Falsafah dan prinsip asas di dalam ilmu Perubatan Melayu adalah berteraskan ilmu wahyu yakni Al-Quran dan Hadis NabiMuhammad Sallallahu alaihi wasallam. Maka sekaligus menyangkal dakwaan mengatakan perubatan Melayu dikaitkan sebagai 'The Malay Magic' kajian oleh Walter William Skeat (1965); Malay Magic: An Introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsular, Routledge.
Merujuk kepada kitab 'Falsafah dan Prinsip Asas Perubatan Melayu' yang di tulis oleh Nornizam Ngadeni. Tebal kitab ini sebanyak 175 halaman dan berkulit lembut. Genre buku ini adalah berkaitan Perubatan Tradisional dan Komplementari.
Perubatan Melayu telah diamalkan oleh masyarakat Melayu di Nusantara Melayu sejak berkurun lamanya. Pembuktian amalan Perubatan Melayu diketemukan melalui sumber manuskrip-manuskrip Kitab Tibb (Kitab Perubatan Melayu) seperti;
Kitab Bustan Al-Salatin,Bab ke-tujuh, fasal ke-tiga menyatakan Ilmu Tasyrih dan Ilmu Tibb; Karya Sheikh Nuruddin Al-Raniri pada tahun 1638 masihi di Acheh Dar As-Salam.
Kitab Al-Rahmah fi al-Tibb wa Al-Hikmah; Karya Sheikh Abbas Kuta Karang, Acheh pada tahun 1857 masihi.
Kitab Tayyib Al-Ihsan fi tibb Al-Insan; Karya Sheikh Ahmad Al-Fatani pada tahun 1894 masihi.
Perubatan Melayu dan Perbomohan Melayu adalah dua perkara yang berbeza sama sekali. Ilmu Perubatan Melayu mempunyai sumber teras yang sangat kukuh yakni bersumberkan teras ilmu Wahyu iaitu Al-Quran dan Al-Hadis. Aliran ilmu Perubatan Melayu juga datangnya dari Greek,Arab dan Melayu yang menjadikan ianya unik dan holistik dan diperkayakan lagi dengan pelbagai modaliti (bidang amalan) yang diamalkan.
Imu Perubatan Melayu terdiri daripada:-
Ilmu Perubatan Melayu Teoretikal
Ilmu Perubatan Melayu Praktikal
Perubatan Melayu Teoretikal ialah ilmu yang bersifat ilmiah yang menerangkan konsep perubatan tanpa melibatkan aplikasi dan amalan. Perubatan Melayu Teoretikal membahaskan konsep tubuh yang sihat dan sakit, serta punca dan tanda bagi kedua-dua keadaan tersebut. Kesemuanya dapat dikaji dalam empat bidang;
Mengkaji Sihat
Mengkaji Sakit
Mengkaji Punca
Mengkaji Tanda
Perubatan Melayu Praktikal membincangkan aplikasi Perubatan Melayu Teoretikal demi mencapai kedua-dua matlamat ilmu perubatan iaitu mengekalkan kesihatan dan menghilangkan penyakit. Jadi ada dua topik utama bagi Perubatan Melayu Praktikal;
Kaji Jaga
Kaji Rawat
FALSAFAH PERUBATAN MELAYU
Berusaha untuk menghasilkan dan memelihara kesihatan tubuh badan manusia secara menyeluruh daripada penyakit rohaniahnya dan jasmaniahnya, agar memperolehi keseimbangan aql, nafs dan jasad, supaya menjadi insan yang sihat pada zat, sifat dan af'al (perbuatannya) untuk melakukan pengabdian diri secara ikhlas kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala (Tabib Ustaz Nizam , Falsafah dan Prinsip Asas Perubatan Melayu, 2017).
Bermula, Tibb (perubatan) itu ilmu yang dengan dia dipeliharakan sihat yang ada dan dengan dia dikembalikan sihat yang telah hilang - Tayyib al-Ihsan fi tibb al-Insan, Sheikh Ahmad al-Fatani
2. Kitab Perubatan Melayu; Al-Rahmah fi Al-Tibb wa Al-Hikmah; Sheikh Abbas Kuta Karang, Acheh; Perumian Mohd Effendi Mohd Shafri
dan Hermansyah Muhammad Yahya; Akademi Jawi Malaysia; 2017; ISBN 978-967-14748-6-0