Khurafat The Series (juga dikenali sebagai Khurafat: Setiap Mayat Ada Cerita) ialah sebuah siri drama televisyen Malaysia terbitan Skop Productions disiarkan di Astro Ria dari 12 Julai 2011 hingga 4 Oktober 2011.[1] Drama ini diadaptasi daripada filem Khurafat: Perjanjian Syaitan yang diarahkan oleh Syamsul Yusof,[2] yang meraih kutipan pecah panggung. Ia dibintangi oleh Zahiril Adzim dan Nora Danish, mengisahkan tentang Mastura yang mengikat perjanjian sehidup semati dengan Johan tetapi akhirnya segala apa yang dipersetujui itu telah menghantui pasangan kekasih terbabit.[3]
Sinopsis
Mastura (Nora Danish) dan Johan (Zahiril Adzim) mengikat perjanjian untuk sehidup semati dan melakukan satu ritual menjamu darah mereka pada sebuah busut dgn tujuan agar mereka tidak jatuh cinta kepada orang lain. Namun malangnya, belum sempat Johan melamarnya, Mastura terlibat dalam sebuah kemalangan yang menyebabkannya koma. Kemudian Johan mula merasakan perubahan pada dirinya. Dia perlahan-lahan mula dapat lihat makhluk-makhluk dari alam lain seperti jin dan roh.
Johan pun menyiasat tentang perjanjian yang telah dibuatnya dulu bersama dengan Mastura. Rupanya, apabila darah dititiskan pada busut yang dijaga oleh penunggu, darah dan nyawa Johan dan Mastura juga disatukan. Jika salah seorang daripada mereka mati, pasangannya juga akan mati.
Johan mula panik. Doktor sudah mengesahkan Mastura mungkin tidak dapat diselamatkan dan hanya menunggu masa untuk “pergi”. Ini bermakna waktu Johan juga sudah suntuk. Johan mula mencari cara untuk menarik diri daripada perjanjian dengan penunggu busut. Johan belum bersedia untuk mati. Namun, Johan mula diganggu roh Mastura yang mahukan Johan membunuh diri agar mereka sama-sama dapat “berhijrah” ke alam seterusnnya. Berjayakah Johan menarik diri daripada penjanjian itu?
Pelakon
Penerbitan
Tujuh bulan selepas Khurafat: Perjanjian Syaitan ditayangkan, Datuk Yusof Haslam mengumumkan akan menerbitkan Khurafat dalam bentuk drama bersiri yang akan bersiaran pada pertengahan 2011. Ia merupakan kerjasama sulung Skop Productions dan Astro Ria, Ismail Yaacob memikul tanggungjawab sebagai pengarah untuk Khurafat versi drama.[2] Menurut Datuk Yusof, pihaknya sudah mengkaji setiap adegan yang dipaparkan tidak akan melanggar peraturan Lembaga Penapisan Filem (LPF). Watak Johan yang sebelum ini dilakonkan oleh Syamsul Yusof dalam versi filem, dipegang oleh Zahiril Adzim untuk versi drama, manakala watak Mastura lakonan Nora Danish, diperkenalkan bagi manggantikan watak Aishah lakonan Liyana Jasmay dalam versi filem.[2] Penggambaran dijalankan di Hospital Sungai Buloh, Hulu Langat dan Bukit Antarabangsa.
Rujukan
Pautan luar