Hantu Kak Limah ialah siri filem komedi seram Malaysia yang terdiri daripada kesemua tiga filem yang diarahkan dan ditulis oleh Mamat Khalid dengan Gayatri Su-Lin Pillai berkhidmat sebagai penerbit. Tayangan Unggul menerbitkan dua siri filem, manakala Astro Shaw dan Infinitus Productions menerbitkan filem ketiga.[1]Delimawati, Awie dan Rab Khalid telah membintangi kesemua tiga filem.[2]
Filem pertama merupakan kejayaan komersial, menerima ulasan positif dan meraih kutipan sebanyak RM7.90 juta.[3] Kesinambungan filem kedua diterbitkan pada 2013, menjadi kejayaan dari segi kewangan.[4] Manakala pada 2018, filem ketiga meraih kutipan pecah panggung tertinggi dalam sejarah industri perfileman Malaysia.[5]
Husin yang telah 2 tahun bekerja di Singapura mengambil keputusan balik ke kampung halamannya, Kampung Pisang. Apabila sampai ke rumahnya, Husin hairan melihat perangai pelik jiran sebelah rumahnya, Kak Limah yang langsung tidak bercakap dan rambut yang mengerbang semacam. Dia juga mengalami kejadian menakutkan ketika mahu tidur. Husin bergegas ke warung Pak Jabit, lalu menceritakan kepada orang-orang kampung bahawa barangkali Kak Limah sudah menjadi hantu.[6]
Beberapa tahun selepas kejadian filem pertama, Husin telah bangkrap akibat ditipu skim cepat kaya telah kembali semula ke Kampung Pisang. Di Kampung Pisang, Husin berjumpa semula dengan geng-geng yang lamanya dan juga Mon, wanita yang mula-mula mengisi taman hatinya semasa Kampung Pisang di landa Zombi dan penyebab kepadanya hendak berjaya walaupun tidak mempunyai SPM. Namun beberapa hari selepas itu Kampung Pisang telah dilanda sesuatu perkara yang aneh. Nampaknya sejarah misteri seratus tahun dulu berulang kembali. Kejadian kehilangan lelaki-lelaki teruna di Kampung Pisang kembali menghantui. Dalam kekecohan itu, Kak Limah yang sudah pulih sepenuhnya sibuk merancang rombongan ke Singapura dan menawarkan Husin menjadi pembantunya. Namun begitu, masalah menjadi semakin rumit apabila Husin sendiri telah didapati hilang dirumah oleh Usop dan kawan-kawannya. Kesan yang tinggal hanyalah bekas bungkusan Maggi dari Singapura.[7]
Husin pulang ke kampung setelah tidak lagi mencari rezeki di Singapura. Dia kemudian bekerja dengan sahabat baiknya Khuda, Wani dan Yeh Sekupang di kilang arang. Sementara itu, Kak Limah baru sahaja berkahwin dengan sahabat Husin iaitu Khuda. Cinta mereka digambarkan sebagai cinta sejati.[8]
Untitled Hantu Kak Limah keempat
Berikutan sambutan positif terhadap Hantu Kak Limah 3, Mamat mengumumkan akan mengarahkan kesinambungan keempat filem ini. Ditanya mengenai kesinambungan Hantu Kak Limah, Mamat berkata, "Kami menerima maklum balas memberangsangkan daripada mereka yang menonton Hantu Kak Limah dengan rata-rata meminta ia disambung lagi. Ramai yang mahu watak Kak Limah muncul semula andai susulannya direalisasikan, namun sama ada ia dilakukan dalam babak imbas semula atau filem prekuel, kita tunggu saja nanti,".[9][10][11]