Stesen MRT Katong Park ialah sebuah stesen Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (MRT) bawah tanah yang dimiliki sepenuhnya oleh SMRT Trains. Stesen ini menyediakan perkhidmatan Laluan MRT Thomson-Pantai Timur dan terletak di sempadan kawasan perancangan Kallang dan Marine Parade, Singapura.[2] Stesen ini terletak di bawah tanah persimpangan antara Fort Road, Tanjong Rhu Road dan Meyer Road, dan akan menjadikan akses ke Taman Katong, sebuah taman awam di Katong.
Nama stesen diumumkan pada tahun 2014, dan pembinaan stesen itu bermula pada tahun 2016. Ia dijangka dibuka bersama-sama dengan stesen Fasa 4 TEL pada 2024. Seperti Stesen MRT Stevens dan Stesen MRT Promenade di laluan MRT Pusat Bandar, stesen itu akan mempunyai susunan platform yang bertindih, dengan platform pada aras berbeza yang berkhidmat di dua hala laluan.
Sejarah
Pada 15 Ogos 2014, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah mengumumkan bahawa stesen Katong Park akan menjadi sebahagian daripada cadangan jajaran laluan Thomson–Pantai Timur (TEL). Stesen ini akan dibina sebagai sebahagian daripada Fasa 4, yang terdiri daripada lapan stesen, iaitu antara Founders' Memorial dan Bayshore, dan dijangka siap pada tahun 2024..[3][4]
Kontrak T305 untuk reka bentuk dan pembinaan stesen Katong Park telah dianugerahkan kepada Shanghai Tunnel Engineering Co. (Singapore) Pte Ltd dengan jumlah sebanyak S$293 juta (US$212.09 juta) pada Januari 2016. Pembinaan stesen telah bermula pada tahun 2016, dan dijangka siap pada tahun 2024 kelak. Pembinaan terowong sepanjang 3.6-kilometer (2.2 bt) memerlukan penggunaan mesin pengorek terowong jenis "Neraca Tekanan Bumi" (EPB) yang berdiameter sekitar 6.35-meter (20.8 ka).[5][6]
Pembinaan Stesen MRT Katong Park dianggap sukar kerana ruang untuk membina stesen adalah terhad, lalu menyebabkan kawasan pembinaan yang sempit di sepanjang Meyer Road. Tanah di sekitar stesen itu merupakan tanah liat lembut kerana ia dibina di atas kawasan tebus guna tanah. Oleh sebab itu, stesen itu akan mempunyai susunan platform yang bertindih antara satu sama lain, sama seperti stesen DTL Promenade dan Stevens, bagi mengurangkan kegunaan tanah di tapak pembinaan stesen. Untuk meminimumkan risiko pembinaan akibat tanah lembut di sekitar stesen, bentangan tanah terpilih telah diperkukuhkan untuk memudahkan kerja-kerja terowong dan dinding diafragma yang mempunyai kedalaman 65 meter (213 ka), melebihi ketinggian kotak stesen yang hanya 28 meter (92 ka).[7][8]
Pada mulanya Stesen MRT Katong Park dijangka akan dibuka pada tahun 2023, tetapi sekatan ke atas pembinaan akibat pandemik COVID-19 di Singapura telah menyebabkan kelewatan dalam pembinaan laluan ini, dan ditangguhkan pada tahun 2024.[9]
Ciri-ciri stesen
Stesen MRT Katong Park terletak di bawah persimpangan Fort Road, Tanjong Rhu Road dan Meyer Road. Stesen MRT ini akan memberi perkhidmatan dan menambah kesalinghubungan kepada penduduk kondominium berdekatan seperti The Belvedere, The Line @ Tanjong Rhu, The Waterside, Fulcrum, De Centurion, Palazzetto, Crystal Rhu, The View @ Meyer, La Ville, Fort Gardens, Emerald East, Fortville, The Meyer Place dan Meyer Residence, serta Dunman High School.[10] Apabila stesen itu siap, ia akan berada di antara stesen MRT Tanjong Rhu dan stesen MRT Tanjong Katong. Kod stesen bagi Stesen MRT Katong Park ialah TE24.[11]