Krisis perlembagaan Perak 2009 merupakan satu pertikaian politik mengenai kesahihan kerajaan negeri Perak. Segala-galanya bermula apabila 4 Ahli Dewan Undangan Negeri dari Pakatan Rakyat melompat parti, memberi kelebihan kepada Barisan Nasional. Dengan hal ini, Barisan Nasional berjaya meyakinkan Sultan Perak bagi membubarkan kerajaan Pakatan Rakyat dan seterusnya digantikan dengan kerajaan Barisan Nasional.
Sebelum krisis perlembagaan tercetus, Pakatan Rakyat pada asalnya mempunyai 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sementara Barisan pula mempunyai 27 ADUN. Semasa krisis tercetus, tiga ADUN Pakatan Rakyat keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas manakala seorang lagi (yang sebelumnya telah keluar parti UMNO dan menyertai Parti Keadilan Nasional) kembali semula menyertai UMNO. Pesta lompat parti tersebut menyebabkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri telah berubah, iaitu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional mempunyai bilangan kerusi yang sama iaitu 28 serta terdapat tiga wakil bebas.
Pertikaian kesahihan mengenai gejala lompat parti, bidang kuasa Sultan bagi menyingkirkan Menteri Besar sedia ada[1], surat perletakan jawatan tidak bertarikh, bidang kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri Perak serta bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia merupakan isu-isu utama dalam krisis perlembagaan ini.
Sehari kemudian, dua wakil rakyat PKR, Jamaluddin Mat Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu, yang sedang didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah tiba-tiba hilang dan gagal dihubungi.[8] Empat hari kemudiannya, kedua-duanya mengisytiharkan keluar parti dan menjadi ahli bebas, serta menjanjikan kesetiaan kepada Barisan Nasional.[9]Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia mengatakan tiada pilihan raya kecil akan diadakan bagi kedua-dua kerusi yang dipegang mereka walaupun telah menerima tekanan daripada pelbagai pihak.[10]
Naib speaker dari DAP, Hee Yit Foong keluar parti dan menjadi wakil bebas pada hari berikutnya. Pada 4 Februari2009, Sultan Perak bertemu dengan Nizar pada sebelah paginya mengenai permohonan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri serta mengadakan pilihan raya semula di negeri Perak.[11]Sultan Perak bertemu Najib pada petang berikutnya, bersama-sama wakil rakyat bebas yang keluar dari Pakatan Rakyat dan secara tiba-tiba Datuk Nasarudin Hashim kembali semula ke Barisan Nasional atas alasan untuk mengembalikan kestabilan politik di Perak.[12] Najib pula mengambil kesempatan ini untuk memohon perkenan diraja bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang baru.[13]
Kerajaan negeri baru
Tidak lama kemudian, Sultan Perak mengumumkan keputusan baginda untuk tidak membubarkan dewan dan meminta Menteri Besar untuk meletakkan jawatan, dengan dakwaan tindakan tersebut dilakukan di bawah Perkara XVIII (2)(b) Perlembagaan Negeri Perak.[14][15] Kesemua 28 wakil rakyat BN dan 3 ahli bebas mengatakan rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap Nizar dalam pertemuan dengan Sultan Perak.[16][17] Penasihat DAP, Lim Kit Siang, pula mendakwa Sultan Perak sepatutnya bertindak atas nasihat Menteri Besar dan mengadakan pilihan raya semula dengan memetik Perkara 16(6) Perlembagaan Perak.[18]
Nizar pula enggan meletakkan jawatan dan merayu kepada Sultan Perak untuk menerima cadangannya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri atas sebab demokrasi, dengan bantuan para pemimpin Pakatan Rakyat.[19] Pihak polis pula berkawal di bangunan sekretariat negeri dan meminta kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengosongkan bangunan.[20] Lewat petang kemudian, Sultan Perak memperkenankan kerajaan baru Barisan Nasional dengan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baru pada hari berikutnya, 6 Februari.[21]
Pagi berikutnya, Nizar dan ahli-ahli exconya pulang ke kediaman rasmi Menteri Besar dan mendapati pejabat mereka sudah dikosongkan. Nizar yang terkejut dengan tindakan tersebut mengadakan satu sidang media di dalam kediaman rasminya, tiba-tiba diarahkan untuk mengosongkan kediaman rasmi oleh sekretariat negeri[22] dengan alasan mereka melanggar perjanjian asal untuk mengambil barangan peribadinya. Nizar kemudiannya dibawa keluar oleh polis 45 minit kemudian.[23] Menteri Penerangan Ahmad Shabery Cheek, mempertahankan tindakan Sultan dengan mengatakan baginda bertindak seperti yang termaktub dalam peruntukan perlembagaan negeri[24][25] serta menganggap tindakan Nizar menafikannya adalah satu bentuk penderhakaan.[26]
Zambry Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru pada pukul 4.08 petang, yang dihadiri oleh ahli-ahli Barisan Nasional, termasuklah TPM Najib, yang tiba di Istana Iskandariah di bawah kawalan keselamatan yang ketat. Penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di luar istana dan melancarkan tunjuk perasaan membantah perlantikan Menteri Besar yang baru.[27][28] Para pemimpin Pakatan, termasuklah Anwar Ibrahim, mencabar kesahihan perlantikan Zambry dengan mengatakan Nizar masih Menteri Besar, seperti yang dijamin oleh peruntukan perlembagaan negeri, sehinggalah Nizar memperoleh undi tidak percaya dalam satu persidangan Dewan Undangan Negeri.[29] Nizar menuntut Zambry untuk meletakkan jawatan dan menyatakan hasrat memohon untuk memfailkan saman terhadap Zambry di Mahkamah Tinggi serta mendakwa perlantikannya sebagai melanggar perlembagaan negeri.[30] Walau bagaimanapun, Nizar dan para pemimpin kerajaan Pakatan yang lain kembali ke kediaman rasmi Menteri Besar pada 7 Februari, serta meluluskan tiga dasar di Perak pada hari yang sama.[31]
Tindakan undang-undang mencabar kesahihan kerajaan BN
Pada hari kemudiannya, Nizar akhirnya melaporkan diri untuk bertugas selaku Menteri Besar Perak.[32] Bagaimanapun, jawatan beliau ditarik balik secara tiba-tiba apabila hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali meluluskan penangguhan pelaksanaan keputusan kepada Zambry, sekaligus sini menetapkan 21 Mei bagi mendengar rayuan Zambry dan permohonan Nizar.[33]Pada 22 Mei, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar hujah-hujah mereka memutuskan Zambry sebagai menteri besar Perak yang sah, sekaligus membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Nizar, atas hujah bahawa "bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN."[34]
Penggantungan wakil-wakil rakyat BN
Pada 18 Februari 2009, speaker Dewan Undangan Negeri Perak V Sivakumar telah menggantung Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam ahli exconya daripada menghadiri persidangan dewan, masing-masing selama 18 dan 12 bulan.[35] Pada 2 Mac 2009 speaker Dewan Undangan Negeri Perak V Sivakumar mengumumkan penggantungan setiausaha dewan iaitu Abdullah Antong Sabri serta-merta dan persidangan darurat yang dijadualkan pada 3 Mac akan berjalan seperti yang dirancang. Penggantungan tersebut dilakukan kerana kegagalan Abdullah untuk menjalankan tugasnya secara profesional.[36]
^Yushaimi Yahaya, Frankie D'Cruz, Zainal Epi, Kharleez Zubin and Francis C. Nantha (February 6, 2009). "Showdown expected in Royal town". Malay Mail. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-07. Dicapai pada 2009-02-06.CS1 maint: multiple names: authors list (link)