Tanah runtuh Lebuhraya Utara-Selatan 1996

Tanah runtuh Lebuhraya Utara-Selatan 1996
Tarikh6 Januari 1996; 28 tahun yang lalu (1996-01-06)
MasaSekitar 10:00 pagi (WPM)
LokasiLebuhraya Utara-Selatan, Gua Tempurung, Perak
PenyebabTanah runtuh
Kematian1 (kelindan lori)
Kecederaan1 (pemandu lori)

Tanah runtuh Lebuhraya Utara-Selatan 1996 ialah satu kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 6 Januari 1996 di lereng bukit kilometer 303.8, Lebuhraya PLUS berdekatan dengan hentian rehat di arah utara Gua Tempurung, Perak. Insiden ini hanya mengorbankan 1 nyawa sahaja, iaitu seorang kelindan lori, Abdul Hamid Kodin manakala pemandunya, Hasri Hamid selamat.[1]

Peristiwa

Pada awal pagi Sabtu, 6 Januari 1996, pemandu lori Hasri Hamid dan kelindannya, Abdul Hamid Kodin telah ditugaskan untuk membawa muatan lori kontena seberat 20 tan ke Ipoh. Hasri memulakan perjalanan lebih kurang jam 7 pagi dan menggunakan laluan rutin menuju keluar ke Plaza Tol Bidor ke lebuhraya Utara-Selatan. Kelindannya, Abdul Hamid ialah seorang yang pendiam dan berkhidmat selama 5 tahun di syarikat PLUS. Difahamkan beberapa jam sebelum kejadian, Abdul Hamid sempat membeli nasi lemak untuk keluarganya bersarapan. Laluan trafik pada mulanya berjalan lancar meskipun terdapat banyak kenderaan yang melalui lebuhraya Utara-Selatan. Seorang pemandu ambulans, Abdullah Sani Sulaiman mendakwa telah berselisih dengan lori kontena yang dipandu oleh Hasri.

Sekitar jam 10 pagi, runtuhan tanah pertama berlaku, menyebabkan pemandu lori Hasri mengalami kecederaan, manakala kelindannya, Abdul Hamid maut. Ia disifatkan sebagai bencana alam serius pertama yang berlaku di lebuhraya PLUS sejak ia dibuka pada 1994. Pada jam 11:20 pagi, runtuhan tanah kedua berlaku semasa misi mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan. 7 meter padu tanah telah runtuh menyebabkan 4 laluan di lebuhraya PLUS telah ditutup sepenuhnya sekaligus menyukarkan kerja menyelamat.

Siasatan

Pada 14 hingga 20 Januari 1996, seminggu selepas kejadian tanah runtuh, Jabatan Penyiasatan Kajibumi menjalankan siasatan ke atas insiden itu. Hasil sisasatan mendapati lebuhraya itu dibina di zon ricih dan retak, iaitu zon yang mempunyai kelemahan semulajadi. Selain itu, terdapat juga air terjun kecil antara dua lereng bukit tidak jauh dari tempat kejadian yang menunjukkan terdapat takungan air di kawasan itu.[2][3]

Susulan kejadian itu, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah mengeluarkan warta larangan pemotongan cerun. Beberapa garis panduan turut digubal bagi memelihara cerun termasuk garis panduan topografi, garis panduan mengawal hakisan dan kelodakan tanah 1996 dan garis panduan pembangunan di kawasan bukit 1997.[2][3]

Selepas kejadian

Tidak lama kemudian selepas kejadian, Menteri Kerja Raya, S. Samy Vellu meminta Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menjalankan ujian tanah di cerun bukit sepanjang laluan Ipoh-Changkat Jering di lebuh raya Utara-Selatan bagi memeriksa kestabilan tanah itu.[4]

PLUS bersetuju memberi bantuan kecemasan sebanyak RM10,000, kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh.[5] Ia didedahkan dalam laporan berita pada 8 Januari 1996 bahawa PLUS akan membina segera jalan lencongan sepanjang kira-kira dua kilometer di Kilometer 303.8 berdekatan Gua Tempurung laluan Gopeng-Tapah bagi menyelesaikan kesulitan 11,000 pengguna.[6] Pada 9 Januari, PLUS merobohkan dua bangunan perhentian rehat lebuh raya di Kilometer 303.8 Gua Tempurung, bagi memberi laluan kepada kerja-kerja membina jalan sementara.[7] PLUS telah menyerahkan surat jaminan bagi membiayai perbelanjaan persekolahan anak-anak kelindan lori Abdul Hamid Kodin.[8] Selepas dua minggu ditutup, Laluan Lebuhraya Utara-Selatan di antara Tapah dan Gopeng dibuka kepada orang ramai bermula 20 Januari 1996.[9]

Dalam budaya masyhur

Insiden ini diceritakan dalam rancangan dokumentari Detik Tragik terbitan TV3.[10]

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ "Empat mati tertimbus". Metro Ahad. 7 Januari 1996. Dicapai pada 2 Januari 2020.
  2. ^ a b "Air mendap mungkin punca lereng runtuh". Berita Minggu. 7 Januari 1996. Dicapai pada 2 Januari 2020.
  3. ^ a b "Laporan tragedi Gua Tempurung". Harian Metro. 1 April 1996. Dicapai pada 2 Januari 2020.
  4. ^ "Checks on slopes near highway" (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. 7 Januari 1996. Dicapai pada 2 Januari 2020.
  5. ^ "Plus beri RM10,000 untuk keluarga mangsa". Berita Minggu. 7 Januari 1996. Dicapai pada 2 Januari 2020.
  6. ^ "PLUS bina lencongan". Harian Metro. 8 Januari 1996. Dicapai pada 2 Januari 2020.
  7. ^ Muhammad Safar Ahmad (9 Januari 1996). "Plus roboh pusat rehat". Harian Metro. Dicapai pada 2 Januari 2020.
  8. ^ "Plus biayai anak mangsa tanah runtuh". Berita Minggu. 14 Januari 1996. Dicapai pada 2 Januari 2020.
  9. ^ "Laluan Gopeng-Tapah dibuka esok". Harian Metro. 19 Januari 1996. Dicapai pada 2 Januari 2020.
  10. ^ "'Detik Tragik' Papar Bencana Terburuk Dalam Negara". mStar Online. 25 April 2012. Dicapai pada 11 Jun 2012.