Melissa & Joey merupakan siri TV sitkom Amerika yang dibintangi oleh Melissa Joan Hart dan Joey Lawrence yang telah bersiaran sebanyak empat musim dari tahun 2010 sehingga 2015 menerusi ABC Family. Siri ini berkisarkan ahli politik tempatan, Mel Burke (Hart) dan Joe Longo (Lawrence), seorang lelaki yang diupah untuk menjaga anak saudaranya, Lennox (Taylor Spreitler) dan Ryder (Nick Robinson).
Musim pertama telah bersiaran pada 17 Ogos 2010 untuk 12 episod. Kemudian, siri ini diperbaharui dengan penambahan 18 buah episod lagi. Musim kedua telah diperbaharui dengan 15 buah episod oleh ABC Family yang mula disiarkan pada 30 Mei 2012 sehingga 29 Ogis 2012. [2]Melissa & Joey menduduki tangga nombor satu untuk rancangan jam 8 malam bagi sasaran penonton berusia 18–34, 18–49 dan 12–34.[3][4]
Pada 17 Ogos 2012, ABC Family memperbaharui Melissa & Joey untuk musim ketiga,[5] dan 29 Mei 2013 dipilih untuk tarikh siaran perdana.[6] Pada 28 Mei 2013, ABC Family mengumumkan episod musim ketiga akan ditambah menjadi 20 buah episod, dan ABC Family turut mengumumkan musim keempat siri ini yang turut mempunyai 20 buah episod, menjadikan episod keseluruhan siri ini adalah 104 buah episod.[7]
Siri ini merupakan sebuah kejayaan untuk ABC Family apabila selama 13 minggu mendapat jumlah penonton teramai, 8 minggu untuk penonton berusia 18-34 dan 18-49 dan 15 minggu untuk pilihan penonton wanita berusia 12-34 untuk musim ketiganya.[8] Siri ini mencapai episod ke-100 menerusi siaran musim keempat, namun mengalami penurunan penonton.[9][10] Bersama-sama dengan kebanyakan rancangan ABC Family, penurunan jumlah penonton Melissa & Joey adalah sejajar dengan penurunan jumlah pelanggan TV.[11][12][13] Siaran terakhir siri ini adalah pada 5 Ogos 2015. [14]
Sinopsis
Mel merupakan ahli politik tempatan yang lahir dari keluarga yang aktif dalam bidang politik. Beliau terpaksa menjaga dua orang anak saudaranya, Lennox dan Ryder. Sementara itu, Joe pula disahkan muflis disebabkan oleh skim Ponzi dan perlu mencari pekerjaan.[15] Mel telah mengupah Joe untuk menjadi pengasuh kedua-dua anak saudaranya itu.