Rikugun-gensui (陸軍元帥, Fil Marsyal), gelaran pangkat rasmi: Gensui-rikugun-taishō (元帥陸軍大将, Marsyal Jeneral) adalah gelaran tertinggi di dalam tentera darat Imperial Jepun sebelum perang.
Gelaran tersebut berasal daripada gelaran China iaitu yuanshuai(元帥).
Istilah pangkat gensui, yang telah digunakan untuk kedua-dua Tentera Darat Imperial Jepun dan Tentera Laut Imperial Jepun, pada mulanya dipegang oleh Saigō Takamori selaku Panglima Angkatan Tentera (元帥海軍 gensui rikugun) pada tahun 1872. Walau bagaimanapun, pada Mei 1873 Saigō telah "diturunkan pangkat" ke jeneral, selepas itu gensui tidak lagi bergelar pangkat, tetapi sebagai gelaran kehormat yang dikurniakan bagi khidmat bakti yang luar biasa untuk Maharaja - dengan itu sama konsepnya dengan gelaran Marsyal Perancis. Setaraf dengan pangkat lima bintang (OF-10), ia bersamaan dengan Fil Marsyal dalam Tentera Darat British dan Jeneral Angkatan Darat dalam Tentera Darat Amerika Syarikat.
Sementara gensui mengekalkan pangkat sebenar jeneral dan laksamana, mereka diberi hak memakai lencana dada tambahan berenamel, yang memaparkan serangkai bunga paulownia antara silangan panji-panji tentera darat dan panji tentera laut dibawah Mohor Imperial Jepun. Mereka juga berhak memakai pedang samurai (katana) khas dari rekabentuk moden pada majlis-majlis istiadat.
Di dalam Zaman Meiji, gelaran tersebut telah dikurniakan kepada lima jeneral dan tiga laksamana. Dalam Zaman Taishō ia telah dikurniakan kepada enam jeneral dan enam laksamana, dan dalam Zaman Shōwa ia telah dikurniakan kepada enam jeneral dan empat laksamana. Gelaran yang lebih tinggi iaitu dai-gensui setanding dengan gelaran Generalisimo dan hanya dipegang oleh Maharaja sendiri.
Diperhatikan bahawa beberapa kenaikkan pangkat pada tahun yang sama mereka mati; ini adalah kenaikkan pangkat selepas kematian.
Gelaran ini juga dianugerahkan kepada Raja George V dari United Kingdom pada 28 Oktober 1918.
Sejarah gelaran Gensui
Tidak seperti di Jerman, "Fil Marsyal" (gensui) Jepun bukanlah sejenis pangkat, tetapi merupakan Jeneral penuh tentera darat atau Laksamana penuh tentera laut dengan keahlian seumur hidup dalam Majlis Marsyal Maharaja.
Pada zaman permulaan Tentera Darat Jepun, terutamanya antara tahun 1872 dan 1873, Fil Marsyal memang wujud sebagai pangkat. Di atas kertas, terdapat juga pangkat lebih kanan, iaitu Marsyal Besar (dai-gensui), jawatan yang tidak pernah disandang oleh sesiapapun sebelumnya, juga telah dimansuhkan pada tahun 1873.
Walau bagaimanapun, pada Februari 1889, gelaran Marsyal Besar muncul semula dalam Perlembagaan Imperial yang baru, lantas mengurniakan gelaran itu kepada Maharaja, selaku Panglima Tertinggi Angkatan Bersenjata Jepun.
Sembilan tahun kemudian, pada 19 Januari 1898, gelaran “Fil Marsyal” juga dihidupkan semula, kali ini, bukan satu pangkat, tetapi sebagai gelaran kehormat bagi para Jeneral yang dipilih ke dalam kalangan penasihat tentera kepada Maharaja, iaitu Majlis Marsyal baginda. Pada peringkat ini, ahli majlis terdiri daripada 3 jeneral dan seorang laksamana.
Bagaimanapun, mereka tidak diberikan sebarang perbezaan yang nyata daripada jeneral atau laksamana biasa. Jadi pada 8 April 1898, Menteri Tentera Darat dan Menteri Tentera Laut bersama-sama memohon kepada Perdana Menteri untuk mengadakan mesyuarat Kabinet bagi mengesahkan lencana kebesaran yang diperkenalkan oleh Maharaja sebagai satu dekri.
Lencana Gensui yang berbentuk bujur ini diperbuat daripada emas, perak dan berenamel, memaparkan dedaun bunga paulownia di bahagian tengah dan Mohor Imperial Jepun di bahagian atas, melambangkan Maharaja dan kerabat Imperial. Dua bendera matahari terbit ditampilkan bersilang, diikat bersama dengan tali reben di bahagian tengah tiang. Bendera sebelah kanan mewakili Tentera Darat manakala bendera sebelah kiri mewakili Tentera Laut. Didapati tepi bendera sebelah kanan berbingkaikan warna ungu manakala sebelah kiri tiada. Atas tiang bendera tentera darat dihiasi dengan lambang bunga kekwa emas manakala atas tiang bendera tentera laut dihiasi dengan glob emas kosong.
Cadangan ini telah diluluskan dan ditandatangani oleh semua Jemaah Menteri pada 16 Mei dan mendapat cop mohor imperial dan tandatangan Maharaja Meiji pada 24 Mei sebagai Dekri 96, dan diwartakan pada hari berikutnya.
Oleh itu di bahagian belakang lencana terdapat tulisan “Dizahirkan pada Mei dalam tahun ke-31 Meiji”. Lencana ini mesti disemat pada bawah dada kanan uniform dengan pin dan penyangkuk yang dipasang pada bahagian belakang.
Insignia pangkat
Insignia "gensui" adalah sama dengan pangkat Jeneral penuh, tetapi ditambah dengan lencana Fil Marsyal dan pedang katana khas.
Lihat juga
Rujukan