Tentera Udara Perancis (Perancis: Armée de l'air [aʀme də lɛʀ], "ketumbukan udara") adalah pasukan udara didalam Angkatan Tentera Perancis. Ditubuhkan pada tahun 1909 sebagai Service Aéronautique, iaitu sebuah pasukan udara dalam Tentera Darat Perancis, yang kemudiannya diubah menjadi cabang tentera yang bebas pada tahun 1934, ia dipercayai menjadi tentera udara tertua di dunia. Jumlah pesawat yang berkhidmat dengan Tentera Udara Perancis berubah-ubah mengikut sumber, bagaimanapun sumber dari Kementerian Pertahanan Perancis memberikan angka 658 buah pesawat pada tahun 2014.[6][7] Tentera Udara Perancis memiliki 219 buah pesawat tempur yang berkhidmat, majoritinya terdiri daripada 124 Dassault Mirage 2000 dan 95 Dassault Rafale. Seawal tahun 2014, Tentera Udara Perancis mempunyai sejumlah 43,597 anggota tetap. Elemen simpanan tentera udara mengandungi 5,187 anggota dari Rizab Operasi.[2]
Menteri Pertahanan Perancis bertanggungjawab bagi pelaksanaan polisi tentera. Beliau dinasihati oleh Ketua Turus Pertahanan (CEMA) dari segi penggunaan angkatan tentera dan penguasaan operasi tentera. Ketua Turus Tentera Udara Perancis (Chef d'État-Major de l'Armée de l'Air, CEMAA) menentukan doktrin tentera udara dan menasihati CEMA bagaimana untuk menggunakan aset-aset udara Perancis. Beliau bertanggungjawab bagi penyediaan dan bantuan logistik tentera udara. Ketua Turus Tentera Udara terkini ialah Général d'armée aérienne André Lanata yang dilantik pada 21 September 2015.
Sejarah
Terdapat banyak pendapat mengatakan bahawa Armée de l'Air merupakan tentera udara profesional pertama yang ditubuhkan di dunia. Perancis mempunyai minat yang aktif dalam membangunkan tentera udara daripada tahun 1909 dan negara pertama yang memiliki juruterbang pesawat pejuang dalam Perang Dunia I. Dalam tempoh tahun di antara perang, terutamanya pada tahun 1930-an, kualitinya jatuh dibandingkan dengan pasukan Luftwaffe, yang telah menghancurkan Perancis dalam Pertempuran Perancis.
Era selepas Perang Dunia II, Perancis menyatupadukan usaha dan berjaya membangunkan industri pesawat tempatan. Dengan diketuai oleh Dassault Aviation dengan rekabentuk sayap delta yang unik dan efektif, telah menghasilkan pesawat jet dalam siri keluarga Mirage. Pesawat Mirage telah menunjukan keupayaan membunuhnya dalam Perang Enam Hari dan Perang Teluk, dan merupakan sebuah pesawat paling popular dan rekod jualan yang mengagumkan dalam sejarah industri ketenteraan. Pada masa sekarang, Tentera Udara Perancis sedang menunggu penghantaran pesawat pengangkut tentera A400M, yang mana masih berada dalam peringkat pembangunan, dan integrasi pesawat tempur pelbagai peranan Dassault Rafale, dalam skuadron operasi pertama yang mengandungi 20 buah pesawat telah berjaya direalisasikan pada tahun 2006 di Saint-Dizier.
Inventori pesawat
Lihat juga
Rujukan
Pautan luar
Templat:Angkatan Tentera Perancis