Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon (Cina: 许子根, pinyin: Xǔ Zǐgēn; lahir 26 Ogos 1949) ialah seorang ahli politik dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang ke-3. Pada pilihan raya umum 2008, Koh memutuskan untuk tidak bertanding bagi kerusi DUN, sebaliknya bertanding bagi kerusi Parlimen Batu Kawan. Walau bagaimanapun, calon Parti Tindakan Demokratik, P Ramasamy, menewaskan Koh dalam perlawanan dua penjuru. Beliau merupakan bekas menteri di dalam jabatan perdana menteri bertanggungjawab atas portfolio perpaduan and prestasi.
Koh dilahirkan di Pulau Pinang pada 1949. Beliau menuntut di SMJK Chung Ling, Pulau Pinang dan digraduasikan sebagai pelajar terbaik di dalam kelompok sebaya beliau. Sebelum melangkah ke arena politik, beliau merupakan seorang pensyarah dan Timbalan Dekan Pusat Pengajian Pendidikan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dari 1975 hingga 1982. Beliau digraduasikan dari Universiti Princeton, USA, pada 1970 dengan segulung ijazah fizik, dan dianugerahkan gelaran PhD dari Universiti Chicago pada 1977 dalam bidang pendidikan ekonomi dan sosiologi. Tajuk tesis PhD beliau ialah "Education, Entrepreneurial Formation and Entrepreneurial Behavior in Japan".
Keluarga
Tan Sri berkahwin dengan Puan Sri Chui Kah Peng (meninggal dunia 2016) dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Koh Yu Cheng, dan seorang anak perempuan, Koh Yu Jun, sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Princeton.
Kontroversi
Didesak undur
Pada 29 Oktober 2009, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat, ADUN Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz secara lantang mendesak Menteri beliau supaya berundur kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik sebagai menteri.[2] Kenyataannya mendapat reaksi negatif daripada lebih 30 ahli Pemuda dan Wanita Gerakan yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Pemuda Gerakan Kebangsaan, Oh Tong Keong mengadakan protes di Menara PGRM bagi membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz yang mendesak Presiden parti itu, Tan Sri Koh Tsu Koon meletak jawatan. Mereka juga menuntut supaya Mohamad menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf secara terbuka kepada Tsu Koon.[3] Protes ini tidak diendahkan oleh beliau dan menegaskan bahawa beliau tidak akan menarik balik kenyataannya dan juga tidak akan memohon maaf kerana beliau percaya bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan kenyataan itu pula dibuat semasa sesi perbahasan di Parlimen.[4] Di dalam tindakbalas terhadap kenyataan Datuk Mohamad, Tsu Koon berkata bahawa beliau tidak terganggu dengan kenyataan Mohamad Aziz walaupun mengakui bahawa tindakan Mohamad itu disifatkan mencemari semangat BN yang telah wujud sejak sekian lama.[5]Akhirnya pada 2 November 2009, beliau tampil di parlimen untuk menjawab soalan tentang Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).[6]