* Gol dan kemunculan untuk kelab senior hanya untuk liga domestik dan tepat pada 24 September 2023 ‡ Gol dan kemunculan pasukan kebangsaan hingga 26 Mac 2023
Emerson Palmieri dos Santos (lahir 3 Ogos 1994) atau dikenali sebagai Emerson Palmieri (sebutan bahasa Itali: [ˈɛːmersom palˈmjɛːri]) dan Emerson, merupakan pemain bola sepak profesional yang beraksi di posisi bek kiri untuk kelab Liga Perdana Inggeris, West Ham United dan pasukan kebangsaan Itali. Selain itu, beliau juga boleh beraksi di posisi sayap kiri dan pemain tengah kiri dalam sesetengah perlawanan.
Di peringkat antarabangsa, Emerson telah beraksi untuk negara tanah airnya, Brazil di peringkat pasukan bawah-17. Namun, beliau menyatakan hasratnya untuk mewakili Itali dengan berjaya memperoleh kerakyatan Itali pada tahun 2017. Beliau telah dipanggil untuk mewakili pasukan senior Itali sebelum melakukan penampilan sulungnya pada tahun 2018.
Kerjaya kelab
Santos
Emerson melakukan penampilan sulungnya untuk kelab di kampungnya, Santos pada 17 April 2011 dengan menjadi pemain gantian pada lewat permainan menggantikan Keirrison ketika aksi Campeonato Paulista menewaskan Paulista 3-0. Beliau beraksi sebagai barisan kesebelasan utama Santos pada 21 Januari 2012 ketika seri 1-1 menentang XV de Piracicaba.[3] Pada bulan Februari, beliau kembali semula ke pasukan belia Santos[4] tetapi beliau dipanggil ke skuad senior untuk menghadapi perlawanan menentang Mogi Mirim pada bulan berikutnya.[5] Beliau juga beraksi menentang Ituano dan Paulista sebelum menyaksikan pasukannya merangkul kejuaraan Paulistão buat kali ketiga berturut-turut.
Pada 17 Jun, Emerson melakukan penampilan sulungnya di Série A dalam aksi tewas tipis 0-1 kepada Flamengo.[6] Beliau menjaringkan gol sulungnya pada 5 September 2013 tetapi pasukannya akur akan kekalahan 1-2 kepada Atlético Paranaense.
Palermo
Pada 25 Ogos 2014, Emerson telah dipinjam ke kelab Serie A, Palermo yang bersertakan klausa pelepasan.[7] Beliau melakukan penampilan sulungnya di liga Itali pada 24 September dengan beraksi sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua menggantikan Fabio Daprelà pada perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 3-3 bertemu Napoli.[8]
Emerson beraksi dalam sembilan perlawanan bersama Palermo dan beliau digunakan sebagai pemain pilihan kedua di belakang pemain baru, Achraf Lazaar.
Roma
Pada 31 Ogos 2015, Emerson menyertai kelab Itali, Roma secara pinjaman selama setahun.[9] Beliau menjadi pemain pilihan kedua di belakang Lucas Digne. Beliau melakukan penampilan sulungnya untuk Roma pada 4 Oktober ketika menentang kelab lamanya, Palermo yang tamat dengan kemenangan 4-2.
Emerson telah menjaringkan gol pertamanya di Serie A pada 14 Mei 2016 dalam aksi kemenangan 3-1 ke atas Milan selepas beliau menggantikan Stephan El Shaarawy minit ke-78 permainan sebelum menyumbat jaringan ketiga Roma.[10] Tempoh pinjamannya telah dilanjutkan pada musim berikutnya pada 7 Julai.[11]
Pada 5 Disember 2016, selepas menuju kepada perlawanan ke-12 liga, Emerson telah dibawa masuk secara tetap dengan nilai perpindahan sebanyak 2 juta euro.[12]
Emerson telah terlepas separuh pertama kempen bagi musim 2017–18 kerana mengalami kecederaan ligamen krusiata anterior pada Mei 2017.[13] Beliau beraksi semula pada 1 Disember 2017 dengan tampil sebagai pemain gantian pada 15 minit terakhir permainan ketika menentang SPAL sekali gus menjadikan satu-satunya penampilan Emerson bersama Roma pada musim itu.[14]
Chelsea
Musim 2017–18
Pada 30 Januari 2018, Emerson telah menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea dengan menandatangani kontrak selama empat tahun setengah manakala nilai perpindahannya tidak didedahkan.[15] Menurut Roma, perpindahan Emerson bernilai 20 juta euro serta bonus sebanyak 9 juta euro.[16] Beliau melakukan penampilan sulungnya bersama Chelsea ketika menentang Hull City pada pusingan kelima Piala FA Inggeris. Beliau telah membantu jaringan Olivier Giroud yang dapat menjaringkan gol sulungnya bersama Chelsea selepas dia baru dibawa masuk ke Chelsea pada Januari. The Blues meraih kemenangan 4–0 pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge.[17]
Emerson melakukan penampilan sulungnya di Liga Perdana Inggeris pada 4 Mac 2018 dengan menjadi pemain gantian pada separuh masa kedua semasa menentang Manchester City.[18] Beliau beraksi sebagai barisan kesebelasan utama Chelsea buat kali pertama ketika menentang Burnley pada 19 April. Emerson membantu jaringan kemenangan Chelsea yang dijaringkan oleh Victor Moses untuk mengutip tiga mata penuh dengan kemenangan 2–1.[19]
Musim 2018–19
Pada 26 September 2018, semasa penampilan pertamanya pada musim itu, Emerson menjaringkan gol pertamanya untuk Chelsea dengan menjaringkan gol penyamaan permainan ketika menentang Liverpool sebelum Chelsea akhirnya meraih kemenangan 2-1 pada pusingan ketiga Piala EFL.[20] Pada 24 Februari 2019, beliau beraksi sebagai barisan kesebelasan utama Chelsea pada perlawanan akhir Piala EFL. Beliau antara pemain Chelsea yang mengambil tendangan penalti semasa aksi penentuan penalti selepas perlawanan terikat seri tanpa jaringan selepas masa tambahan. Namun, Manchester City akhirnya meraih kemenangan 4-3 menerusi penentuan penalti.[21] Pada 29 Mei, beliau membantu jaringan pembukaan Olivier Giroud ketika menewaskan Arsenal pada perlawanan akhir Liga Europa.
Kerjaya antarabangsa
Emerson telah mewakili pasukan Brazil di peringkat bawah-17 ketika Kejohanan Amerika Selatan 2011 dan Piala Dunia B-17 2011. Pasukan Brazil menjadi juara ketika Kejohanan Amerika Selatan itu. Beliau merupakan tonggak utama Brazil pada kedua-dua kejohanan itu selain menjaringkan gol semasa menentang Chile pada 16 Mac 2011.
Pada Mac 2017, selepas hampir menjalani proses untuk memperoleh kerakyatan Itali, Emerson dilaporkan telah dipujuk oleh ketua jurulatih Itali untuk bertukar khidmat antarabangsa kepada pasukan Itali.[22] Beliau secara rasminya bertukar khidmat memilih Itali pada 29 Mac 2017.[23] Emerson telah dipanggil oleh Ventura untuk menghadapi perlawanan menentang Uruguay dan Liechtenstein pada Jun 2017. Namun, namanya terpaksa digugurkan kerana mengalami kecederaan dan tempat Emerson segera digantikan oleh Andrea Conti.[24]
Pada 19 Mei 2018, jurulatih baru Itali iaitu Roberto Mancini telah memanggil Emerson untuk menghadapi perlawanan persahabatan pada bulan Mei dan Jun menentang Arab Saudi, Perancis dan Belanda[25] tetapi khidmatnya terpaksa dilupakan kerana mengalami kecederaan lain.[26] Kemudian, beliau dipanggil sekali lagi pada September 2018 untuk menghadapi perlawanan pembukaan Liga Negara-Negara UEFA menentang Poland dan Portugal pada bulan itu.[27] Beliau melakukan penampilan sulungnya untuk Itali pada 10 September semasa menentang Portugal dengan menjadi pemain gantian pada separuh masa kedua menggantikan Domenico Criscito dalam perlawanan yang berakhir dengan kekalahan 1-0.[28][29]
Kehidupan peribadi
Emerson mempunyai darah Itali melalui ibunya yang berasal dari Rossano berhampiran Cosenza di Calabria[30][31] dan beliau telah menjadi warga Itali sejak Mac 2017. Abang Emerson, Giovanni juga seorang pemain bola sepak yang bermain di posisi bek kiri.[32]
^"Emerson Palmieri é emprestado ao Palermo" [Emerson Palmieri is loaned to Palermo] (dalam bahasa Portuguese). Santos' official website. 25 August 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-08-29. Dicapai pada 2020-06-16.CS1 maint: unrecognized language (link)
^"Napoli 3–3 Palermo". Football Italia. 24 September 2014. Dicapai pada 19 January 2015.
^"Emerson signs" (Siaran akhbar). Chelsea F.C. 30 January 2018. Dicapai pada 30 January 2018.
^"Operazioni di mercato Emerson Palmieri"(PDF) (Siaran akhbar) (dalam bahasa Italian). Rome: A.S. Roma. 30 January 2018. Dicapai pada 31 January 2018.CS1 maint: unrecognized language (link)