Johor ialah negeri dalam Tanah Melayu yang pertama memiliki pasukan tentera modennya sendiri dan satu-satunya institusi pasukan askar yang tertua dalam Malaysia dibiayai oleh kerajaan negeri yang masih kekal hingga kini dan peranannya sekarang hanya sebagai pengawal keselamatan peribadi kepada DYMM Sultan Johor serta keluarga dan asetnya.
Sejarah
Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor ditubuhkan pada tahun 1886 dengan kompeni percubaan 60 anak Melayu Johor dan 20 orang askar Punjabi. Anggota Melayu dilatih sebagai askar Infantri sementara anggota Punjabi dilatih sebagai anggota pasukan artileri. Seorang pegawai tentera Inggeris bernama Kapten Newland dilantik sebagai pemerintah pasukan. Orang Melayu yang pertama sekali diberikan tauliah sebagai pegawai ialah Kapten Daud bin Sulaiman. Askar Timbalan Setia Negeri telah diberi panji-panji DiRaja pada 11 Mei 1916.
Semasa Perang Dunia Pertama, pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor menghantar kontinjen seramai 2 orang pegawai berserta 100 orang anggota ke Berek Tanglin di Singapura untuk membantu mengawal keselamatan di Singapura. Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri juga membuat tugas-tugas membantu kawalan tawanan perang ke atas tahanan Jerman di Singapura. Pasukan ini juga memberi bantuan menjaga keselamatan kawasan di Pulau Belakang Mati (kini Pulau Sentosa), Singapura hingga tamat Perang Dunia Pertama.
Selain memberikan bantuan kawalan keselamatan di Singapura, Pasukan Askar timbalan Setia Johor juga memberikan kawalan keselamatan laluan perhubungan di kawasan-kawasan Mersing, Kluang dan Batu Pahat termasuk pangkalan udara di Kluang (kini menjadi pangkalan utama Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia).
Askar Timbalan Setia Johor tidak dikerahkan oleh Markas Gerakan Tanah Melayu di bawah pimpinan Lt. Jen. A. E. Percival sebagai sebahagian daripada pasukan pertahanan Semenanjung Tanah Melayu. Apabila pasukan Tentera Jepun memasuki negeri Johor, khususnya bandar Johor Bahru, pasukan Askar Timbalan Setia tidak memberikan sebarang tentangan atau terlibat dalam pertempuran menentang Tentera Jepun.
Cadangan Pemansuhan Askar Timbalan Setia
Kerajaan Malaysia pada tahun 1994 pernah mencadangkan pembubaran pasukan Askar Timbalan Setia berikutan krisis berkaitan isu Kekebalan Raja-Raja Melayu dan satu Rang Undang-Undang di panggil Johore Military Forces (Disbandment And Repeal) Bill 1994 telah digubal untuk dibahaskan di Parlimen.
Tetapi Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim negara ketika itu menasihatkan Sultan JohorSultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail di Istana Bukit Serene bahawa Askar Timbalan Setia Negeri Johor diwujudkan jauh lebih dahulu daripada Rejimen Askar Melayu Diraja dan penubuhan serta pengekalan pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah sebahagian daripada hak dan keistimewaan Sultan dan rakyat Negeri Johor. Dengan demikian, Tun Salleh Abbas berpendapat bahawa Kerajaan Persekutuan Malaysia tidak mempunyai hak untuk membatalkan keistimewaan hak tersebut tanpa persetujuan Sultan Johor. Pandangan Tun Salleh Abbas disokong oleh Neil Lawson, Q.C. yang menjadi Penasihat Perundangan kepada Raja-Raja Melayu semasa perbincangan menuntut kemerdekaan. Sehubungan itu, rang undang-undang ini tidak diambil tindakan dan terkubur begitu sahaja.
Pengkhidmat Ternama
Antara mereka yang telah berkhidmat dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah:[4]
Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail menerima latihan ketenteraan dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Baginda juga merupakan penyandang jawatan Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
Jeneral (B)Tun Ibrahim bin Ismail - bekas Panglima ATM Jeneral (B) Tun Ibrahim Bin Ismail pernah menyertai dan berkhidmat sebagai kadet dalam Askar Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Rejimen Hyderabad ke-19 di India.
Ungku Ahmad bin Abdul Rahman Salah seorang daripada tiga orang yang dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India
Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid bapa kepada Professor Diraja Dr. Haji Ungku Abdul Aziz pernah menjadi seorang Leftenan dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor dan mencapai pangkat Mejar pada tahun 1926.
Rujukan
^Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :3
^Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama :8
^Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama media1