Hernán Cortés de Monroy y Pizarro Altamirano, Marquis of the Valley of Oaxaca (1485 – 2 Disember 1547) merupakan seorang pemimpin tentera Sepanyol (bahasa Inggeris: conquistador) dalam penaklukan Mexico pada abad ke-16.
Kehidupan awal
Dilahirkan di Medellín, wilayah Extremadura, Sepanyol, Cortés adalah anak tunggal kepada Martín Cortés dan Catalína Pizarro Altamirano. Salah seorang saudaranya, Francisco Pizarro, adalah penakluk empayar Inka (sekarang dikenali sebagai Peru).
Cortés melanjutkan pelajarannya di Salamanca tetapi mengecewakan keluarganya kerana enggan melanjutkan pelajarannya dalam bidang undang-undang seperti datuknya. Beliau sebenarnya mempunyai minat yang lain, iaitu sama ada berperang di Itali atau mencuba nasibnya di Dunia Baru.
Ketibaan ke Dunia Baru
Oleh sebab beberapa rintangan, Cortés hanya tiba di Dunia Baru pada tahun 1506. Beliau menyertai beberapa penaklukan di Hispaniola dan Cuba, dan disebabkan hasil usahanya, beliau dihadiahkan suatu ladang estet bersama dengan beberapa hamba abdi. Sewaktu penaklukan, Cortés menyaksikan ramai orang asli yang mati, akibat penyakit dan keganasan. Sedikit sebanyak pengalaman ini telah melembutkan hati beliau terhadap mereka dan kemudian sewaktu menjadi Kapten-Jeneral Sepanyol Baru, Cortés memelihara kehidupan puak-puak orang asli Amerika serta budaya mereka yang kekal sehingga ke hari ini.
Francisco Hernández de Cordoba, peneroka semenanjung Yucatán pada 1517, dan Juan de Grijalva pada 1518 telah pulang ke Cuba dengan membawa berapa gumpalan emas, dan cerita-cerita menarik tentang tempat-tempat yang kaya dengan emas. Cortés sangat tertarik dengan penemuan tersebut dan menjualkan segala harta bendanya untuk membeli beberapa kapal serta bekalan untuk berlepas ke Mexico. Beliau meminta Diego Velázquez de Cuéllar, Gabenor Cuba ketika itu, serta seorang saudara dan juga ayah mertuanya untuk mengetuai penjelajahan ke negara baru ini. Pada mulanya, Diego bersetuju dengan syarat Cortez tidak menakluki negara tersebut, tetapi pada saat-saat akhirnya, Diego tidak mahu menyertai ekspedisi ke Mexico kerana bimbang dengan kos perbelanjaannya yang tinggi.
Kempen bermula
Pada 1519, Cortés meninggalkan Cuba dengan 11 buah kapal, 500 anak kapal, dan 15 ekor kuda. Sewaktu kunjungan yang singkat di Yucatán dan Tabasco, beliau bernasib baik kerana berjumpa dengan dua penterjemah, seorang hamba abdi Aztek yang bernama La Malinche, dan seorang lelaki Sepanyol bernama Jeronimo de Aguilar yang fasih dalam bahasa Sepanyol dan dialek Maya setelah menjadi rakyat puak Maya selama tujuh tahun. Cortés mendarat di suatu tempat yang beliau panggil Veracruz ("Salib yang Benar") pada 4 Mac 1519.
Puak pribumi disana, iaitu Totonac dari Cempoala, menghadiahkan Cortés dengan makanan, bulu burung, emas dan wanita. Beliau mendapat tahu bahawa tanah Mexico dimiliki oleh Maharaja Agung dari ibu kota Tenochtitlán. Selang beberapa hari, perwakilan dari Maharaja Mexica/Aztek Moctezuma II tiba dengan membawa lebih banyak hadiah bernilai dengan harapan bahawa emas tersebut dapat memuaskan beliau. Namun, perbuatan ini hanya meningkatkan nafsu Cortés untuk menakluk Mexico. Cortés kemudian diberitahu bahawa beliau disyaki sebagai Quetzalcoatl atau wakilnya, suatu manusia-dewa legenda yang akan merampas kembali ibu kota Tenochtitlán pada tempoh "satu rid" ("satu rid" (bahasa Inggeris: One-Reed) dalam kalendar Aztek adalah bersamaan dengan 52 tahun, yang secara kebetulan jatuh pada tahun 1519). La Malinche kemudiannya menasihati beliau untuk mengambil kesempatan penuh mitos Quetzalcoatl untuk menewaskan Moctezuma.
Cortés memulakan perjalanannya dengan hentian pertama di Tlaxcala, sebuah negeri bebas di Mexico. Pada mulanya, rakyatnya menyerang tentera Cortez tetapi terpaksa akur dengan kecanggihan senjata Sepanyol seperi pedang, kapak, kuda dan senjata api. Cortés kemudian membuat perjanjian dengan mereka bahawa sekiranya mereka memeluk agama Kristian, mereka akan diampun dan beliau akan berusaha untuk menjatuhkan Maharaja Moctezuma, musuh ketat mereka. Tetapi jika mereka enggan bekerjasama, mereka semua akan dibunuh. Akhirnya puak Tlaxcaltecas bersetuju, dan Cortés menyambungkan perjalanannya dengan hampir 2,000 perwira Tlaxcalteca ke arah ibu kota Mexico.
Selepas Cortés tiba di Cholula, bandar kedua terbesar di Empayar ini, La Malinche memberitahu beliau terdapat khabar angin bahawa puak tempatan merancang untuk membunuh askarnya sewaktu mereka sedang tidur. Tanpa banyak soal, beliau mengarahkan tenteranya untuk membunuh kesemua rakyat di Cholula. Tenteranya yang ganas itu kemudiannya membakar bandar tersebut dan membunuh hampir 30,000 penduduk di sana. Selepas itu, Cortés menghantar utusan kepada Moctezuma menceritakan bahawa ketua Cholula menghinakannya dan telah dihukum, tetapi sekiranya Moctezuma menghormati beliau dan terus menghadiahkan emas, Maharaja itu tidak perlu takut dengan kemarahannya.
Apabila penakluk-penakluk dari Sepanyol sampai di bandar Tenochtitlán buat pertama kalinya, mereka takjub dengan kehebatan bandar tersebut. Bagaimanakah orang-orang yang jahil ini boleh hidup dalam kemewahan sebegini? Mereka tiba di pusat Mexica-Aztek pada 8 November 1519. Moctezuma kemudiannya menjemput Cortés ke Tenochtitlán yang terletak di Jalan Tambak Agung menujui "Venice di Barat" yang mungkin merupakan ibu kota terbesar di dalam dunia ketika itu.
Perhubungan dengan Maharaja-Maharaja Aztek terakhir
Moctezuma menyediakan mahligai ayahnya Axayacatl untuk dijadikan tempat tinggal pihak Sepanyol dan kuncu-kuncu mereka berketurunan Indian. Cortés kemudiannya meminta lebih hadiah berbentuk emas untuk dihadiahkan kepada Raja Charles V. Beliau juga mengarahkan maharaja itu untuk membuang dua patung gergasi dari kuil piramid utama di dalam ibu kota itu serta mencucikan darah manusia yang telah menjadi korban. Tindak-tanduk ini telah membangkitkan kemarahan rakyat Aztek disana. Akhir sekali dalam satu perjumpaan sulit, Cortés dan La Malinche sebagai penterjemahnya telah meminta Moctezuma untuk menaikkan salib serta dua tempat pemujaan untuk Maryam dan St. Christopher menggantikan tempat patung-patung pujaan mereka. Walaupun maharaja itu mengikuti arahan beliau, Cortés telah menawan Moctezuma dalam mahligainya sendiri sebagai insuran dari pemberontakan puak Aztek.
Untuk menambahkan masalah, Cortés menerima berita buruk bahawa satu pasukan Sepanyol telah dihantar oleh Velázquez untuk menangkapnya kerana mengingkari perintahnya iaitu tidak menakluki negara Mexico. Beliau mengamanahkan pentadbiran ibu kota itu kepada leftenannya yang dipercayai iaitu leftenan Pedro de Alvarado. Lalu, dia dan askarnya bergerak ke arah expedisi Cuba dan menewaskan mereka yang dipimpin oleh Pánfilo de Narváez. Cortés kemudiannya mengkhabarkan kepada pihak yang kalah tentang ibu kota emas di Tenochtitlán, dan mereka bersetuju untuk menyertai tentera Cortés.
Apabila Cortés kembali ke ibu kota itu, beliau mendapati Alvarado dan askarnya telah membunuh secara beramai-ramai kesemua bangsawan Aztek dan mereka yang masih hidup telah menabalkan maharaja yang baru iaitu Cuitláhuac. Alvarado telah membuat demikian kerana menyangka upacara keagamaan mereka itu sebagai satu pemberontakan. Cuitláhuac kemudiannya mengarahkan perwiranya untuk mengepung mahligai yang diduduki oleh pihak Sepanyol dan Moctezuma. Cortés tiada pilihan lain dan terpaksa meminta Moctezuma untuk bercakap dianjung mahligai kepada rakyatnya dan mendesak mereka untuk membiarkan askar Sepanyol keluar secara aman. Namun demikian, rakyatnya yang sudah benci dengannya terutama sekali selepas mencemarkan agama mereka dengan menaikkan salib di kuil mereka dan juga pembunuhan yang diarahkan oleh Alvarado. Lalu merekapun mengejeknya dan membaling batu-batu besar kearahnya dan Moctezuma menerima kecederaan yang teruk dikepalanya. Cortés bersama-sama La Malinche cuba untuk berunding dengan puak yang menentangnya tetapi perundingan itu berakhir apabila maharaja itu mangkat dua minggu selepas itu pada 30 Jun, 1520.
Penaklukan ibu kota Tenochtitlán dan Mexico
Pada malam 1 Julai, 1520, Cortés bersama askarnya cuba untuk lari dari ibu kota Tenochtitlán tetapi seorang wanita telah melihat mereka dan memberitahunya kepada pihak berkuasa. Ini telah mencetuskan peperangan yang sengit dan ramai askar Sepanyol terperangkap kerana sibuk mengangkut barangan emas yang berat. Cortés dibiarkan hidup sebab puak Mexica-Aztek mahu menjadikannya korban untuk dewa perang mereka iaitu Huitzilopochtli. Lebih 400 orang Sepanyol dan hampir 2,000 puak bersekutu Indian telah terbunuh. Tetapi Cortés, Alvarado dan perwiranya yang paling cekap berjaya melepaskan diri. Kumpulan wanita yang terlepas termasuklah penterjemahnya La Malinche, kekasih Alvarado dan dua anak perempuan Moctezuma. Kemenangan besar Aztek ini dikenali oleh orang Sepanyol sebagai "La Noche Triste", Malam Kesedihan.
Walaupun tewas, Cortés tidak berputus asa. Beliau telah mengarahkan pengepungan ibu kota ini. Sewaktu Tenochtitlán dikepung suatu wabak cacar pula berlaku. Hampir 40 peratus askar bersekutu Sepanyol berbangsa Indian telah mati akibat penyakit ini. Tetapi kesannya kepada masyarakat Tenochtitlán adalah lebih teruk lagi kerana selain daripada penyakit cacar, mereka berada dalam keadaan kebuluran. Cortés juga terpaksa mengarahkan askarnya untuk merobohkan setiap rumah dan bangunan kerana perwira Aztek menyerang mereka dari bahagian atap bangunan. Akhirnya kurang setahun selepas diusir dari ibu kota ini, seluruh Tenochtitlán telah musnah dan diantara 120,000 hingga 240,000 orang Aztek telah terkorban. Maharaja Aztek terakhir, Cuauhtémoc, menyerah kalah kepada Cortés pada 13 Ogos, 1521.
Cortés meletakkan kaki Cuauhtémoc ke bara api untuk mendapatkan kembali barangan emas yang hilang sewaktu La Noche Triste atau Malam Kesedihan. Namun kezaliman ini telah menghantui beliau. Beliau tidak sanggup memaafkan dirinya sendiri, dan memulakan expedisi merbahaya melalui Guatemala ke Honduras untuk menghukum seorang Sepanyol yang mengkhianatinya. Beliau juga telah menjadi gila dan menjatuhkan hukuman gantung kepada Cuauhtémoc walaupun diprotes oleh orangnya sendiri. Mungkin beliau tidak sampai hati melihat maharaja ini berjalan dengan kaki yang cacat.
Kehidupan akhir
Apabila Cortés pulang ke Honduras, dalam keadaan separuh mati, masyarakat yang tidak berkerajaan itu mengalu-alukan kedatangnya dengan penuh gembira. Beliau kemudiannya menjadi Gabenor-Jeneral Honduras selama satu penggal dan berjaya membawa stabiliti dan menegakkan undang-undang dinegara tersebut. Tetapi pihak birokrat Castil mula tiba kesana dan menggagalkan usaha murninya itu. Dengan kecewa, beliau meninggalkan pulau itu dan bersama-sama anak lelaki kegemarannya, anak La Malinche bernama Martín Cortés, beliau pergi untuk menemui negara China. Disamping itu beliau telah berulang-alik dari Mexico ke Sepanyol untuk memujuk rajanya untuk melantiknya sebagai gabenor Mexico. Tetapi dia telah membuat beberapa musuh di istana dan raja Charles V hanya memberikannya pangkat Kapten Jeneral. Namun, beliau telah dianugerakan lembah Oaxaca, bersama-sama 23,000 hamba abdi puak Indian. Akhirnya beliau pulang ke Eropah untuk berperang di Itali bersama-sama Martin. Cortés meninggal dunia di Seville pada 1547. Seperti Columbus, beliau mati dalam kekayaan tetapi gagal menjadi seorang tokoh yang terkenal seperti Caesar.Beberapa tahun selepas itu mayatnya dikembalikan ke Mexico dan dikebumikan di Niño Jesus Chapel berhampiran Zócalo, Bandar Mexico.
Beliau telah meninggalkan ramai anak yang berbangsa Indian dan berkulit putih dan mereka hidup gembira setelah mewarisi kekayaannya. Sehingga kehari ini, rakyat Mexico menganggapnya sebagai damnatio memoriae iaitu seorang yang hilang dari kenangan, walaupun beliau telah meninggalkan hampir setengah juta kaum kerabatnya di Mexico.
Rujukan
|
---|
Umum | |
---|
Perpustakaan negara | |
---|
Institut penyelidikan seni | |
---|
Kamus biografi | |
---|
Pangkalan data saintifik | |
---|
Lain-lain | |
---|