Pepatah Ptahhotep atau Petua Ptahhotep ialah sebuah gubahan sasterawi Mesir purba oleh Wazir Ptahhotep dari sekitar 2375–2350 SM, semasa pemerintahan Raja Djedkare Isesi dari Dinasti Kelima.[1] Teks tersebut ditemui di Thebes pada tahun 1847 oleh ahli kaji Mesir, M. Prisse d'Avennes.[2] Pepatah Ptahhotep dikira sebagai sastera bidalan yang penuh hikmah, tergolong dalam genre yang dipanggil sebayt.[3] Terdapat empat salinan Pepatah ini dan satu-satunya versi yang lengkap, Papirus Prisse, terletak di Bibliothèque Nationale di Paris.[4] Menurut William Kelly Simpson, ahli sarjana cenderung percaya bahawa Pepatah Ptahhotep asalnya dikarang semasa Kerajaan Pertengahan, khususnya Dinasti Kedua Belas. Salinan teks terawal yang masih ada telah diubah supaya mudah difahami orang Mesir Kerajaan Baru.[4] Teks ini memberikan gambaran yang sangat baik tentang sikap orang awam zaman itu.[4] Pepatah Ptahhotep membincangkan nilai-nilai murni yang diperlukan untuk menjalani hidup yang baik dan cara hidup yang sesuai dengan Maat, yang penting dalam budaya Mesir.
Ringkasan
Menurut Simpson, Wazir Ptahhotep ialah seorang lelaki tua berusia 96 tahun, sedia untuk bersara dan wariskan jawatannya.[2] Raja memperkenankan anak Ptahhotep menggantikannya sebagai wazir tetapi menyatakan bahawa orang muda tidak dilahirkan bijaksana dan perlukan pengalaman yang hanya boleh diperoleh dengan usia.[5] Biasanya wazir diganti dengan seseorang yang lebih tua yang berpengalaman, maka Wazir Ptahhotep menuliskan anaknya petua untuk memberinya kebijaksanaan dan nasihat yang hanya boleh dicapai dengan pengalaman.
Petua-petuanya menyentuh pelbagai tema, salah satunya kepimpinan. Sebagai contoh, prosa bernombor 9,1:
Jika kamu seorang pemimpin, / Bertanggungjawablah dalam / perkara-perkara yang diamanahkan kepada kamu, / Nescaya kamu akan mencapai banyak perkara yang akan menjadi tumpuan...
Prosa 9,5 menyatakan:
Jika kamu seorang yang berkuasa, / Bersabarlah mendengar kata-kata seorang pengadu; / Jangan menolak dia sehinggalah dia sudah benar-benar meluahkan hatinya / Tentang apa yang dia telah merancang / untuk katakan kepada kamu.[4]
Ini menunjukkan kepentingan menjadi tua dalam masyarakat Mesir purba juga kepentingan mempunyai kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang betul. Pepatah Ptahhotep merupakan teks yang sentiasa dibaca dan disalin oleh pelajar, jurutulis dan lelaki yang memegang jawatan tinggi.
Tujuan teks Pepatah adalah untuk mengajar orang muda cara untuk hidup dengan baik dan biasanya ditulis oleh orang tua. Tema utama yang Ptahhotep fokuskan ialah berdiam, masa yang sesuai, kebenaran, perhubungan dan adab.[2] Teks tersebut membantu konteks masyarakat zaman itu dibina semula dengan memperincikan suasana budaya yang dipengaruh penulisan itu.[6] Dengan cara ini, teks ini boleh membantu ahli sejarah menganalisis sejarah zaman dalam mana ia ditulis.
Parkinson berpendapat bahawa teks-teks purba harus dipecah-pecahkan untuk memahami maknanya dengan betul dan untuk membezakan jika ada yang tepat.[7] Oleh sebab kebanyakan sastera hikmah ditulis seperti puisi, sesetengah bahagian mungkin benar dan sebahagian lagi rekaan untuk menarik minat pembaca. Kebanyakan tulisan hikmah diterima oleh pembaca kerana pilihan kata-katanya, kerana kedudukan elit pengarangnya dalam masyarakat, dan juga kerana pengalaman peribadi pengarang.[7]
Terdapat empat salinan Pepatah Ptahhotep yang diketahui, salinan pertama ditulis dalam Kerajaan Lama dan salinan lain dianggap daripada Kerajaan Tengah. Petua-petua daripada teks asal dianggap berasal daripada Kerajaan Lama kerana ia sepadan dengan pemikiran sosial dan intelek pada tempoh masa itu.[7] Salinan yang ada pada Papirus Prisse, yang berasal dari dinasti kedua belas dianggap sebagai sumber asal. Walau bagaimanapun, terdapat versi-versi zaman Dinasti Kedua Belas dan Kerajaan Baru yang menggugurkan beberapa frasa, menambah frasa dan kadangkala mengubah urutan perkataan.[5] Papirus Prisse mengandungi tiga teks sastera yang bertajuk "Petua" atau "Pengajaran", dan satu-satunya teks lengkap dalam papirus ini ialah Petua Ptahhotep.[6]
Petua Ptahhotep diakui oleh kebanyakan ahli kaji Mesir antara teks sastera Mesir yang paling sukar untuk diterjemahkan.[6] Sebagai contoh:
Orang mengenali si bijaksana kerana kebijaksanaannya, / Seorang pegawai di perbuatan baiknya (?): hatinya seimbang (?) dengan lidahnya, bibirnya tepat apabila berkata...[6]
Baris-baris yang diikuti dengan tanda soal mempunyai makna yang kabur dan tertakluk kepada tafsiran oleh setiap penterjemah.
Petikan yang dipilih
Petikan-petikan diambil daripada The Living Wisdom of Ancient Egypt oleh Christian Jacq, pengarang Perancis dan ahli kaji Mesir.[8]
- "Begitu agungnya Undang-undang (Maat)." (hlm. 24)
- "Semua kelakuan hendaklah tegak sehingga kamu boleh mengukurnya dengan unting-unting." (hlm. 27)
- "Ketidakadilan wujud dengan banyaknya tetapi kejahatan tidak akan berjaya dalam jangka masa panjang." (hlm. 32)
- "Hukumlah dengan prinsip, ajarlah dengan bermakna. Tindakan menghentikan kejahatan akan membentuk nilai murni yang berkekalan." (hlm. 32)
- "Umat manusia tidak pernah mencapai apa-apa. Apa yang diperintahkan Tuhan itulah yang selesai." (hlm. 41)
- "Orang-orang yang diberi petunjuk oleh Tuhan tidak akan sesat. Orang-orang yang perahunya diambil oleh-Nya tidak akan dapat menyeberang." (hlm. 43)
- "Ikutkan hatimu sepanjang hidupmu, jangan berlebih-lebihan terhadap apa yang telah ditetapkan." (hlm. 66)
- "Jika kamu bekerja keras, dan jika pertumbuhan berlaku seperti yang sepatutnya di ladang, itu adalah kerana Tuhan telah meletakkan kemewahan di tangan kamu." (hlm. 74)
- "Jangan bergosip di kejiranan kamu kerana orang menghormati orang yang diam." (hlm. 74)
- "Mendengar memberi manfaat kepada si pendengar." (hlm. 74)
- "Jika dia yang mendengar mendengar sepenuhnya, maka dia yang mendengar menjadi dia yang memahami." (hlm. 76)
- "Barangsiapa mendengar, dia akan menguasai perkara yang menguntungkan." (hlm. 76)
- "Mendengar lebih baik daripada segalanya, kerananya lahirlah kasih sayang yang sempurna." (hlm. 76)
- "Tuhan mengasihi orang yang mendengar. Dia membenci orang yang tidak mendengar." (hlm. 76)
- "Adapun orang jahil yang tidak mendengar, dia tidak mencapai apa-apa. Dia menyamakan ilmu dengan kejahilan, yang sia-sia dengan yang mudarat. Dia melakukan segala perkara yang keji, sehingga setiap hari orang marah kepadanya." (hlm. 77)
- "Kata yang sempurna tersorok lebih dalam daripada batu permata. Ia boleh didapati di dekat hamba-hamba yang bekerja di batu kisar." (hlm. 78)
- "Hanya bercakap apabila kamu mempunyai sesuatu yang berbaloi dikatakan." (hlm. 79)
- "Adapun kamu, ajarlah murid-murid kamu kata-kata adat. Semoga dia menjadi teladan bagi anak-anak orang besar, supaya mereka menemui di dalam dia pengertian dan keadilan setiap hati yang berbicara kepadanya, kerana manusia tidak dilahirkan bijaksana." (hlm. 85)
- "Seorang wanita dengan hati yang gembira membawa keseimbangan." (hlm. 107)
- "Sayangi isteri kamu dengan penuh semangat." (hlm. 107)
- "Adapun mereka yang terus-menerus bernafsu akan wanita, tiada satu pun rancangan mereka akan berjaya." (hlm. 108)
- "Alangkah indahnya seorang anak yang taat kepada bapanya!" (hlm. 112)
- "Alangkah gembiranya dia yang dikatakan orang: 'Seorang anak lelaki baik hati apabila dia tahu mendengar.'" (hlm. 112)
- "Jangan salahkan mereka yang tidak mempunyai anak, jangan kecam mereka kerana tidak mempunyai anak, dan jangan bermegah kerana memiliki anak." (hlm. 113)
- "Semoga hati kamu tidak angkuh kerana apa yang kamu ketahui. Terimalah nasihat daripada orang-orang yang jahil dan juga orang-orang yang bijaksana..." (hlm. 119)
- "Oleh itu, janganlah menaruh keyakinan di dalam hatimu terhadap kekayaan yang bertimbun, kerana segala yang ada padamu adalah pemberian Tuhan." (hlm. 126)
- "Pertimbangkan hidup dalam keadaan berpuas hati dengan apa yang kamu miliki, dan apa sahaja yang para dewa pilih untuk diberikan akan datang dengan sendiri." (hlm. 127)
- "Jangan ulangi khabar angin yang memfitnah, jangan dengarkannya." (hlm. 139)
- "Barangsiapa yang berjiwa besar memiliki kurniaan daripada Tuhan. Barangsiapa mentaati perutnya, dia mentaati musuh." (hlm. 140)
- "Mereka yang dibimbing oleh para dewa tidak boleh tersesat. Mereka yang para dewa menghalang tidak akan dapat menyeberangi sungai kehidupan." (hlm. 143)
Rujukan
- ^ Fontaine, C. R. (1981). A modern look at ancient wisdom: The Instruction of Ptahhotep revisited. The Biblical Archaeologist, 44(3), 155-160. doi:10.2307/3209606.
- ^ a b c Simpson, W. K. (1986). The maxims of Ptahhotep. Las Vegas, Nevada: Evan Blythin.
Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama "Simpson1986" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
- ^ Loprieno, A. (Ed.). (1996). Didactic literature. Ancient Egyptian literature: history and forms (Jil. 10). m/s 243-262. Brill.
- ^ a b c d Simpson, W. K. (2003). The Literature of ancient Egypt: An anthology of stories, instructions, and poetry. Yale University Press. Dicapai Januari 28, 2017. ProQuest ebrary.
Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama "Simpson" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
- ^ a b Quirke, S. (2004). Egyptology 2. Egyptian literature 1800 BC: questions and readings. London: Golden House. Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama "Quirke2004" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
- ^ a b c d Hagen, F. (2012). An ancient Egyptian literary text in context: the instruction of Ptahhotep (Jil. 218). Peeters.
Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama "Hagen2012" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
- ^ a b c Parkinson, R. B. (1991). Teachings, discourses and tales from the Middle Kingdom. Middle Kingdom Studies, 91, 122.
Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama "Parkinson1991" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
- ^ Jacq, C. (1999). The living wisdom of ancient Egypt. Pocket Books. ISBN 0-671-02219-9.
Pautan luar
- Petikan kata berkenaan Ptahhotep di Wikiquote