Mosyuki Borhan merupakan penulis, penyair dan penggiat seni di Malaysia. Beliau juga merupakan pengasas rumah penerbitan Rumah Ripta.[1]
Dilahirkan di Tangkak, Johor pada Mei 1984, Mosyuki merupakan peranakan Melayu dan Jawa dari daerah Solo, Indonesia.
Bermula pada tahun 2009 dengan menerbitkan tulisannya dalam blog, puisi dan cerpennya kemudian dihimpun dalam beberapa antologi seperti, Sepuluh Ribu (2011), Rahsia 2 Pria (2012), Untuk Yang Telah Pergi (2016) dan Hujan Bakawali di Rumah Tuhan (2018).[2]
Pada tahun 2010, Mosyuki menerbitkan sendiri kumpulan puisi pertamanya Telegram[3] seterusnya kumpulan puisi dan prosa Tempe & Latte (2014) bersama rumah penerbitan Selut Press.[4]
Kumpulan puisinya yang ketiga, Rukun Ranah, diterbitkan pada tahun 2023 oleh Rumah Ripta. Buku tersebut diberikan kata pengantar serta dilancarkan oleh penyair mapan Indonesia, Joko Pinurbo di Makassar International Writers Festival 2023 di Makassar, Indonesia. [5]
Dari sudut perfileman, Mosyuki pernah mengarahkan filem pendek berjudul 'Bunga' yang diadaptasi daripada cerpennya sendiri pada tahun 2016. [6]
Mosyuki juga menjadi antara pengarang Malaysia yang telah dijemput sebagai pembicara dan dan membuat persembahan di Festival Penulis Antarabangsa Makassar (Makassar International Writers Festival) pada tahun 2018, 2019 dan 2023[7] serta Festival Sastera Banggai, Sulawesi Tengah pada Julai 2019.
Selain membuat persembahan dalam pameran puisi di seluruh Malaysia dan Indonesia, Mosyuki juga aktif menganjurkan dan menguruskan acara seni melalui Rumah Ripta.[8][9]