Sultan Idris Murshidul Azzam Shah ibni al-Marhum Raja Bendahara Alang Iskandar Teja, GCMG GCVO merupakan Sultan Perak yang ke-28. Baginda merupakan putera kepada Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar Marhum Teja ibni Almarhum Raja Kecil Tengah Ahmad ibni Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Baginda telah diputerakan di Kampung Kuala Keboi, Kampar pada tahun 1849. Baginda juga merupakan seorang yang cerdik pandai. Baginda bersaudara sepupu dengan Sultan Abdullah Muhammad Shah II.
Menjadi Hakim
Pada tahun 1875, semasa Sultan Abdullah Muhammad Shah II menjadi Sultan Perak, baginda berumur 26 tahun. Di masa perselisihan antara Sultan Abdullah Muhammad Shah II dengan Residen BritishJ.W.W. Birch, baginda menjadi ketua rombongan perwakilan yang membawa surat daripada Sultan Abdullah Muhammad Shah II kepada Gabenor Negeri-Negeri SelatSir Andrew Clarke. Pada tahun yang sama, baginda telah dilantik oleh Sultan Abdullah Muhammad Shah II menjadi hakim dan kemudian menjadi hakim besar pula.
Ketika baginda berjawat sebagai hakim pada tahun 1884, baginda telah berangkat ke London, United Kingdom bersama-sama dengan Sir Hugh Low dan Raja Mansur ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II bertujuan mengambil balik alat-alat kebesaran kerajaan Negeri Perak yang dibawa oleh orang-orang Inggeris untuk disimpan selepas huru-hara Perang Perak dari tahun 1875 hingga ke 1876.
Pada tahun 1902, baginda berkenan mencemar duli ke United Kingdom untuk menghadiri Pemahkotaan Raja Edward VII dan Permaisuri Alexandra, berangkat tiba di kota London pada awal bulan Jun,[1] dan melanjutkan keberadaan baginda sehingga musim luruh untuk menghadiri istiadat yang telah dijadual semula berikutan kegeringan Raja.
Sultan yang adil
Pada bulan Julai 1887, Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah pun mangkat dan baginda akhirnya dilantik menjadi Sultan Perak yang ke-28 bergelar Sultan Idris Murshidul'Adzam Shah (atau lebih dikenali sekarang sebagai Sultan Idris Shah I). Baginda bersemayam di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Ketika itu, baginda berumur 38 tahun. Sir Hugh Low masih memegang jawatan Residen British di Negeri Perak.
Lagu Negeri Perak
Pada tahun 1888, baginda berangkat sekali lagi ke England bersama-sama Sir Hugh Low dan Raja Ngah Mansur atas undangan Ratu Inggeris, Ratu Victoria. Semasa berada di England, Raja Ngah Mansur berusaha dengan persetujuan Sultan Idris mencipta Lagu Kebangsaan Negeri Perak berasal daripada lagu 'Terang Bulan'. Lagu ini mula diketengahkan pada 5 April 1889 dalam istiadat pertabalan baginda di Kuala Kangsar.
Negeri yang maju
Dalam pemerintahan baginda, Negeri Perak bertambah maju, pekan-pekan semakin banyak dibuka. Hasil bijih timah dari daerah Kinta banyak dikeluarkan. Ladang-ladang getah semakin banyak dibuka di seluruh Negeri Perak. Bilangan penduduk Negeri Perak menjadi bertambah ramai sehingga berjumlah lebih daripada dua ratus ribu orang.
Pada bulan Mac 1900, baginda berkenan merasmikan Jambatan Victoria, sebuah jambatankereta api laluan tunggal terletak di Karai, Perak. Jambatan kereta api ini merupakan antara yang tertua di Malaysia. Ia telah dibina antara bulan Disember 1897 dan bulan Mac 1900 oleh Kereta Api Negeri Perak untuk melintasi Sungai Perak untuk industri perlombongantimah tempatan.
Durbar
Pada tahun 1895, dengan persetujuan Ke bawah Duli-duli Yang Maha Mulia Sultan-sultan negeri Perak, Selangor, Pahang dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, keempat-empat buah negeri itu dijadikan sebuah persekutuan negeri-negeri dinamakan 'Negeri-Negeri Melayu Bersekutu'. Persekutuan ini telah ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Julai 1896, dan Majlis Raja-Raja keempat-empat buah negeri ini disebut 'Durbar'. Pengerusinya ialah Sir Charles Mitchell, Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu serta Gabenor Negeri-Negeri Selat. Majlis 'Durbar' yang pertama telah diadakan di Istana Negara, istana rasmi baginda di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada bulan Julai 1897.
Ngah Jabor
Pahlawan Perak serta pengasas daerah Kampar, Perak iaitu Ngah Jabor merupakan adik-beradik sesusu dengan baginda.
Masjid Ubudiah
Pada tahun 1911, baginda telah jatuh gering. Oleh demikian, baginda telah bernazar untuk membina sebuah masjid seandainya baginda sembuh.
Tidak lama kemudian, penyakitnya beransur sembuh. Untuk melaksanakan nazarnya, baginda telah menitah Kolonel Huxley untuk mereka bentuk masjid itu. Pada tahun 1917, masjid itu pun siap dibina dan dinamakan sebagai Masjid Ubudiah. Namun hasrat Sultan Idris Shah I untuk melihat masjid baginda siap tidak kesampaian apabila baginda mangkat setahun sebelum masjid itu siap.
Mangkat
Setelah memerintah selama 29 tahun, baginda pun mangkat pada 14 Januari 1916 pada usia 66 tahun. Baginda telah dimakamkan di Makam Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Baginda bergelar Marhum Rahmatullah. Takhta kerajaan telah diambil alih oleh paduka putera baginda Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah.
Sultan Idris Murshidul Azzam Shah
Tarikh keputeraan: 19 Jun 1849 Tarikh kemangkatan: 14 Januari 1916
7 Oktober 1886 - 29 Julai 1887: Yang Amat Mulia Raja Idris bin Raja Alang Iskandar, Raja Muda Negeri Perak Darul Ridzuan
29 Julai 1887 - 14 Januari 1916: Duli Yang Maha Mulia Maulana Paduka Sri Tuanku Sultan Sir Idris Murshidul Azzam Shah Rahmatullah I ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar Teja GCMG GCVO, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Perak Darul Ridzuan ke-XXVIII
Nama diraja: Sultan Idris Shah I
Anumerta: Marhum Rahmatullah
Ahli kaum kerabat
Baginda memiliki 7 raja permaisuri dan telah dikurniakan 19 orang paduka putera dan 17 orang paduka puteri.[3][4]
Nama
Keputeraan
Kemangkatan
Perkahwinan
Raja Nuteh Aishah binti Almarhum Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah Ghafirullah