Lee Myung-bak (i.mʲʌŋ.bak̚) (lahir 19 Disember 1941) ialah ahli politik Korea Selatan yang berkhidmat sebagai presiden Korea Selatan ke-10 dari 2008 hingga 2013. Sebelum kepresidenannya, beliau merupakan datuk bandar Seoul dari 2002 hingga 2006.[1]
Pada 29 Oktober 2020, Lee diperintahkan untuk mula menjalani hukuman penjara selama 17 tahun oleh Mahkamah Agung atas kesalahan rasuah dan penyelewengan.[3] Pada 27 Disember 2022, beliau menerima pengampunan Presiden.[4]
Kehidupan awal dan pendidikan
Lee dilahirkan di Hirano-ku, Osaka, Jepun di mana ayahnya bekerja di ladang lembu. Keluarga beliau pulang ke Korea sejurus Perang Dunia Kedua tamat. Beliau merupakan anak ke-ima dan membesar di Pohang, Gyeongsangbuk-do. Lee menghabiskan masa kanak-kanaknya dengan membantu ibunya menjual aiskrim, kek, pakaian, buah, mancis, dan gula-gula.
Beliau berpendidikan awal di Sekolah Tinggi Komersil Dongji. Seterusnya beliau ke Seoul untuk melanjutkan pelajaran di universiti.
Politik
Lee pernah memenangi jawatan ketua majlis pelajar, juga menceburi politik jalanan. Pada 1964, beliau menyertai demonstrasi pelajar membantah pemulihan hubungan Korea-Jepun dan telah dipenjarakan selama enam bulan.
Latar belakang ekonomi
Lee menulis kepada bekas Presiden Park Chung-hee mengkritik pengamalan mengharamkan penunjuk perasaaan pelajar masuk ke persatuan utama, polisi yang diubah yang menghalang beliau mendapat kerja. Pada 1965, beliau menyertai Hyundai Engineering and Construction.
Semasa bekerja, beliau menemui mentor kepada beliau dan pengasas Hyundai, Chung Ju-Yung. Syarikat ini yang hanya mempunyai 90 pekerja berjaya meluaskan pasaran ke Timur Tengah semasa kerancakan ekonomi Korea pada tahun 1960-an dan 1970-an.Dalam masa 5 tahun, beliau menjadi eksekutif dan menjadi pengarah pada tahun 1977 . Ketika 3 dekad bersama Hyundai Group Lee mendapat gelaran "Bulldozer" untuk usaha merempuh cabaran.[5] Pada 1970-an, Lee terlibat dalam projek jambatan besar di Malaysia dan rapat dengan Timbalan Perdana Menteri ketika itu Mahathir Mohamad.[6][7]
Kehidupan peribadi
Lee mengahwini Kim Yun-ok pada tahun 1947 dan dikurniakan 3 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Lee juga membuat keputusan untuk memeluk Kristian dan menjadi Bapa pembaptisan di Gereja Presbyterian Somang di Seoul.Dia dikecualikan daripada latihan ketenteraan kerana selalu mengalami sesak nafas.
Kontroversi
Sekatan ke atas kebebasan bersuara
Semasa Lee Myung-bak menjadi Presiden, beliau dikritik oleh pihak pembangkang kerana menjejaskan piawaian kebebasan bersuara.[8][9][10]
Caj rasuah
Lee Myung-bak pertama kali disabitkan atas tuduhan penyelewengan dan menerima rasuah pada 5 Oktober 2018 dan dipenjara selama 15 tahun.[11][12] Beliau didapati bersalah menerima dana haram AS$10 juta (RM40.9 juta) dan menerima rasuah daripada Samsung Electronics sebagai pertukaran untuk membebaskan pengerusinya, Lee Kun-hee yang dipenjara atas kesalahan mengelak cukai.[13] Mahkamah Rayuan kemudian meningkatkan hukumannya kepada penjara 17 tahun[14] tetapi membenarkan beliau dijamin sementara menunggu rayuan di Mahkamah Agung.[15]
Pada 29 Oktober 2020, Lee diperintahkan untuk mula menjalani hukuman penjara selama 17 tahun oleh Mahkamah Agung atas kesalahan rasuah dan penyelewengan.[16][17]
Pada 28 Jun 2022, beliau diberikan pembebasan sementara dari penjara kerana usia dan kesihatannya yang semakin merosot.[18][19]
Pada 27 Disember 2022, Lee menerima pengampunan Presiden. Menteri Kehakiman, Han Dong-hoon, berkata pengampunan itu sekali gus memendekkan hukuman penjara selama 17 tahun yang dikenakan ke atasnya, atas tuduhan rasuah..[4][20][21]