Hikayat Panglima Nikosa merupakan suatu karya dikarang Ahmad Shawal bin Abdul Hamid tahun 1876. Ia diamati sebagai penulisan pertama berbahasa Melayu tertua menepati format novel moden.[1][2] Karya hikayat ini mengisahkan Nikosa seorang pemuda yang diharapkan sebagai pelindung negerinya di mana pengalaman berperang musuh mematangkan peribadinya serta mendorong terbinanya suatu negeri.
Novel ini dicetak batu di Bukit Persinggahan, Kampung Boyan di Kuching pada 30 Jun 1876.[4]
Karya ini ditemukan semula anggota Sarawak Literary Society dalam simpanan pustaka Sir Hugh Low di Perpustakaan Rhodes House, Universiti Oxford pada tahun 1982; Hugh difahamkan memperoleh salinan buku ini semasa bekerja dengan James Brooke dari 1848 hingga 1850 sebelum dilantik menjadi Residen Perak tahun 1877.[1][4]
Watak
Nikosa, anak seorang kepala sebuah negeri dan pakar perang diceritakan "tabiatnya terlalu baik" yang dilantik orang-orang sekampungnya untuk melindungi mereka daripada serangan musuh; dia kemudiannya menubuhkan negerinya sendiri bernama "Jalanan Baru". Pengarang menekankan Nikosa sebagai seorang anak kepada "orang bumi" yakni manusia biasa yang menonjol pada zaman itu ketika banyak penceritaan Melayu dan Iban setempat dan sezaman mengaitkan kehebatan watak-watak ciptaan sedia ada dengan kejadian luar biasa atau keturunan leluhur yang perkasa.[4]
Jalilah, anak perempuan seorang menteri yang rupawan dan jelitawan, dia menjadi isteri Nikosa melahirkan 3 orang anak.
Pilina, seorang miskin dari suatu negeri berjiranan yang meminta bantuan Nikosa, Nikosa mengajarkannya mahir bercucuk tanam sehingga menjadi kaya (dia diceritakan kembali ke Jalanan Baru dengan empat buah perahu berisi lemantak[3]) dan "merdeka benar".