Persatuan Pencinta Alam Malaysia (bahasa Inggeris: Malaysian Nature Societycode: en is deprecated ; MNS) adalah satu badan bukan kerajaan yang tidak berasaskan keuntungan bagi pencinta alam sekitar di Malaysia. Persatuan ini ditubuhkan sebagai Persatuan Pencinta Alam Malaya (Malayan Nature Society) pada tahun 1940. MNS merupakan sebuah badan dan persatuan alam sekitar yang dipercayai tertua di Malaysia, Asia dan salah satu tertua di dunia. MNS berpusat di Bukit Persekutuan di Kuala Lumpur.[1] Cawangan Singapura persatuan ini telah menamakan dirinya semula sebagai Pencinta Alam (Singapura) ataupun Nature Society (Singapore) pada tahun 1991.
Badan alam sekitar ini telah berjaya memujuk pihak berkuasa untuk mewujudkan Taman Negara Endau-Rompin. Usaha untuk mengazetkan kawasan tersebut tercetus apabila MNS melakukan satu ekspedisi saintifik ke Endau dan Rompin pada tahun 1985 dan 1986.[3] Baru-baru ini, MNS sedang menjalani satu kempen untuk mengazetkan kawasan Belum-Temengor sebagai kawasan terpelihara.[4]
Sebagai sebuah badan, MNS menerbitkan dua majalah berkala yang berbahasa Inggeris. Dua majalah tersebut adalah Malaysian Naturalist dan Malayan Nature Journal. Malaysian Naturalist ditujukan kepada halayak ramai dan Malayan Nature Journal bersifat lebih saintifik.
Pada 20 April 2010, Vincent Chow dari MNS Johor mendedahkan pemburu negara jiran memburu
haiwan eksotik serta mencuri kayu gaharu di Taman Negara Endau-Rompin sebelum diseludup ke Bangkok . Sindiket mengatur kehadiran mereka dan menggunakan kepakaran memburu di kalangan masyarakat Orang Asli. Peniaga di Bangkok mengakui mereka mendapat bekalan kayu gaharu daripada Endau-Rompin. Haiwan eksotik yang diburu ialah tenggiling, ular senduk,ular sawa, harimau, biawak dan lain-lain yang hampir pupus. Dari Thailand, ia diseludup ke China untuk tujuan makanan eksotik dan perubatan tradisional. Harga seekor tenggiling ialah RM1,000. Seekor harimau boleh mencecah sehingga RM150,000.[5]