Top Gear ialah sebuah siri televisyen terbitan BBC yang membincangkan kenderaan bermotor, terutamanya kereta, dan banyak meraih anugerah seperti anugerah BAFTA, NTA dan Anugerah Emmy Antarabangsa. Rancangan ini bermula pada tahun 1977 sebagai rancangan majalah pemotoran biasa. Lama-kelamaan, khususnya semenjak dilancarkan semula pada tahun 2002, Top Gear semakin aneh dan lucu gayanya. Rancangan ini diacarakan oleh Jeremy Clarkson, Richard Hammond, James May dan seorang pemandu uji yang hanya bergelar The Stig.
Rancangan ini bukan sahaja banyak menikmati pujian kerana visual dan persembahannya, bahkan juga menghadapi beberapa kecaman kerana kandungannya dan ulasan-ulasan pengacaranya. A. A. Gill menyifatkan rancangan ini sebagai "kejayaan bidang penghasilan rancangan, pertukangan penyuntingan yang teliti, berlebih-lebih dan berirama" ("a triumph of the craft of programme-making, of the minute, obsessive, musical masonry of editing, the french polishing of colourwashing and grading").[1] Namun begitu, pihak-pihak seperti Agensi Penyiasatan Alam Sekitar pernah mengutuk BBC kerana membenarkan Top Gear dirakam di kawasan-kawasan yang sensitif seperti kematu garam Makgadikgadi di Botswana.[2]
Di United Kingdom, setiap episod baru ditayangkan di saluran BBC Two. Selain itu, Top Gear juga disiarkan di saluran Dave, BBC America, dan sebilangan saluran lain di seluruh dunia. Di Malaysia, Top Gear boleh ditonton di ntv7.
Rancangan ini dianggarkan ditonton 385 juta orang di seluruh dunia.[3] Pada tahun 2007, Top Gear menjadi antara siri TV yang paling banyak dicetak rompak di dunia.[4]
Kemasyhuran rancangan ini telah mencetuskan penghasilan beberapa versi antarabangsa yang sedang atau bakal diusahakan penerbitan dan pengacara tempatan, di Australia, Amerika Syarikat[5] dan Rusia.[6]
Rujukan
Pautan luar
|
Wikipetik mempunyai koleksi petikan mengenai: Top Gear |