* Gol dan kemunculan untuk kelab senior hanya untuk liga domestik dan tepat pada 27 Julai 2020 ‡ Gol dan kemunculan pasukan kebangsaan hingga 27 Mac 2018 (UTC)
Adam David Lallana (lahir 10 Mei 1988) merupakan seorang pemain bola sepak profesional Inggeris yang bermain sebagai pemain tengah menyerang untuk kelab Liga Perdana Inggeris, Brighton & Hove Albion dan pasukan kebangsaan England.
Lallana memulakan karier mudanya bersama AFC Bournemouth sebelum pindah ke kelab akademi Southampton pada tahun 2000. Semasa berada di kelab akademi Southampton, bakat Lallana berkembang dan menjadi pemain profesional pada tahun 2006. Setelah pinjaman singkat ke AFC Bournemouth, beliau memasuki pasukan pertama Southampton ketika pasukannya berjaya memperoleh dua promosi dari Liga Satu sehingga naik ke Liga Perdana Inggeris. Beliau juga pernah memegang peranan sebagai kapten pasukan Southampton pada tahun 2012. Setelah beliau membantu Southampton berada di kedudukan teratas pada dua musim berturut-turut, beliau menyertai Liverpool dengan harga berjumlah £25 juta yang dilaporkan pada bulan Julai 2014. Lallana juga muncul di perlawanan akhir kejohanan Liga Juara-Juara UEFA 2018–19 dan merupakan sebahagian daripada skuad yang memenangi pertandingan pada musim berikutnya, dan juga menjuarai Liga Perdana Inggeris 2019–20.
Sejak membuat penampilan antarabangsa seniornya pada tahun 2013, Lallana telah membuat lebih dari 30 penampilan untuk England dan mewakili pasukan tersebut di Piala Dunia FIFA 2014 dan UEFA Euro 2016.
Kehidupan awal
Lallana dilahirkan di St Albans di Hertfordshire[2] dan kemudiannya berpindah ke kawasan Iford di Bournemouth ketika berusia lima tahun. Beliau mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Corpus Christi dan Sekolah St Peter's Catholic Comprehensive.[4] Semasa kecil, Lallana menyokong Everton, seperti ayahnya.[5] Lallana berketurunan Sepanyol; datuk ayahnya berasal dari Madrid.[6][7]
Karier kelab
Southampton
Lallana menyertai pasukan utama pada bulan Julai 2006 dan membuat penampilan pertamanya pada 23 Ogos 2006 ketika kemenangan 5–2 ke atas Yeovil Town dalam Piala Liga Bola Sepak Inggeris.[8] Pada 31 Oktober 2006, beliau menandatangani kontrak baru untuk mengekalkannya di Southampton sehingga bulan Disember 2009.[9] Pada 9 Oktober 2007, Lallana menyertai Bournemouth secara pinjaman sebulan.[10] Pada 28 April 2008, Lallana menjaringkan gol profesional pertamanya untuk Southampton ketika menentang West Bromwich Albion.[11]
Lallana menjadi pemain tetap dalam pasukan utama pada permulaan musim 2008–09. Pada 29 Ogos 2008, beliau menandatangani perjanjian baru tiga tahun bersama the Saints. beliau menghabiskan musim 2009–10 dengan dua puluh gol dalam semua pertandingan, menjaringkan gol ke-20nya dalam hari terakhir musim menentang Southend United.
Pada 7 Januari 2011, Lallana menandatangani kontrak baru bersama Southampton yang akan berakhir pada tahun 2015.[12][13] Dia dinamakan dalam Pasukan Tahunan League One untuk musim 2010–11 selepas menjaringkan 11 gol pada musim itu.
Lallana menjaringkan gol pada hari pembukaan musim 2011–12 dimana mereka menang 3–1 ke atas Leeds United. Beliau kemudiannya menjaringkan dua gol ketika mereka menang 5–2 ke atas Ipswich Town. Gol kesepuluhnya musim itu datang ketika kemenangan 4–0 ke atas Derby County. Beliau kemudiannya menjaringkan dua gol ketika kemenangan 2–0 ke atas Barnsley. Beliau kemudiannya menjaringkan gol pada hari terakhir kempen untuk menghabiskan musim dengan 13 gol, 11 daripadanya dijaringkan dalam liga.
Beliau membuat penampilan Liga Perdana Inggeris pertamanya pada musim 2012–13, membuat bantuan gol ketika kekalahan 3–2 kepada Manchester City.[14] Dia menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris ketika kekalahan 4–1 kepada West Ham United.[15] Gol keduanya musim itu datang pada 25 November ketika kemenangan 2–0 ke atas Newcastle United.[16]
Gol ke-50 dalam kariernya datang ketika kemenangan 2–0 ke atas Reading.
Pada 11 April 2013, Lallana menandatangani kontrak lima tahun bersama Southampton.[17]
Pada 9 November 2013, Lallana menjaringkan gol cantik dengan menggiring bola melepasi lima pemain ke sebelah kiri sebelum menjaringkan gol ke gawang Hull City. Perlawanan tersebut menyaksikan Southampton menang 4-1 ke atas Hull City. Pada 18 April 2014, beliau disenarai pendek sebagai salah satu daripada enam pemain untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA. Pada 27 April 2014, Lallana dinobatkan bersama rakan sepasukan Luke Shaw dalam Pasukan Pilihan Terbaik Tahunan PFA. Pada 6 Mei, beliau dinobatkan sebagai anugerah Pemain Terbaik Tahunan Southampton dan Pemain Pilihan Penyokong Tahunan Southampton.[18]
Liverpool
Musim 2014–2016: Perkembangan berterusan
Selepas England kembali daripada Piala Dunia, Lallana menyertai Liverpool dan diberi jersi bernombor 20. Pada 25 Julai, Liverpool mengesahkan bahawa Lallana mengalami kecederaan ketika berlatih di Boston, Massachusetts semasa pra-musim. Dia membuat penampilan sulung untuk Liverpool pada 13 September ketika kekalahan 1–0 kepada Aston Villa.[19] Pada 4 Oktober, dia menjaringkan gol pertamanya untuk kelab itu ketika kemenangan 2–1 ke atas West Bromwich Albion.[20] Lallana menjaringkan gol keduanya untuk Liverpool pada 2 Disember ketika mereka menang 3–1 ke atas Leicester City.[21] Pada 29 Disember, dia menjaringkan dua gol ketika mereka menang 4–1 ke atas Swansea City di Anfield.[22] Pada 14 Februari, Lallana menjaringkan gol kemenangan dalam pusingan kelima Piala FA menentang Crystal Palace.[23] Pada 19 April 2015, Lallana terpilih dalam Pasukan Pengurus Bola Sepak Dekad di Anugerah Liga Bola Sepak.[24]
Pada 17 September 2015, Lallana menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan musim baru Liga Europa UEFA menentang Bordeaux di Stade Chaban-Delmas. Pada 1 Oktober, Lallana menjaringkan gol dalam pertandingan kedua berturut-turut menentang Sion di Liga Europa UEFA tetapi perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1. Pada 23 Januari 2016, beliau datang sebagai pemain gantian dengan menjaringkan gol kemenangan minit akhir yang menyaksikan Liverpool menang 5-4 ke atas Norwich City. Pada 28 Februari 2016, Lallana juga bermain dalam perlawanan akhir kejohanan Piala Liga Bola Sepak Inggeis 2016 ketika Liverpool tewas ke atas Manchester City dalam penentuan sepakan penalti. Pada 3 Mac 2016, beliau juga menjaringkan gol dan menghasilkan hantaran gol yang menyaksikan Liverpool mengalahkan Manchester City dalam perlawanan liga. Pada 23 April, beliau menjaringkan gol kedua Liverpool semasa menentang Newcastle United dengan keputusan berakhir seri 2-2. Pada 5 Mei, beliau menjaringkan gol ketiga dalam kemenangan kedua Liverpool ke atas pasukan Sepanyol, Villarreal di separuh akhir kejohanan Liga Europa UEFA, dan sekaligus membawa The Reds mara ke perlawanan akhir dengan kemenangan agregat 3-1.
Musim 2016–17: Kejayaan memasuki ke kejohanan Liga Juara-Juara UEFA
Pada 14 Ogos 2016, Lallana menjaringkan dua gol semasa perlawanan pembukaan menentang Arsenal dengan perlawanan berakhir dengan kemenangan 4–3 untuk Liverpool. Pada 10 September, Lallana menjaringkan gol dalam kemenangan 4-1 Liverpool atas juara musim sebelumnya, Leicester City. Dua minggu kemudian, beliau mencatat kemenangan 5-1 Liverpool ke atas Hull City yang baru dinaikkan pangkat ke Liga Perdana Inggeris. Pada 11 Disember, beliau menjaringkan gol pembukaan Liverpool dalam perlawanan liga menentang West Ham United, yang berakhir dengan keputusan seri 2-2. Tiga hari kemudian, beliau menjaringkan dua gol dengan kemenangan 3-0 ke atas Middlesbrough. Pada 27 Disember, beliau menjaringkan gol dalam kemenangan 4-1 Liverpool ke atas Stoke City. Pada 22 Februari 2017, Lallana menandatangani kontrak jangka panjang baru bersama Liverpool berikutan prestasinya yang baik. Pada hari terakhir musim tersebut, Lallana menjaringkan gol ketiga Liverpool dalam kemenangan 3-0 ke atas Middlesbrough, dan sekaligus membantu Liverpool menempah slot ke kejohanan Liga Juara-Juara UEFA pada musim berikutnya.
Musim 2017-19: Faktor kecederaan dan Kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA
Pada bulan Ogos 2017, Lallana mengalami kecederaan jangka panjang semasa beraksi di perlawanan akhir kejohanan Piala Audi menentang Atlético Madrid, yang akan menghalangnya bermain sehingga pertengahan bulan November. Penampilan pertamanya musim tersebut ketika Liverpool terikat seri 1-1 menentang Chelsea, dengan menggantikan Philippe Coutinho pada minit ke-89. Pada 31 Mac, Lallana tampil sebagai pemain gantian pada minit ke-65 ketika menentang Crystal Palace, tetapi hanya beberapa minit setelah bermain beliau sekali lagi mengalami kecederaan yang membuatnya tidak beraksi dalam beberapa minggu. Beliau kembali semula ke skuad Liverpool pada hari terakhir musim Liga Perdana Inggeris dengan datang sebagai pemain ganti untuk Sadio Mané pada minit ke-74, ketika bermain menentang Brighton & Hove Albion.
Pada 26 Mei 2018, Lallana bermain sebagai pemain ganti pada minit ke-31 untuk menggantikan Mohamed Salah yang mengalami kecederaan ketika beraksi dalam perlawanan akhir kejohanan Liga Juara-Juara UEFA 2017–18. Perlawanan akhir tersebut menyaksikan Liverpool tewas 3-1 ke atas Real Madrid. Lallana hanya membuat 13 penampilan pada musim 2017-18 tanpa menjaringkan sebarang gol. Musim berikutnya, Lallana sekali lagi hanya bermain sekali-sekala dengan membuat 13 penampilan liga tanpa menghasilkan jaringan gol. Beliau bagaimanapun berada di bangku simpanan untuk perlawanan akhir kejohanan Liga Juara-Juara UEFA 2018–19, yang mana Liverpool menang 2-0 ke atas Tottenham. Beliau juga mendapat pingat pemenang Liga Juara-Juara UEFA 2018–19 sebagai penghormatan utama bersama Liverpool.
Musim 2019-20: Kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan musim terakhir bersama Liverpool
Pada 20 Oktober 2019, Lallana turun dari bangku simpanan dan menjaringkan gol penyamaan 1-1 pada minit ke-85 ketika menentang Manchester United di stadium Old Trafford. Gol tersebut merupakan gol terakhirnya bersama Liverpool dan juga membantu Liverpool meneruskan rekod tanpa kalah di Liga Perdana Inggeris.[25]
Pada 9 Jun 2020, Lallana menandatangani kontrak jangka pendek untuk memanjangkan kontraknya bersama Liverpool sehingga akhir musim 2019-20 yang terganggu oleh wabak COVID-19. Pada 25 Jun 2020, Lallana bersama pasukan Liverpool meraih gelaran Liga Perdana Inggeris musim 2019-20 berikutan kegagalan Manchester City untuk mengalahkan Chelsea (Menandakan gelaran liga pertama pasukan tersebut dalam tempoh 30 tahun).[26] Lallana meninggalkan Liverpool pada akhir musim dengan kontraknya yang telah tamat dan mengakhiri tempoh 6 tahun perkhidmatannya bersama Liverpool.[27]
Brighton & Hove Albion
Pada 27 Julai 2020, Lallana telah sah menyertai rakan sepasukan kelab Liga Perdana Inggeris, Brighton & Hove Albion dengan perpindahan percuma berikutan tamat kontraknya bersama Liverpool. Lallana menandatangani kontrak tiga tahun bersama kelab tersebut.[28]
Karier antarabangsa
Lallana membuat penampilan pertama untuk England pada 15 November ketika menentang Chile di Stadium Wembley. Pada 12 Mei 2014, Lallana dinamakan dalam skuad 23-pemain England squad untuk Piala Dunia FIFA 2014.[29]
Pada 30 Januari 2017 diumumkan bahawa Lallana telah memenangi Anugerah Pemain Terbaik England untuk tahun 2016 setelah menunjukkan persembahan baik untuk pasukan kebangsaan.[30]
Pada 16 Mei 2018, Lallana juga adalah salah satu daripada lima pemain yang dipilih sebagai siap sedia untuk mewakili pasukan kebangsaan England dalam kejohanan Piala Dunia FIFA 2018.[31]
Kehidupan peribadi
Lallana mengahwini tunangnya Emily Jubb pada 24 Disember 2013. Pasangan tersebut telah berpacaran selama tujuh tahun dan berkahwin pada 14 Jun 2014. Mereka berkahwin di Poole Register Office di Dorset[32] dan dikurniakan dua anak lelaki, Arthur Michael, lahir pada 26 September 2012 dan Albie George dilahirkan pada 3 Jun 2015.[33]
Pada tahun 2014, Lallana ditandatangani sebagai model Connection Perancis, untuk mempromosikan koleksi Autumn / Winter mereka.[34] Beliau mendedahkan pemotretan fesyennya pada wawancara dengan majalah Esquire.[35]
Statistik karier
Kelab
Sehingga perlawanan yang dimainkan pada 7 Mac 2020
Penampilan dan gol mengikut kelab, musim dan pertandingan