Orang pertama yang menggunakan istilah "Seidenstraße(n)" atau "Jalan Sutera", ialah seorang ahli geografi berbangsa Jerman bernama Ferdinand von Richthofen pada tahun 1877. Laluan Sutera dinamakan sempena perdagangan sutera yang meluas di China, salah satu punca laluan-lauan perdagangan terawal dihubungkan menjadi rangkaian antara benua yang meluas.[1][2][3]
Laluan Sutera bukan sahaja merupakan saluran perdagangan sutera, bahkan juga berbagai-bagai barangan lain. Laluan ini menjadi pemangkin kegiatan pertukaran kebudayaan dan teknologi yang menghubungkan para pedagang, saudagar, penziarah, mubaligh, tentera, puak nomad dan penduduk bandar di negara China, India, Parsi dan Mediterranean selama 3,000 tahun.[4]
Rangkaian sepanjang 4,000 batu ini membolehkan manusia mengangkut barang dagangan, khususnya barang-barang mewah seperti hamba abdi, sutera, satin dan pelbagai jenis kain halus yang lain, kesturi, wangian lain, rempah dan ubat-ubatan, permata, barang kaca dan rubarb, di samping dijadikan saluran utama untuk menyebarkan ilmu pengetahuan, fahaman, falsafah, budaya, dan juga penyakit[5] ke merata dunia (China, India, Asia Minor dan Mediterranean). Kegiatan perdagangan sepanjang Laluan Sutera ini merupakan faktor terpenting yang memacu pembangunan tamadun agung di China, India, Mesir, Parsi, Tanah Arab, dan Rom, serta ada kalanya mendirikan asas untuk pembangunan dunia moden. Walaupun nama "Laluan Sutera" membayangkan perjalanan tanpa henti, namun hanya sebilangan kecil orang yang pernah melaluinya dari hujung ke hujung. Lazimnya, barang-barangan diangkut oleh sekumpulan ejen di pelbagai laluan dan diperdagangkan di pasar saudagar yang kesibukan di bandar oasis.[5]
Kawasan laluan perdagangan di Asia Tengah diluaskan sekitar 114 SM oleh kerajaan Dinasti Han,[6] khususnya hasil misi dan penerokaan seorang duta bernama Zhang Qian,[7] di samping laluan perdagangan terawal yang sudah lama wujud di rentas benua. Pada penghujung Zaman Pertengahan, perdagangan antara benua melalui rangkaian Laluan Sutera merosot kerana kebangkitan perdagangan laut.[8]
Rujukan
^"Approaches Old and New to the Silk Roads" Vadime Eliseeff in: The Silk Roads: Highways of Culture and Commerce. Paris (1998) UNESCO, Reprint: Berghahn Books (2000), pp. 1-2. ISBN 92-3-103652-1; ISBN 1-57181-221-0; ISBN 1-57181-222-9 (pbk)
^Waugh, Daniel. (2007). "Richthofen "Silk Roads": Toward the Archeology of a Concept." The Silk Road. Volume 5, Number 1, Summer 2007, p. 4.
^Hill, John E. 2003. "Annotated Translation of the Chapter on the Western Regions according to the Hou Hanshu." 2nd Draft Edition. Introduction [1]
^ abWood, Francis (2002). The Silk Road: Two Thousand Years in the Heart of Asia. Berkeley, CA: University of California Press. m/s. 9, 13–23. ISBN978-0-520-24340-8.
^Elisseeff, Vadime (2001). The Silk Roads: Highways of Culture and Commerce. UNESCO Publishing / Berghahn Books. m/s. 332 pages. ISBN978-92-3-103652-1.
^Boulnois, Luce (2005). Silk Road: Monks, Warriors & Merchants. Hong Kong: Odyssey Books. m/s. 66. ISBN962-217-721-2.