Lahir mati atau kelahiran mati biasanya ditakrifkan sebagai kematian janin dalam lingkungan masa 20 hingga 28 minggu kehamilan.[1][2] Hasilnya, bayi yang dilahirkan tidak ada sebarang tanda kehidupan.[2] Kelahiran mati boleh mengakibatkan perasaan bersalah atau kesedihan pada ibu.[7] Istilah ini berbeza dengan keguguran, yang merupakan kehilangan janin pada awal peringkat kehamilan, dan kelahiran hidup yang melibatkan bayi dilahirkan dalam keadaan hidup, walaupun ia mungkin mati selepas itu.[7]
Selalunya punca lahir mati tidak diketahui.[1] Terdapat pelbagai punca yang berkaitan termasuk komplikasi kehamilan seperti pra-eklampsia dan komplikasi kelahiran, masalah dengan plasenta atau tali pusat, kecacatan kelahiran, jangkitan seperti malaria dan sifilis, serta tahap kesihatan ibu yang kurang baik.[2][3][8] Antara faktor-faktor risiko lain termasuklah umur ibu yang melebihi 35 tahun, merokok, penggunaan dadah, penggunaan teknologi pembiakan berbantu, dan kehamilan pertama.[4] Kelahiran mati mungkin disyaki apabila tiada pergerakan janin dirasai.[5] Pengesahan keadaan bayi dapat dilakukan melalui ultrabunyi.[5]
Pencegahan seluruh dunia bagi kebanyakan kelahiran mati boleh dilakukan dengan penambahbaikan sistem kesihatan.[2][9] Kira-kira separuh daripada kelahiran mati berlaku semasa bersalin, dan hal ini lebih biasa berlaku di negara membangun berbanding negara maju.[2] Selain itu juga, bergantung pada sejauh mana tempoh kehamilan, ubat-ubatan boleh digunakan untuk memulakan kelahiran, ataupun sejenis pembedahan yang dikenali sebagai "pendilatan dan pengosongan" boleh dijalankan.[6] Selepas kelahiran mati, wanita berisiko lebih tinggi untuk kelahiran mati pada kandungan seterusnya; bagaimanapun, kebanyakan kehamilan berikutnya tidak mempunyai masalah yang sama.[10]Kemurungan, kesulitan dari segi kewangan dan keretakan hubungab keluarga merupakan antara beberapa komplikasi yang diketahui yang berlaku selepas peristiwa janin lahir mati.[9]
Di seluruh dunia pada tahun 2015 terdapat kira-kira 2.6 juta kelahiran mati yang berlaku selepas 28 minggu kehamilan (anggaran 1 per 45 kelahiran).[2][11] Perkara ini berlaku paling kerap di negara membangun, terutamanya Asia Selatan dan Afrika Sub-Sahara.[2] Di Amerika Syarikat setiap 167 kelahiran akan ada satu kes kelahiran mati.[11] Kadar kelahiran mati telah menurun, walaupun lebih perlahan sejak tahun 2000-an.[12]