Dialek Melayu Negeri Sembilan ini sering dianggap adalah daripada rumpun Minangkabauik kerana banyak dipengaruhi oleh bahasa tuturan suku Minangkabau, asal usul nenek moyang kebanyakan penduduk Negeri Sembilan.[1] Walau bagaimanapun, kajian fonologi dan leksikologi berpendapat bahawa dialek ini lebih hampir dengan Bahasa Melayu Piawai berbanding bahasa Minangkabau.[2][3]
Sejarah
Sejarah bermula ketika orang-orang Minangkabau mulai berhijrah dari dataran tinggi Sumatera (darek) ke Semenanjung Tanah Melayu (rantau) pada abad ke-14.[2] Migrasi semakin pesat pada abad ke-15 hingga abad ke-16.[4] Pada masa itu, lalu lintas perdagangan semakin ramai di sekitar Selat Melaka dan mendapat perlindungan dari Kesultanan Melaka. Dari kawasan di sekitar pelabuhan Melaka, rombongan dari Minangkabau mula meneroka ke kawasan pedalaman. Rombongan ini datang secara berperingkat dan gelombang migrasi pertama merupakan rombongan dari Luhak Tanah Datar dan Luhak Limapuluh Kota.[5] Gelombang migrasi pertama ini berperanan dalam pembukaan lahan permukiman baru.
Penduduk di pedalaman semakin banyak kerana bertambahnya jumlah pendatang dan membuat masyarakat berkelompok-kelompok. Kelompok-kelompok ini membentuk 12 buah suku secara keseluruhannya. Berbeza dengan di Sumatera, penamaan suku adalah berdasarkan tempat asal para pendatang. Para pendatang dari Limapuluh Kota membentuk suku-suku Payakumbuh, Batu Hampar, Mungkal, Seri Melenggang (Simalanggang), Seri Lemak (Sarilamak), Tiga Nenek, Batu Belang, dan Tiga Batu (Tigo Batua Situjuah). Sementara para pendatang dari Tanah Datar membentuk suku Tanah Datar. Tiga suku lainnya merupakan suku dari pernikahan dengan masyarakat lain yang telah menetap di sana, iaitu suku-suku Anak Acheh, Anak Melaka, dan Biduanda.[5] Suku Biduanda ini mendapat kehormatan sebagai pemimpin di antara suku yang ada kerana merupakan percampuran antara orang Minangkabau dengan Orang Asli.
Pembukaan pemukiman baru di daerah pedalaman membentuk sembilan buah nagari yang terdiri dari luak dipimpin oleh Undang (Para datuk penghulu yang memimpin negeri). Negeri-negeri tersebut di antaranya Jelebu, Kelang, Johol, Rembau, Sungai Ujong, Jelai (Ineh), Naning, Segamat, dan Pasir Besar. Kesembilan negeri tersebut membentuk sistem konfederasi yang disebut Lembaga Negeri Sembilan. Lembaga Negeri Sembilan berada dalam naungan kesultanan Johor.[5]
Pada abad ke-18, terjadi berbagai-bagai serangan di kesultanan Johor dan wilayah Negeri Sembilan menjadi tidak aman. Pada masa itu dikuasai orang Bugis, sehingga para datuk di Negeri Sembilan bermuafakat dan meminta izin Sultan Johor (Sultan Abdul Jalil IV) untuk menjemput seorang raja dari Pagaruyung sebagai pemimpin mereka, dan diizinkan.[4] Gelombang kedua migrasi perantau Minangkabau datang ke Negeri Sembilan dengan membawa seorang Raja[6] dan diangkatlah seorang putera raja Pagaruyung, Raja Melewar sebagai Yamtuan Besar pertama Negeri Sembilan dengan menerapkan Adat Perpatih sebagai hukumnya.[7]
Kedua-dua gelombang migrasi perantau Minangkabau ke Negeri Sembilan melahirkan dialek Negeri Sembilan (Baso Nogoghi) sebagai hasil asimilasi antara bahasa Minangkabau dengan bahasa tempatan peribumi. Seiring perjalanan waktu, dialek ini mengalami perubahan akibat pengaruh keadaan politik. Negeri Sembilan lama-kelamaan terterap dalam pentadbiran Malaysia moden sebagai suatu negeri sehingga dialeknya mendapat pengaruh dari bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahkan bahasa Arab. Berbeza dengan daerah darek yang menjadi bahagian dari Indonesia, dialek-dialek Minang di darek lebih banyak mendapat pengaruh dari bahasa tuturan baku Indonesia dan bahasa Belanda.[8] Terlebih dengan keadaan dialek ini telah terpisah 500-600 tahun dengan bahasa asalnya.[9] Hal ini menyebabkan dialek Negeri Sembilan dapat berkembang sendiri.[2]
Dialek Negeri Sembilan merupakan dialek dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Minangkabau, sebagaimana penelitian dialektrometri yang telah dilakukan.[2] Hal ini membuatkannya memiliki beberapa persamaan dan perbezaan dengan dialek lain dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Minangkabau.[3] Penutur bahasa Melayu dialek lain di Semenanjung Tanah Melayu pada umumnya sukar memahami dialek Negeri Sembilan kerana terdapat banyak perbezaan. Perbezaan mencolok dengan bahasa Melayu adalah pada fonologi, yakni penggunaan huruf /a/ di akhir kata berubah menjadi /o/ pada dialek Negeri Sembilan sepertimana kita menjadi kito dan apa menjadi apo.[3]
Dialek Negeri Sembilan memiliki perbezaan dengan bahasa Minangkabau, khususnya jika dibandingkan dengan dialek Padang sebagai dialek umum atau baku.[3] Menurut Norhalim, penutur dialek Negeri Sembilan sukar memahami perbincangan dalam dialek Padang dan lebih mirip dengan dialek Siak daripada dialek Padang.[11] Hal ini disebabkan perbezaan yang ada pada fonologi kedua bahasa tersebut.[3] Contohnya penggunaan huruf vokal /a/ di suku kata pertama dialek Padang seperti pada kata dareh (deras/cepat), kaba (khabar), dan paruik (perut), menjadi /o/ pada dialek Negeri Sembilan pada kata dogheh, koba, dan poghot.[3] Perbezaan lainnya adalah pada dialek Negeri Sembilan tidak mengenal diftong, tidak seperti dialek Minangkabau lainnya yang menggunakan banyak diftong.[3]
Dialek Negeri Sembilan dan bahasa Minangkabau ini memiliki banyak persamaan.[3] Reniwati menyebutkan, bahawa dialek Negeri Sembilan memiliki persamaan sistem bahasa.[2] Kemiripan dengan bahasa Minang akan lebih jelas ditemukan ketika dibandingkan dengan dialek Limapuluh[12] dan dialek Tanah Datar, sebagai tempat asal nenek moyang warga Negeri Sembilan.[8]
^Norhalim Haji Ibrahim. (1992). Vanishing Culture of the Adat Perpatih. Dlm Adat Perpatih: A Matrilineal System on Negeri Sembilan, Malaysia and others Matrilineal Kinship Systems (hlm. 37-43). WINSTRAC Sdn. Bhd.