Mylan N.V. ialah pengeluar farmasi generik dan khusus yang berpangkalan di Belanda, dengan pejabat eksekutifnya berada di Hatfield, Hertfordshire, United Kingdom[2] dan sebuah "Pusat Global" di Canonsburg, Pennsylvania, Amerika Syarikat. Pada tahun 2007, Mylan memperoleh majoriti saham Matrix Laboratories Limited daei India, pengeluar bahan farmasi aktif terkemuka untuk ubat generik,[3] dan perniagaan generik Merck KGaA dari Jerman.[4] Melalui pengambilalihan tersebut, Mylan berkembang dari pengeluar generik dan farmasi terbesar ketiga di Amerika Syarikat menjadi pengeluar generik dan farmasi terbesar kedua di dunia.[5]
Mylan tersenarai secara rasmi di pasaran OTC pada Februari 1973.[6] Sahamnya diperdagangkan di NASDAQ,[7] dan sahamnya merupakan komponen dari Indeks Bioteknologi NASDAQ[8] serta indeks S&P 500.[9]
Syarikat ini membangunkan dan menghasilkan ubat untuk pelbagai disiplin perubatan, termasuk onkologi, anafilaksis, antiretroviral, kardiovaskular, pernafasan, dermatologi, imunologi, anestesi dan pengurusan penyakit, penyakit jangkitan, gastroenterologi, diabetologi/endokrinologi, dan penjagaan kesihatan wanita.[10]
Pada tahun 2016, harga Mylan untuk produk EpiPen, sebuah autosuntik epinefrin, menjadi kontroversi dan secara meluas disebut sebagai "kenaikan harga". Akibatnya, penyelidikan dilancarkan untuk mengetahui adakah Mylan tersilap mengklasifikasikan EpiPen di bawah Program Rebat Ubat Medicaid, bentuk penipuan farmasi yang biasa. Pada Oktober 2016, Mylan berdamai dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, bersetuju untuk membayar $465 juta dan menandatangani perjanjian integriti syarikat mengenai program rebat. Dalam laporan yang diterbitkan pada 12 Jun 2017, Institutional Shareholder Services mengkritik Mylan kerana "pampasan berlebihan" kepada para pengarahnya. Bekas CEO Mylan, Robert Coury menerima pakej gaji $98 juta pada 2016, walaupun nilai saham Mylan telah menurun dan terdapat kontroversi mengenai EpiPen. Laporan ini juga mendorong para pemegang saham Mylan untuk memberhentikan semua pengarah Mylan pada masa kini.[11]
Rujukan
Pautan luar