Sukan Olimpik Musim Panas 1900, secara rasmi dikenali sebagai Games of the II Olympiad, telah diadakan pada tahun 1900 di Paris, Perancis. Pertandingan bermula pada 14 Mei dan berakhir pada 28 Oktober, dan diadakan sebagai sebahagian daripada Pameran Dunia 1900 yang berlangsung di Paris ketika itu. Walaupun pihak Greece berusaha untuk memastikan agar Olimpik tetap dilaksanakan di Yunani, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa kekal dengan keputusan untuk menyelenggarakannya di tempat yang berbeza bagi setiap temasya.
Kebanyakan pemenang dalam Sukan Olimpik ini tidak menerima pingat tetapi diberi piala atau trofi. Sukan Olimpik 1900 ini menjadi temasya Olimpik yang pertama disertai wanita.
Acara sukan
Sebanyak 12 acara sukan baharu telah dipertandingkan dalam temasya ini. Namun, acara gusti dan angkat berat yang dipertandingkan pada temasya 1896 tidak dipertandingkan dalam temasya ini. Antara semua acara sukan yang dipertandingkan, hanya croquet sahaja yang merupakan acara bukan antarabangsa, di mana acara ini hanya disertai atlet Perancis.
Pada masa itu, konsep negara peserta belum wujud, dan peserta dikira secara individu. Walau bagaimanapun, rekod kewarganegaraan peserta individu juga disimpan. Terdapat juga beberapa atlet yang mewakili negara lain, namun penyertaan mereka masih direkodkan mengikut kewarganegaraan mereka.