Direka sebagai 'kampus pintar', kampus ini mempunyai persekitaran moden yang sesuai untuk memupuk aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.
Sejarah
UiTM Kampus Puncak Alam merupakan antara kampus terbaru UiTM yang telah memulakan operasinya secara rasmi pada 1 Jun 2009. Kampus yang berkeluasan 1,085.75 ekar ini merupakan kampus tambahan yang dirancang untuk menampung 20,000 lebihan pelajar dari kampus induk UiTM Shah Alam. Secara keseluruhannya, pembinaan kampus ini melibatkan tiga zon . Sehingga Mei 2010, pihak TRIplc Bhd yang merupakan Kontraktor Rekabentuk dan Bina (Design & Build), telah membangunkan Zon 1 dan Zon 1 Fasa 1 yang mengandungi 25 blok bangunan yang meliputi keseluruhan ruang berjumlah 307,547.73 meter persegi.
Sehingga Mei 2010, UiTM Kampus Puncak Alam Zon 1 Fasa 1 telah beroperasi sepenuhnya dari segi infrastruktur dan pengurusan pentadbirannya. Pentadbiran kampus ini diterajui oleh seorang Penolong Naib Canselor (PNC) yang dibantu oleh Timbalan Pengarah Kampus (HEP & Alumni dan Ketua-Ketua Bahagian / Unit), manakala Fakulti-Fakulti pula diterajui oleh Dekan-Dekan Fakulti dibantu oleh Timbalan-Timbalan Dekan, Ketua-Ketua Program dan Pegawai-Pegawai Pentadbiran.
Nama singkatan
Nama singkatan bagi UiTM Kampus Puncak Alam ialah UiTM PALAM. Nama UiTM PALAM ini mula digunakan oleh pelajar UiTM Puncak Alam namun penggunaannya adalah tidak formal dan hanya untuk memudahkan sebutan. Singkatan UiTM PALAM berasal daripada perkataan UiTM P.Alam, yangmana singkatan P.Alam bermaksud Puncak Alam. Namun, ada sesetengah pelajar yang telah tersalah baca singkatan tersebut lalu membunyikannya sebagai PALAM.
Program yang ditawarkan
Program Diploma/Ijazah/Master/Phd
Terdapat tujuh buah fakulti yang bernaung di bawah kampus baru ini, iaitu:
1) Fakulti Farmasi
2) Fakulti Pengurusan Perniagaan
3) Fakulti Sains Kesihatan
4) Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan
5) Fakulti Perakaunan
6) Fakulti Seni Lukis & Seni Reka
7) Fakulti Pendidikan
8) Kolej Pengajian Alam Bina (KAB)
Para pelajar dari Asasi Sains dan Asasi Kejuruteraan berpindah secara tetap ke UiTM Kampus Dengkil (kampus khusus untuk pelajar asasi) bermula dari tahun 2016.
Lagu universiti
Bernaung di bawah UiTM, kampus Puncak Alam juga mengangkat lagu UiTM di Hatiku dan Wawasan Setia Warga UiTM sebagai lagu rasmi
UiTM di Hatiku
Ketika menyanyikan lagu UiTM di hatiku, para pelajar perlu meletakkan tangan kanan di atas dada kiri, sebagai simbolik UiTM benar-benar berada di hati.
Komposer & Lirik: Osman Mohamed
Wujudmu di sini Di tanah anak merdeka Bagai obor ilmu Memayungi putera-puteri nya Pelopor hidup, budaya bangsa, agama, negara Pembentuk akhlak manusia Agar jadi sempurna
Ku yang melangkah ke sini ingin mempelajari Rahsia di muka bumi dengan cara hakiki Tunjukkan aku jalan ilmumu untukku menuju Destinasi cita-cita negara dan bangsaku
Majulah bangsa Maju negara Berkat usaha jaya MARA Kami berikrar akan berjasa Hingga kita berjaya Demi bangsa
Watikah yang ku miliki kan ku semat dihati Janji ku pada pertiwi untuk menabur bakti Ku sempurnakan seikhlas hati membela negara Doa restu ayah bonda ku untuk mu semua
UiTM...USAHA, TAQWA, MULIA
Wawasan Setia Warga UiTM
Komposer: Sahar Sa’di Hashim Lirik: Dato’ Prof. Dr. Ahmad. Hj. Zainuddin
Bersatu kita warga UiTM Kita bangsa perkasa Taat dan setiaku untuk negara Penuh semangat waja
Kita...jangan mudah terlupa pengorbanan, perjuangan anak bangsa Kita...jangan mudah terleka kemajuan,keamanan yang ada Kita...berterima kasih pada pemimpin-pemimpin negara Kita… rasa penuh bersyukur kerahmatan, kemuliaan dariNya
Kamilah pendokong, pewaris bangsa Kamilah pendaulat, bangsa Malaysia Kamilah warga berwawasan
Untuk Negaraku.
Kemudahan
Kolej kediaman
UiTM Kampus Puncak Alam menyediakan kolej kediaman untuk kemudahan pelajar-pelajarnya. Kolej-kolej tersebut ialah Kolej Rafflesia, Angsana, Casuarina dan Dahlia
Kompleks Kemudahan Pelajar Rafflesia (KKPR)
KKPR menyediakan kemudahan seperti medan selera, koperasi, surau dan gimnasium. KKPR merupakan tempat tumpuan pelajar di PALAM untuk makan dan belajar secara berkumpulan. Pejabat pentadbiran kolej, tempat penyimpanan dan penerimaan barangan juga ditempatkan di KKPR.
Kompleks Kemudahan Pelajar Angsana (KKPA)
Seperti KKPR, KKPA juga menyediakan medan selera untuk kemudahan pelajar. Selain itu, terdapat juga gerai coolblog di KKPA.
Ketika masjid PALAM masih lagi dalam pembinaan, KKPA juga dikenali sebagai RSU (ruang solat utama) kerana terdapat ruangan untuk solat secara berjemaah di KKPA. Solat Jumaat juga turut ditunaikan di situ. Sehingga Jun 2017, para siswi dan staf kakitangan UiTM telah menggunakan Surau Ibnu Sina (SIS) yang dibina berdekatan padang kawad sebagai surau utama bagi solat berjemaah harian, solat Jumaat, serta penganjuran kuliah agama dan tempat berhimpun bagi Minggu Destini Siswa (MDS).
Kompleks Kemudahan Pelajar Casuarina (KKPC)
Kompleks Kemudahan Pelajar Dahlia (KKPD)
Kompleks ini mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2016. Pada mulanya, kompleks ini menempatkan pelajar siswa dan siswi (2 blok untuk siswa, 2 blok untuk siswi yang dipisahkan dengan kafeteria Dahlia di antara dua blok),. Kemudian, ia mula menempatkan pelajar siswi secara keseluruhan pada pengambilan pelajar sesi Mac 2017, bilamana pelajar siswa digerakkan untuk menghuni 3 kolej lain yang berada di atas bukit. Kompleks ini mempunyai sebuah kafe. Sehingga Jun 2017, kompleks ini mempunyai beberapa buah kedai seperti kedai runcit, kedai fotokopi, kedai menjual alatan tulis, kedai barangan kesihatan, dan kedai menjual aksesori wanita. KKPD juga mempunyai sebuah surau kecil berdekatan kafe. Pelawat dan siswa lelaki dikenakan larangan ketika berada di KKPD seperti tidak dibenarkan berlegar di kafe Dahlia selepas pukul 10 malam, tidak dibenarkan berada di gazebo di antara blok Dahlia pada waktu malam, serta tidak dibenarkan untuk memasuki blok.
Bas Rapid KL
Pihak UiTM Kampus Puncak Alam telah menyediakan perkhidmatan Bas Rapid KL. Harga tambang bas ulang-alik bas tersebut ialah RM 1.
Alamat
Alamat penuh: UiTM Kampus Puncak Alam 42300 Bandar Puncak Alam Selangor Darul Ehsan Malaysia