Pulau Penyengat (Jawi: ڤولاو ڤڽڠتcode: ms is deprecated ) atau Pulau Penyengat Inderasakti (Jawi: ڤولاو ڤڽڠت ايندراسقتي) dalam sebutan sumber-sumber sejarah, adalah sebuah pulau kecil yang berjarak lebih kurang 6 km dari Kota Tanjung Pinang, pusat pemerintahan Provinsi Kepulauan Riau milik Indonesia. Pulau ini berukuran lebih kurang 2,500 meter panjang dan 750 meter lebar. Pulau ini terletak lebih kurang 35 km dari Pulau Batam, ia dapat dituju dengan menggunakan perahu bermotor khas iaitu bot pompong mengambil tempoh lebih kurang 15 minit.[1]
Pulau ini pada awalnya hanya sebuah tempat persinggahan armada-armada pelayaran yang melayari perairan Pulau Bintan, Selat Melaka dan sekitarnya terutamanya untuk mendapatkan bekalan air tawar. Namun ia lama-kelamaan menjadi titik utama dalam sejarah jatuh bangunnya kerajaan-kerajaan Melayu termasuk di Johor, Pahang, Siak dan Lingga, khususnya di bagian selatan dari Semenanjung Melayu. Peran penting tersebut berlangsung selama 120 tahun, sejak berdirinya Kerajaan Riau pada tahun 1722, sampai akhirnya diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan Belanda pada 1911.[1]
Pulau ini merupakan salah satu destinasi pelancongan di Kepulauan Riau. Perkara-perkara yang boleh kita lihat adalah Masjid Raya Sultan Riau yang dibuat dari putih telur, makam-makam para raja, makam Raja Ali Haji, kompleks Istana Sultan dan benteng pertahanan di Bukit Kursi. Pulau Penyengat dan kompleks istana di Pulau Penyengat telah dicalonkan ke UNESCO untuk dijadikan salah satu Tapak Warisan Dunia.
Sejarah
Menurut cerita rakyat setempat, ada para pelaut yang melanggar pantang larang ketika mengambil air menyebabkan ratusan ekor penyengat datang menyerang; kejadian inilah yang memberi nama "Pulau Penyengat".[1][2] Gelaran "Inderasakti" ditambahkan apabila pulau ini menjadi pusat kerajaan Riau.
Pada 1803, Raja Haji membangun sebuah kubu di Bukit Kursi dilengkapi beberapa meriam sebagai asas pertahanan Bentan. Seorang puterinya Raja Hamidah Binti Raja Haji atau Engku Puteri dikahwinkan dengan Sultan Mahmud Shah III yang menghadiahkan hak milik penuh Pulau Penyengat kepadanya menurut Tuhfat Al-Nafis. Pulau ini kemudiannya menjadi pusat pemerintahan Yang Dipertuan Muda bermula daripada Raja Ja'afar sehingga Raja Muhammad Yusuf, Yang Dipertuan Muda Riau terakhir berikutan penggabungan jawatan Yang Dipertuan Muda dengan jawatan Sultan oleh Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah; pusat pemerintahan Kesultanan Lingga-Riau juga telah berpindah ke sini pada zaman pemerintahan Raja Yusuf. Sultan Riau yang baharu ini bersemayam resmi di Daik-Lingga.