Tengku Abdul Aziz bin Tengku Mohd Hamzah bin Tengku Zainal Abidin ibni Sultan Muhammad III (10 September 1933–20 September 2020) ialah seorang diplomat Malaysia dan ahli kerabat diraja Kelantan. Beliau berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dari tahun 1975 hingga 1978 dan Duta Besar Malaysia ke Belanda dari tahun 1978 hingga 1982. Beliau merupakan kekanda kepada bekas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah.[1]
Kehidupan awal dan pendidikan
Tengku Abdul Aziz telah diputerakan di Kota Bharu, Kelantan pada 10 September 1933. Beliau merupakan putera sulung dan anakanda keempat kepada Menteri Besar Kelantan ke-12, Tengku Sri Maharaja Tengku Muhammad Hamzah bin Tengku Zainal Abidin dan Nik Zainab binti Ismail. Beliau juga merupakan ayahanda saudara dan biras kepada Raja Perempuan Tengku Anis binti Almarhum Tengku Abdul Hamid yang merupakan permaisuri kepada Sultan Kelantan ke-28, Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra. Tengku Abdul Aziz mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Padang Garong di samping mendapat asuhan agama di rumahnya. Dalam tahun 1945, beliau menuntut di Maktab Sultan Ismail dan dalam tahun 1956 hingga 1958, beliau berangkat melanjutkan pelajaran di Australia.[2][3]
Sejarah lantikan
Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Pemangku Sultan Kelantan sebanyak dua kali. Kali pertama ialah ketika ayahanda mentuanya, Sultan Yahya Petra membuat lawatan ke Jepun, Taiwan dan Hong Kong, di mana beliau menjadi Pemangku Raja selama dua bulan, bermula dari 18 April 1966 hingga 3 Julai 1966.[4] Semasa ayahanda mentuanya menjalani pembedahan di Hospital Besar Kuala Lumpur, Tengku Abdul Aziz berkhidmat semula sebagai Pemangku Raja selama dua bulan mulai 13 Disember 1967 hingga 4 Februari 1968.[5]
Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Yang Di-Pertua Majlis Perajaan Negeri Kelantan (MPN) pada 21 September 1965 sebelum diganti oleh Tengku Laksamana Kelantan Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada 25 April 2010.[6][7]
Tengku Abdul Aziz merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dari 1 Januari 1967 hingga 31 Mei 1975.[8]
Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi dari tahun 1975 hingga 1978 dan Duta Besar Malaysia ke Belanda dari tahun 1978 hingga 1982.
Kehidupan peribadi
Tengku Abdul Aziz telah melangsungkan perkahwinan dengan puteri sulung Sultan Kelantan ke-27, Sultan Yahya Petra iaitu Tengku Merjan pada 22 Januari 1960. Mereka telah dikurniakan dengan tiga orang putera dan seorang puteri iaitu Tengku Mohamad Rizam (Tengku Temenggong Kelantan), Tengku Ramizan, Tengku Mohamad Rizal dan Tengku Mohamad Ridzman.[9]
Kemangkatan
Tengku Abdul Aziz telah mangkat di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur pada jam 2.37 pagi, 20 September 2020. Jenazahnya telah dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Kota Bharu, Kelantan.[10]
Penghargaan
Tengku Abdul Aziz telah dikurniakan gelaran Tengku Sri Utama Raja oleh ayahanda mentuanya, Sultan Yahya Petra pada tahun 1962.[11] Antara anugerah yang dianugerahkan kepadanya adalah seperti berikut:
Rujukan