pemerdagangan manusia di Malaysia

Menurut Pemerdagangan Manusia 2011 keluaran kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Malaysia menjadi negara destinasi bagi banyak imigran dari luar negara khususnya dari Indonesia, Nepal, India, Thailand, China, Filipina, Burma, Kemboja, Bangladesh, Pakistan, dan Vietnam dengan tujuan untuk mencari peluang ekonomi yang lebih besar.

Sesetengah imigran yang dibawa masuk ke Malaysia dipaksa bekerja secara paksa atau bekerja kerana terikat dengan hutang kepada majikan, agen pekerjaan, atau perekrut buruh tidak formal. Ramai pesalah pemerdagangan manusia di Malaysia adalah dari kalangan ahli perniagaan, ia juga didalangi oleh sindiket jenayah terancang yang besar. Sejumlah besar wanita muda direkrut untuk bekerja di restoran dan hotel di Malaysia, yang mana sesetengah mereka datang dengan menggunakan visa “Pegawai Perhubungan Pelanggan,” namun kemudian dipaksa untuk bekerja dalam industri seks komersial di Malaysia.

Kebanyakan syarikat Malaysia yang merekrut tenaga buruh mengambil buruh berlebihan dari Bangladesh, Vietnam dan negara-negara lain. Buru-buruh ini ditahan di gudang-gudang atau lokasi-lokasi lain dan diserahkan kepada majikan yang tidak bertanggungjawab yang memaksa pekerja-pekerja ini menjadi buruh paksa. Ramai pekerja asing di ladang, tapak pembinaan, kilang tekstil, dan mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia menghadapi amalan-amalan berupa pemerdagangan manusia seperti sekatan ke atas pergerakan, penipuan dan fraud dalam pembayaran gaji, perampasan pasport, atau ikatan hutang oleh ejen atau majikan mereka. Perampasan pasport oleh majikan dilakukan secara meluas, dan terdapat laporan bahawa majikan membuka akaun bank bersama sebagai satu bentuk kawalan ke atas pekerja. Pekerja yang melaporkan teraniya memberitahu bahawa majikan mereka mengawal mereka dengan mengancam untuk menyerahkan pasport bekerja kepada pihak berkuasa imigresen di mana majikan akan mendakwa bahawa pekerja itu telah melanggar syarat-syarat kontrak pekerjaan mereka, jika bersalah boleh mengakibatkan pembatalan visa dan seterusnya pengusiran. Sesetengah majikan di Malaysia dilaporkan tidak membayar gaji pembantu rumah asing mereka selama 3 hingga 6 bulan. Ia dibuat atas alasan sebagai bayaran balik kepada agensi pengambilan pekerja dan ikatan hutang lain yang dikenakan ke atas majikan. Ada juga kes dimana majikan secara tidak sah menahan gaji pekerja secara eskrow sehingga tamat kontrak. Ini menjadikan pekerja terus bekerja kerana takut tidak menerima pampasan kewangan jika mereka tidak memenuhi kontrak. Pelarian, terutamanya dari Burma, adalah lebih terdedah kepada pemerdagangan, dan rakyat Malaysia daripada masyarakat luar bandar dan kumpulan peribumi juga turut terdedah. Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) terus melakukan serbuan yang mensasarkan komuniti pendatang haram dan menahan pelarian, pemohon suaka, dan mangsa pemerdagangan manusia bersama-sama mereka yang didakwa pendatang haram.

Namun begitu amalan ini dilaporkan telah berkurangan berbanding tahun 2010. Walaupun tidak menandatangani Surat Hasrat (LOI) untuk meminda Memorandum Persefahaman (MOU), kerajaan Indonesia dan Malaysia belum meminda atau mengganti MOU tahun 2006 mengenai pekerjaan pembantu rumah (amah) Indonesia di Malaysia, yang membenarkan majikan Malaysia untuk merampas dan memegang pasport pembantu rumah.

Menurut pertubuhan-pertubuhan NGO, bilangan pembantu rumah yang bekerja secara sah di Malaysia telah menurun daripada 300,000 kepada 230,000 sepanjang tahun lalu. Pertubuhan-pertubuhan NGO ini menganggarkan bagi setiap pembantu rumah yang bekerja secara sah di Malaysia terdapat satu yang bekerja di negara ini secara haram. 90% daripada pembantu rumah (amah) adalah dari Indonesia. Sebilangan kecil rakyat Malaysia telah dilaporkan diperdagangkan di dalam dan luar negara ke Singapura, China dan Jepun dan mereka dieksploitasi sebagai pekerja seks komersial.

Walaupun Kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum untuk membanteras pemerdagangan manusia, ia telah melaksanakan pelbagai usaha dengan bersungguh-sungguh ke arah itu. Sebagai contoh, undang-undang anti-pemerdagangan manusia yang lebih berkesan dan usaha-usaha perlindungan mangsa telah ditambah baik - Malaysia diletakkan pada Tahap 2 Senarai Pemerhatian bagi 2 tahun berturut-turut. Walaupun kerajaan meningkatkan bilangan sabitan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Akta Antipenyeludupan Migran sepanjang tahun laporan dan meneruskan usaha kesedaran awam mengenai pemerdagangan manusia, ia tidak menyiasat dan mendakwa secara berkesan kes-kes pemerdagangan buruh, dan gagal untuk menangani masalah penglibatan kerajaan dalam pemerdagangan dan penjagaan mangsa dan kaunseling yang kurang berkesan oleh pihak berkuasa. Penahanan mangsa pemerdagangan di fasiliti kerajaan juga turut membimbangkan.[1]

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ "Laporan Pemerdagangan Manusia 2011, keluaran Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Malaysia" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2012-05-26. Dicapai pada 2012-06-09.

Pautan luar