Pembunuhan beramai-ramai di Talangsari

Pembunuhan Talangsari 1989 merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Republik Indonesia ke atas penduduk di kampung Lampung, Talangsari, Indonesia pada 7 Februari 1989.

Insiden Talangsari berkisar serangan waktu subuh oleh satu batalion tentera Indonesia ke atas sebuah kampung yang dipercayai markas kepada sebuah kumpulan yang dituduh mahu menegakkan negara Islam di Indonesia. Mengikut versi kerajaan Indonesia, 27 ahli dari kumpulan mengaji Quran yang dipimpin oleh Warsidi, terbunuh dalam insiden tetapi kumpulan hak asasi meletakkan angka kematian mencecah kepada 246 orang.

Kes Talangsari adalah pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh tentera dan sedang disiasat oleh suruhanjaya hak asasi. Penyiasatan kes pembunuhan kejam di Talangsari mencetuskan kontroversi apabila pegawai tentera Indonesia yang terlibat termasuk A.M. Hendropriyono, Try Sutrisno dan Wismoyo Arismunandar ingkar arahan suruhanjaya yang mahu menyoal mereka awal bulan April 2008.

Zaman Suharto

Pembunuhan tidak berperi kemanusian ini berlaku pada hari Isnin, 7 Februari 1989 ketika kaum Muslimin bersiap untuk mendirikan solat subuh. Tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan yang diikuti oleh tangisan penduduk di Way Jepara, Lampung Tengah, Indonesia.

Tentera Indonesia kelihatan mara seperti mahu membalas dendam. Mereka dibawah pimpinan A.M. Hendropriyono. Pengikut Warsidi adalah hanya kumpulan mengaji agama tetapi tentera menuduh mereka berkomplot mahu menegakkan negara Islam. Sebelum ini kumpulan Warsidi pernah bergaduh dengan polis tempatan beberapa kali.

Mengikut versi tentera Indonesia, kumpulan mereka diserang dengan panah dan lastik.

Angka korban sangat mengelirukan dengan versi tentera hanya mengatakan 27 orang mati. Tetapi mengikut kumpulan hak asasi manusia, 246 orang terkorban. Kerajaan Indonesia memburu pemimpin kumpulan ini di Jakarta dan Jawa Tengah. Ramai dari pengikut mereka ditangkap dan dipenjarakan.

Seperti tragedi kemanusian lain, rintihan mangsa Talangsari tidak didengari sehinggalah apabila pemerintahan Suharto jatuh pada 21 Mei 1998.

Lihat juga

Rujukan