Lagos atau Èkó dalam bahasa Yoruba merupakan kawasan metropolitan terbesar di Nigeria dan kedua terbesar di Afrika selepas Kaherah di Mesir. Lagos ialah bekas ibu negara Nigeria sebelum taraf itu diberikan kepada Abuja pada 1991. Kawasan-kawasan subbandarnya termasuk Ikeja dan Agege. Majalah The Economist meletakkan Lagos antara bandar yang mempunyai tahap kebolehhidupan yang paling rendah di dunia.[3]
Penduduk asal Lagos ialah puak Awori dari kalangan orang Yoruba yang mula menetap di sini pada abad ke-15.[4] Pada abad ke-16, petempatan Awori ditakluk oleh Empayar Benin dan dijadikan sebagai kem perang empayar dengan panggilan Eko.[5][6] Eko ialah nama panggilan yang masih digunakan hingga kini; nama Lagos diberikan oleh para penjajah Portugis yang bererti tasik.[7] Pihak Portugis mula memberi perhatian terhadap kawasan ini pada abad ke-15; pengembara Portugis, Rui de Sequeira melawat kawasan ini pada 1472.
Geografi
Secara asasnya, Lagos dibahagikan kepada dua buah kawasan, kawasan pulau dan kawasan tanah besar. Kawasan pulau merujuk kepada kawasan yang terpisah dari kawasan tanah besar Nigeria oleh badan-badan air yang mengalir ke Lautan Atlantik. Kawasan pulau ini terdiri daripada beberapa buah pulau yang berdekatan dan dihubungkan dengan jambatan-jambatan. Kawasan ini ialah kawasan tumpuan bidang perniagaan dan hiburan bandar serta menempatkan populasi berada bandar. Kawasan tanah besar Lagos menempatkan golongan kebanyakan bandar dan menempatkan kebanyakan pusat industri Lagos.
Iklim
Lagos memiliki iklim savana tropika (engelasan iklim KöppenAw) dengan perbezaan taburan hujan yang ketara antara musim tengkujuh dengan musim kering. Musim tengkujuh bermula dari April hingga Oktober dan disusuli oleh musim kering. Bulan dengan taburan hujan terbanyak ialah bulan Jun manakala bulan yang terkering pula ialah Januari. Memandangkan Lagos terletak berdekatan garisan Khatulistiwa, Lagos memiliki julat suhu tahunan yang tidak begitu ketara.
Sumber 2: Meteo Climat (rekod tertinggi dan terendah)[10]
Politik
Lagos tidak mempunyai kerajaan pusat yang mentadbir seluruh kawasan bandar.[11] Sebaliknya, pemerintahan bandar Lagos terdiri daripada 16 buah badan kerajaan tempatan (LGA); Negeri Lagos mempunyai 20 buah LGA. Lagos merupakan bekas ibu negara Nigeria sebelum taraf itu dipindahkan secara rasmi kepada bandar Abuja pada 12 Disember 1991. Bandar ini menempatkan mahkamah tinggi Negeri Lagos.
Bandar Lagos ialah pusat ekonomi dan kewangan utama negara, dan menjana kira-kira 10% keluaran dalam negara kasar Nigeria. Kebanyakan bank komersial, pertubuhan kewangan serta syarikat utama negara beribu pejabat di sini. Selain itu, Lagos juga berperanan sebagai pusat teknologi maklumat dan komunikasi Afrika Barat. Kini, Lagos sedang mengembangkan sistem ekonomi sepanjang masa.
Pelabuhan Lagos di sini ialah salah satu pelabuhan tersibuk dan terbesar di Afrika. Secara umumnya, pelabuhan ini terbahagi kepada tiga bahagian utama: bahagian Lagos, Apapa dan Tin Can.[15]
Demografi
Bancian pada 2006 meletakkan angka penduduk Lagos pada 7,937,932 orang dengan kepadatan sebanyak 7,941 orang per kilometer persegi.[2] Secara umumnya, Lagos disifatkan sebagai salah satu bandar yang paling cepat berkembang di dunia.[16]
Prasarana
Pendidikan
Sekolah-sekolah awam Lagos ditadbir oleh kerajaan Negeri Lagos.[17] Seperti sistem pendidikan di seluruh Nigeria, sistem pendidikan bandar terdiri daripada peringkat rendah, menengah bawah, menengah atas dan tinggi. Lagos menempatkan pelbagai institut pengajian tinggi awam serta swasta seperti Universiti Lagos dan Universiti Caleb.[18]
Pengangkutan
Lagos mempunyai salah satu jaringan pengangkutan jalan yang paling menyeluruh di Afrika Barat dengan pelbagai lebuh raya dan jambatan.[19] Namun begitu, lebuh-lebuh raya di Lagos boleh menjadi sesak ketika waktu puncak akibat pertambahan penduduk yang pesat di Lagos serta faktor geografi bandar.[16][20] Selain itu, Lagos juga mempunyai perkhidmatan feri dan kereta api. Perkhidmatan feri berjadual lazimnya membawa penumpang di antara kawasan pulau dengan kawasan tanah besar bandar raya, dan perkhidmatan feri swasta terlibat dalam pengangkutan di kawasan pesisir.[21] Kini, sebuah jaringan transit aliran Lagos sedang dibina.[16][22] Pengangkutan udara pula dikawal oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed, salah satu lapangan terbang tersibuk di Afrika.
Rujukan
^Campuran maklumat daripada 16 buah kerajaan tempatan Lagos (Agege, Ajeromi-Ifelodun, Alimosho, Amuwo-Odofin, Apapa, Eti-Osa, Ifako-Ijaiye, Ikeja, Kosofe, Lagos Island, Lagos Mainland, Mushin, Ojo, Oshodi-Isolo, Shomolu, Surulere) berdasarkan: The Nigeria Congress. "Administrative Levels - Lagos State". Dicapai pada 2007-06-29.