Narkissos

Narciso (1594-1596) lakaran Caravaggio kini dalam pameran Galleria nazionale d'arte antica Roma.

Narkissos (Bahasa Yunani Kuno: Νάρκισσος, Nárkissos, Bahasa Latin dan bahasa Inggeris: Narcissus) dalam mitologi Yunani ialah seorang pemburu dari Thespiae, Boeotia yang terkenal kerana kecantikan rupanya. Namun dia berperwatakan sangat angkuh dan sombong terhadap sesiapa yang mengagumi dirinya sehingga ada yang sanggup membunuh diri untuk membuktikan kejujuran kaguman mereka terhadap ketampanannya.

Figura ini merupakan asal dan pengambar kepada konsep narsisisme, yakni ketaksuban terhadap rupa atau penampilan diri sendiri.

Penceritaan

Dalam kitab ketiga Metamorphoses karya Ovidius, tersebut kisah Narkissos berkelana di hutan; Ekho, seorang nimfa gunung menemuinya lalu jatuh cinta kepadanya sehingga mengikuti Narkissos. Narkissos mula merasakan dia diekori lalu menjerti menanya siapa yang mengekorinya. Ekho menampilkan diri lalu cuba mendekatinya namun Narkissos menegahnya dengan keras. Ekho melarikan diri menangis sebak dengan rasa patah hatinya.[1]:386-392

Sebaik sahaja dewi dendam kesumat Nemesis mendapat tahu khabar ini, dia segera mencari Narkissos untuk menghukumnya. Dewi tersebut menemui Narkissos sedang memburu di hutan pada musim panas lalu menjadi haus. Nemesis mengumpannya ke sebuah kolam penuh air. Narkissos mula terpegun dengan wajahnya sendiri yang terpantul di permukaan kolam tersebut menyangka ia orang lain, lalu Narkisos jatuh cinta pada riak itu.

Narkissos lama-kelamaan menjadi lemah kerana ketaksubannya terhadap pantulan itu sehingga nyawa-nyawa ikan. Dia akhirnya menyesal namun sudah terlambat, dia mati dan mayatnya menjadi sebatang bunga berwarna putih dan kuning[2][3] - bunga inilah yang dipercayai sebagai bunga nargis. Ia turut disaksikan Ekho yang turut sayu melihat nasibnya kerana terlalu cintakan Narkissos walaupun hanya bertepuk sebelah tangan.[1]:493-501 Ekho lama kelamaan menua dan mengeras badannya sehinggalah hanya suaranya sahaja yang tinggal, mengulangi setiap bunyi dan suara yang dituturi.[1]:395-397

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ a b c Ovidius. Metamorphoses. 3.
  2. ^ "The myth of Narcissus".
  3. ^ John Tzetzes. Chiliades, 1.9 line 235-238

Sumber utama