Alicia Amanda Vikander (sebutan Sweden: [aˈliːsɪa aˈmanda vɪˈkandər]; lahir 3 Oktober 1988) ialah seorang pelakon dan penari wanita Sweden. Lahir dan membesar di Gothenburg, beliau mula berlakon pada usia muda di dalam pementasan di The Göteborg Opera dan berlatih sebagai penari balet di Sekolah Balet Diraja Sweden dan Sekolah Balet Amerika. Beliau memulakan karier profesional lakonan dengan muncul di dalam filem pendek dan siri televisyen Sweden. Beliau mula dikenali di Eropah Utara selepas peranannya sebagai Josefin Björn-Tegebrandt di dalam drama televisyen, Andra Avenyn (2008–10).
Vikander membuat penampilan filem pertamanya di dalam filem Pure (2010) dimana beliau memenangi Anugerah Guldbagge untuk Pelakon Wanita Terbaik. Beliau mendapat pengiktirafan meluas pada tahun 2012 untuk lakonannya sebagai Puteri Ekaterina "Kitty" Alexandrovna Shcherbatskaya di dalam filem Anna Karenina dan Ratu Caroline Mathilde di dalam filem Denmark, A Royal Affair. Beliau kemudiannya membintangi filem Sweden tahun 2013, Hotell dan muncul di dalam filem biopik Julian Assange, The Fifth Estate.
Vikander lahir di Gothenburg.[1] Beliau merupakan anak perempuan kepada Maria Fahl Vikander, seorang pelakon pementasan dan Svante Vikander, seorang ahli psikiatri. Ibu-bapa beliau datang dari perkampungan kecil di utara dan selatan Sweden.[2] Mereka berpisah ketika Vikander berumur dua bulan[3][4][5] dan beliau dibesarkan oleh ibunya. Beliau berketurunan Sweden dan Finland.[2]
Vikander memulakan karier beliau sebagai seorang pelakon ketika berumur tujuh tahun. Beliau membintangi sebuah penerbitan Kristina från Duvemåla di Opera Gothenburg; beliau berlakon di dalam pementasan ini selama tiga tahun setengah.[5] Beliau muncul di dalam beberapa muzikal di Opera seperti The Sound of Music dan Les Misérables. Pada tahun 1997, beliau mengambil bahagian di dalam rancangan nyanyian kanak-kanak TV4, Småstjärnorna.[6]
Vikander berlatih tarian balet sejak berumur sembilan tahun di Sekolah Balet Diraja Sweden yang terletak di Gothenburg. Ketika berumur 15 tahun, Vikander berpindah dari Gothenburg untuk berlatih di sekolah balet atasan di Stockholm. Beliau juga pernah berlatih di Sekolah Balet Amerika, Bandar Raya New York.[7] Beliau menjalani ujian untuk sekolah drama tetapi ditolak dua kali.[8] Pada satu ketika, Vikander pernah dipilih ke sekolah undang-undang tetapi beliau tidak pernah hadir untuk mengejar cita-citanya menjadi seorang pelakon.[9]
Karier
Awal karier
Vikander memulakan kariernya dengan muncul di dalam beberapa filem pendek dan sir televisyen di negara asal beliau, Sweden.[10] Beliau dikenali di negara-negara Scandinavia menerusi peranannya dalam di drama televisyen popular Sweden, Andra Avenyn (2008–2010).
2010–2014
Vikander menerima pujian dalam penampilan filem pertamanya sebagai Katarina di dalam filem Sweden, Pure (2010). Menerusi filem ini, Vikander memenangi Anugerah Bintang Meningkat Naik pada tahun 2010 di Festival Filem Stockholm,[11] Anugerah Shooting Star di Festival Filem Antarabangsa Berlin[12] dan Anugerah Guldbagge bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik.[13] Pada tahun 2011, beliau mempunyai peranan sebagai Fragancia Fernandez di dalam filem The Crown Jewels.
Pada tahun 2012, Vikander mendapat perhatian antarabangsa selepas melakonkan watak Kitty di dalam filem Anna Karenina yang dibintangi oleh Keira Knightley. Filem ini ditayangkan di Festival Filem Toronto 2012 dan menerima ulasan positif.[14] Pada tahun itu, beliau juga membintangi sebagai Ratu Caroline Mathilde di dalam filem arahan Nikolaj Arcel, A Royal Affair. Filem ini ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-62 dan menerima pujian meluas.[15] Filem ini kemudiannya dicalonkan untuk Anugerah Akademi bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi ke-85.[1][16]
Pada tahun 2013, beliau membintangi sebagai ahli Parti Lanun Jerman, Anke Domscheit-Berg di dalam filem The Fifth Estate.[17] Filem ini ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto 2013 pada 5 September 2013.[18] Beliau mempunyai peranan utama sebagai Erika di dalam filem Sweden, Hotell dimana beliau memenangi Anugerah Festival Filem Antarabangsa Marrakech untuk Pelakon Wanita Terbaik.[19]
Pada tahun 2014, beliau muncul di dalam filem thriller Australia, Son of a Gun. Filem ini ditayangkan di Australia pada 16 Oktober 2014 dan menerima ulasan bercampur[20] tetapi Vikander dipuji untuk persembahan lakonannya.[21]
2015–sekarang
Pada tahun 2015, Vikander membintangi enam filem. Dalam filem pertamanya pada tahun tersebut, beliau mempunyai peranan sebagai Vera Brittain di dalam filem Testament of Youth. Testament of Youth diterima dengan baik selepas tayangan dengan ramai pengkritik filem memuji persembahan lakonan Vikander.[22][23] Untuk peranan beliau sebagai Brittain, Vikander dicalonkan Anugerah BIFA untuk Lakonan Terbaik oleh Pelakon Wanita dalam Filem Bebas British. Beliau juga melakonkan watak Alice Deane di dalam filem fantasi, Seventh Son (2015),[24] menyumbangkan suara untuk filem dokumentari Sweden, Ingrid Bergman: In Her Own Words (2015), mempunyai peranan utama di dalam filem The Man from U.N.C.L.E. dan muncul di dalam fo;em Burnt (2015).[25]
Vikander menerima pujian meluas untuk lakonannya sebagai Ava[26] di dalam filem Ex Machina dimana beliau menerima pencalonan Anugerah Golden Globe untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Filem dan Anugerah BAFTA untuk Pelakon Wanita Terbaik dalam Peranan Pembantu. Beliau juga dipuji untuk lakonannya sebagai Gerda Wegener di dalam filem The Danish Girl. Untuk peranannya sebagai Geda Wegener, beliau memenangi Anugerah Akademi untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, menjadikan beliau pelakon wanita Sweden kedua untuk memenangi anugerah ini; Anugerah Screen Actors Guild dan Anugerah Filem Pilihan Pengkritik serta menerima pencalonan Anugerah Golden Globe dan Anugerah BAFTA.[27][28][29]