Enggang Gunung Biasa (Rhyticeros undulatus) atau Enggang gunung ialah spesies enggang dalam keluarga Bucerotidae. Jantan berwarna hitam dengan gombak karat, dada atas dan muka putih, dan tekak kuning tanpa bulu. Betina berwarna hitam seragam dengan tekak biru dan bersaiz lebih kecil sedikit daripada jantan.
Buluannya hitam dengan tungkai dan kaki hitam, tetapi mempunyai paruh kuning pucat, kulit kemerahan terdedah di sekeliling mata, jalur hitam di sekeliling kulit gelambir, dan ekor putih. Kulit gelambir betina biru, manakala kulit jantan kuning cerah; lehernya putih dan tengkuknya kemerahan gelap hingga hitam.[8]Dwibentuk jantina dalam warna buluan dan kulit gelambir kurang jelas pada burung muda, tetapi menjadi lebih jelas apabila kedua-dua jantina matang.[9]
Ia bersaiz sederhana dengan panjang 75 hingga 90 cm (30 hingga 35 in); berat jantan dewasa 1.68 hingga 3.65 kg (3.7 hingga 8.0 lb), dan berat betina 1.36 hingga 2.69 kg (3.0 hingga 5.9 lb).[6]
Di Myanmar, 62 ekor enggang gunung telah dilihat di lembah Sungai Mali pada ketinggian 800–2,500 m (2,600–8,200 ka) semasa musim sejuk 1999.[15]Sekawan kira-kira 50 ekor individu telah dilihat di Perlindungan Hidupan Liar Hponkanrazi pada September 2004.[16]
Tingkah laku dan ekologi
Ia bersifat sosial dan paling giat pada awal pagi apabila mencari buah-buahan; 21 ekor individu yang dikaji di Rizab Harimau Pakke semasa musim bukan pembiakan berehat pada tengah hari dan meneruskan kegiatan pada awal petang.[17]
Ia hidup dalam kawanan yang lebih besar daripada spesies enggang lain dan kekal dalam kumpulan semasa musim pembiakan dan bukan pembiakan.[18] Saiz kawanan yang diperhatikan di Taman Negara Namdapha berjulat antara min 4.7 hingga 6.6 ekor individu dengan ketumpatan 1.3/km2 (3.4/sq mi) pada bulan Mac dan April kepada 68/km2 (180/sq mi) pada bulan Disember.[13] Di Arunachal Pradesh, kepadatan enggang gunung jauh lebih rendah di habitat berpenduduk tempatan yang memburu, antara 2.9 hingga 9.02/km2 (7.5 hingga 23.4/sq mi).[19]
Ia menandang jarak jauh untuk meramu buah, kadangkala terbang di antara pulau, tetapi ia tidak berhijrah.[6] Seekor jantan telah dipasang dengan unit penjejak GPS di Rizab Harimau Pakke semasa musim pembiakan; ia bergerak jarak harian minimum min sebanyak 24.8 km (15.4 bt) dan benih tersebar sehingga 10.8 km (6.7 bt) dari tapak bersarangnya.[17]
Seruan utamanya ialah jeritan berganda kuat yang telah diperihalkan berbunyi seperti "ku-kuk"[6] atau "wuf-wurf".[9] Seruan tersebut pendek dan biasanya diulang dalam urutan tiga atau lebih dari kedudukan hinggap atau semasa penerbangan.[6][9] Bahagian kedua seruannya lebih tinggi dan lebih kuat daripada yang pertama dan boleh didengar dari jarak yang lebih jauh.[9] Apabila berseru, ia memaparkan kantung tekaknya yang berwarna terang dengan menujahkan kepalanya ke belakang dan ke atas secara mendadak. Pergerakan tersebut dianggap sebagai satu bentuk komunikasi antara individu.[9] Ia mengeluarkan pelbagai bunyi salakan berani rendah yang lain.[6]
Pemakanan
Ia utamanya memakan buah besar, dengan buah ara merangkumi sebahagian besar daripada dietnya.[18] Ia memakan lebih banyak buah-buahan berdrup berbanding spesies enggang lain.[21][20] Ia juga kadangkala memakan haiwan kecil seperti serangga, ketam, siput, dan reptilia, terutamanya semasa musim pembiakan.[6] Ia meramu di kanopi hutan merentasi julatnya, kadang-kadang turun untuk memakan mangsa kecil atau untuk mengutip buah gugur.[6] Kelebatan buah tropika boleh berbeza-beza mengikut tempat dan musim. Oleh itu, ia terbang jauh untuk menjejaki kawasan yang mempunyai ketersediaan buah yang tinggi.[14] Apabila ia bergerak merentasi julatnya, ia menyebarkan benih yang dimakan. Tingkah laku penyebaran benihnya memainkan peranan penting dalam mengekalkan kepelbagaian hutan tropika.[22]
Teknik memberi makan yang digunakan olehnya dipanggil pengangkutan makanan balistik.[23] Ia memegang makanan besar di hujung paruhnya dan mendongakkan kepalanya dengan cepat, menelannya sepenuhnya. Tingkah laku tersebut berkemungkinan mengurangkan persaingan sumber dengan mengeksploitasi buah yang terlalu besar untuk frugivor yang lebih kecil.[23] Satu lagi kelebihan pengangkutan makanan balistik ialah benih buah-buahan dilindungi daripada kerosakan apabila ditelan sepenuhnya. Keseluruhan biji benih melalui saluran gastrousus dan dikumuhkan utuhnya, meningkatkan peluangnya untuk bercambah dan membentuk tumbuhan baru.[23]
Pembiakan
Ia ialah pembiak monogami yang menunjukkan penjagaan dwiinduk. Ia bersarang di rongga pokok besar yang terletak di hutan pantai, kawasan pembalakan haram, atau di antara kaki bukit sehingga ketinggian 2,560 m (8,400 ka).[23] Ia mencari rongga pokok berbentuk bujur sediada untuk bersarang kerana ia tidak dapat mengoreknya sendiri.[24] Ketinggian sarang berjulat antara 18 hingga 28 m (59 hingga 92 ka) atas tanah.[25] Betina menggunakan najis atau lumpur untuk menutup lubang sarang untuk melindungi sangkak dan anak-anak daripada pemangsa tetapi meninggalkan lubang yang cukup besar untuk jantan memberi makanan.[25] Ia memecahkan dinding lumpur tersebut apabila perlu meninggalkan sarang.[25]
Purata saiz sangkaknya ialah 1–3 biji telur, yang betina eram dan jaga sendiri selama 40 hari.[6] Ia hanya menjaga seekor anak dan kekal bersamanya di dalam sarang sehingga ia terbang pada penghujung kitaran bersarang, yang berlangsung selama 111–137 hari. Kedua-dua induk kekal bersama juvenil selama beberapa bulan selepas ia meninggalkan sarang.[6]
Ancaman
Ancaman utama terhadap populasinya termasuklah pemburuan, penggunaan racun perosak, pembalakan haram, dan pemecahan habitat.[25] Di Arunachal Pradesh, penduduk tempatan Misymi dan Adi menembak 50–70 ekor enggang gunung semasa musim penghijrahan; mereka makan dagingnya, menggunakan hempedunya sebagai ubat untuk menyembuhkan masalah perut, bulunya untuk menghiasi rumah mereka dan culanya untuk menghiasi hiasan kepala mereka.[18] Penduduk tempatan juga memburunya sebagai sukan dan menggunakan lemaknya untuk tujuan perubatan.[1]
Ia telah disenaraikan sebagai Terjejas dalam Senarai Merah IUCN sejak 2018, kerana ancaman-ancamannya mungkin akan menyebabkan penurunan populasi global dalam masa terdekat.[1]
Pemuliharaan
Ia dilindungi di peringkat antarabangsa di bawah CITES Lampiran II[1] dan merupakan spesies perlindungan kebangsaan Kelas II di China.[7]
Di Rizab Harimau Pakke, Program Pengangkatan Sarang Enggang berasaskan komuniti telah dimulakan dengan kerjasama Jabatan Hutan Arunachal Pradesh pada tahun 2011; orang Nyisyi tempatan dari sembilan kampung bekerja sebagai pelindung sarang dan seorang belia sebagai penyelaras lapangan; lebih daripada 90 orang warga bandar menyokong projek tersebut dari segi kewangan. Pada musim pembiakan 2012 dan 2013, pelindung sarang telah menemui lapan sarang enggang, di mana dua daripadanya mempunyai anak burung.[26]
^Shaw, G. (1811). "Undulated Hornbill". Dalam Shaw, G.; Stephens, J.F. (penyunting). General zoology, or Systematic natural history. Volume 8, Part 1: Aves. London: G. Kearsley. m/s. 26–27.
^Peters, J.L. (1931). "Genus Aceros". Check-list of Birds of the World. V. Cambridge: Harvard University Press. m/s. 263–266.
^ abcdefghijKemp, A.C. & Boesman, P.F.D. (2020). "Wreathed Hornbill (Rhyticeros undulatus)". Dalam del Hoyo, J.; Elliott, A.; Sargatal, J. & Christie, D.A. (penyunting). Handbook of the Birds of the World. Volume 6: Mousebirds to Hornbills. Barcelona: Lynx Edicions. ISBN978-8487334306.
^Leighton M. & Leighton, D.R. (1983). "Vertebrate responses to fruiting seasonality within a Bornean rain forest". Dalam Sutton, S L.; Whitmore, T.C. & Chadwick, A.C. (penyunting). Tropical Rain Forest: Ecology and Management. Oxford: Blackwell Scientific Publications. m/s. 181–196.
^ abcdBaussart, S.; Bels, V. (2011). "Tropical hornbills (Aceros cassidix, Aceros undulatus, and Buceros hydrocorax) use ballistic transport to feed with their large beaks". Journal of Experimental Zoology Part A: Ecological Genetics and Physiology. 315A (2): 72–83. doi:10.1002/jez.590. PMID20140955.