Abdul Latip bin Talib (lahir 2 Jun 1954) ialah seorang penulis yang aktif dan terkenal di Malaysia. Beliau mula menceburkan diri di dalam bidang penulisan sastera bermula pada tahun 1999. Beliau terkenal sebagai penulis prolifik melalui novel-novel sejarah Islam yang ditulis beliau yang dikenali sebagai siri Novel Sejarah Islam.
Biografi
Abdul Latip Talib yang juga sinonim dengan panggilan Pak Latip dilahirkan di Kampung Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan pada 2 Jun 1954.
Anugerah dan pencapaian
Pencapaian dan sumbangan terbesar beliau mungkin sekali adalah dalam menarik minat golongan remaja untuk membaca bahan sejarah melalui penulisan siri Novel Sejarah Islam yang diterbitkan oleh PTS Fortuna. Berdasarkan laman web universitipts.com, karya-karya beliau telah berjaya membantu pelajar-pelajar sekolah memperbaiki markah pencapaian ujian sejarah Islam.[1]
Pada tahun 2007, beliau telah dikurniakan Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) oleh Kerajaan Negeri Sembilan. Selain itu, novel beliau Perang Jementah dan Datuk Moyang Saleh telah merangkul hadiah Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor 2007.[perlu rujukan]
Dalam senarai 'Top 100 Penerima Royalti Tertinggi Bagi Jualan 2011 PTS', beliau menduduki tempat pertama dalam senarai tersebut. Pada tahun yang sama, jualan buku-buku beliau yang mengkompilasikan beberapa novel yang telah diterbitkan iaitu Imam-imam yang Benar, Khalifah-khalifah yang Benar dan Perang-perang yang Benar telah mencecah lebih sejuta ringgit.[perlu rujukan] Dua yang pertama daripada tiga kompilasi novel itu pula tersenarai dalam 'Top 10 Judul Buku Paling Tinggi Sepanjang Tahun 2011 Berdasarkan Perolehan Ringgit'.[3]
Pada Mac 2013, buku-buku beliau sudah diluluskan oleh Jabatan Mufti Brunei untuk dipasarkan di negara tersebut.[perlu rujukan] Brunei merupakan sebuah negara yang menggariskan syarat yang ketat tentang bahan bacaan yang boleh dibawa masuk terutamanya yang berunsurkan agama.[perlu rujukan] Di Pesta Buku Brunei yang diadakan antara 28 Februari sehingga 10 Mac, buku-buku beliau telah mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga terdapat beberapa judul yang kehabisan stok, antaranya buku Umar Abdul Aziz - Bayangan khalifah al-Rasyidin.[perlu rujukan]
Selain terlibat dalam bidang penulisan, Pak Latip juga aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan. Beliau gigih dalam kempen membantu masyarakat Islam Kemboja yang daif. Melalui laman Facebook beliau, Pak Latip berusaha meminta masyarakat dan peminat beliau untuk menyumbangkan wang bagi membantu minoriti Muslim Kemboja. Antara bantuan yang dihulurkan melalui dana yang dikumpul ialah bantuan persekolahan, elaun kepada guru-guru, menderma naskhah-naskhah Al-Quran serta membina perigi di kampung Trapiang Bralit dan Ratanatkiri.
Kampung Trapiang Bralit yang terletak jauh dari sungai dan tiada kemudahan paip air menyukarkan 150 buah keluarga yang tinggal di situ. Melalui program 'Wakaf Perigi Kemboja' yang mana Pak Latip terlibat secara aktif, 10 buah perigi pam dicadang untuk dibina dan diwakafkan kepada penduduk kampung.
Menerusi laman sosial juga, melalui pertandingan 'Umrah Percuma Bersama Pak Latip', para peminat Pak Latip digalakkan untuk menghantar entri dalam bentuk karangan bertema 'Kesan ke atas diri saya setelah membaca novel sejarah Islam' berserta gambar bersama karya-karya beliau. Entri terbaik yang dipilih akan berpeluang untuk ke umrah secara percuma bersama-sama beliau.
Karya
Walaupun telah menulis dan menerima beberapa anugerah sebelumnya, namun nama Abdul Latip Talib mula dikenali secara meluas oleh pembaca Malaysia melalui penulisan siri Novel Sejarah Islam. Siri ini juga telah meletakkan nama beliau di tempat teratas dalam senarai pemerima royalti tertinggi pada tahun 2011[perlu rujukan]. Siri ini pula boleh dibahagikan kepada zaman-zaman tertentu dalam sejarah tamadun Islam.
Pada tahun 2009, karya beliau yang berjudul Istana Menanti dijadikan teks Komsas bagi pelajar Tingkatan 1 oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Bukan itu sahaja, karya yang berjudul Leftenan Adnan Wira Bangsa juga dijadikan teks Komsas bagi pelajar Tingkatan 4 pada tahun 2015.[5]
Kontroversi
Novel sejarah Islam
Novel-novel sejarah yang ditulis oleh Abdul Latip sering kali dipuji kerana gaya bahasanya yang mudah dibaca selain berupaya menarik minat remaja mendalami sejarah Islam. Karya beliau juga pernah mendapat ulasan yang baik daripada pengulas dari Singapura.[perlu rujukan]
Namun yang demikian, banyak novel karyanya dikritik oleh beberapa pihak. Mereka mempertikaikan kesahihan fakta sejarah yang dimasukkan dalam tulisan beliau dan mempertikai penulisan dialog yang diungkapkan oleh baginda Nabi Muhammad dengan menyatakan bahawa adalah haram berbuat demikian.[6][7] Antara novel yang ditarik ialah novel Hijrah atas sebab-sebab yang dinyatakan sebelum ini.[8]
Kebiasaannya beliau akan menjawab kritikan yang diberikan dengan menyatakan sumber yang digunakan beliau untuk mendapatkan maklumat seperti buku-buku ternama yang diiktiraf dan diyakini kesahihannya.[perlu rujukan] Pada November 2010 dalam blog rasmi beliau abdullatip.blogspot.com, beliau menyiarkan surat memohon maaf yang diterima daripada seorang pembaca (nama dirahsiakan) yang pernah mengkritik karya beliau. Dalam jawapan beliau terhadap surat itu, Pak Latip mengakui ada kekurangan dalam penulisannya yang boleh diperbaiki dan menyatakan kesediaannya menerima teguran daripada mana-mana pihak.[9]