Kumpulan Devotees merupakan sebuah kumpulan penyanyi yang aktif di Malaysia. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu nasyid di Malaysia.
Sejarah
Kumpulan DEVOTEES telah ditubuhkan pada tahun 2004 di bawah pengurusan D Voice Entertainment. DEVOTEES telah membawa nafas baru dalam industri nasyid tanahair dengan menampilkan konsep “Urban Nasyid” yang berunsurkan Pop Dakwah dan “World Music” seperti Rap, Hip hop, Dance, Pop dan R&B yang bertujuan untuk memenuhi keperluan remaja masa kini dengan sesuatu yang lebih segar dan sesuai dengan peredaran masa.
Irama segar dan baru yang dibawa oleh DEVOTEES mampu menawan hati masyarakat terutama para remaja. Kehadiran DEVOTEES diyakini dapat menimbulkan kesedaran dalam masyarakat dan membendung gejala sosial yang semakin berleluasa terutamanya dikalangan remaja.
DEVOTEES yang membawa maksud seseorang yang bersemangat terutamanya dalam ajaran agama, terdiri daripada 4 orang graduan dan mahasiswa IPT.
Nama asal Devotees ialah Devosi (Berasal dari devotion/kehambaan). Nama Devosi itu pula dipilih setelah menapis lebih kurang 40 nama lain. Akhirnya pada sebelum rakaman bermula, nama DEVOTEES dipilih, berdasarkan maknanya, senang sebutan dan nilai komersial. DEVOTEES membawa maksud PEMUJA, PENGGEMAR, PENYERAHAN. Nama DEVOTEES juga dipilih untuk menunjukkan komitmen semua ahli kumpulan dalam memperjuangkan irama nasyid di Malaysia.
Ahli-Ahli
Kumpulan Devotees terdiri daripada 4 orang anak muda yang masing-masing merupakan graduan universiti. Kumpulan Devotees dianggotai oleh :-
Album sulung DEVOTEES telah diterbit dan diedar pada tahun 2005. Kelahiran album sulung DEVOTEES yang membawa genre World Music teleh mengukir sejarah baru industri nasyid tanahair. Album yang menggabungkan irama pop, hip hop, rap, dance dan R&B telah dapat menambat hati para pendengar terutamanya golongan remaja.
Album DEVOTEES telah mendapat sentuhan istimewa daripada penggubah-penggubah terkenal seperti Yasin, Waheeda, Along EXISTS, Abu Bakar RAIHAN, Munif HIJJAZ dan Isman HIJJAZ. Album yang terdiri daripada 10 lagu ini diterbitkan oleh DME Records Sdn Bhd dan diedarkan oleh NAR Records Sdn Bhd.
Antara lagu-lagu hit kumpulan Devotees yang pernah menjuarai carta ialah seperti Tika Dinihari, Alpha, Lament dan Mencari Cinta. Lagu Mencari Cinta juga telah tercalon untuk Anugerah Industri Muzik (AIM) 2006 yang lalu. Manakala, lagu Inggeris Lament pernah menjuarai Carta Jom Dengar di Radio XFRESH FM, dan Tika Dinihari telah mendapat tempat ke tiga bagi Anugerah Juara Nasyid Minggu Ini (JNMI) 2006. Selain itu, lagu ini juga pernah menjuarai rancangan Carta Nasyid di Radio IKIM.FM
Album seterusnya adalah Alternatif Hiburan Bermotivasi pada tahun 2007. Album kali ini lebih berkonsepkan ke arah kemanusiaan.
Kumpulan Devotees juga telah menghasilkan album MTV Karaoke DEVOTEES dan Album Hari Raya bersama Artis-artis NAR Records.
Devotees juga telah muncul dalam album kompilasi Nasyid Mantop terbitan Inteam Records dengan sebuah single baru bertajuk "Bersama".
Setelah hampir 6 tahun menyepi, pada Mac tahun 2011, Devotees muncul dengan album yang bertajuk "Berjalan Tanpa Henti". Untuk album kali ini, semua anggota Devotees, Adi Akmal, Abd Halim, Muhammad dan Shauqi bertindak sebagai penerbit album. Terdapat 9 trek dalam album ini.
Selepas kejayaan album Berjalan Tanpa Henti (2011) yang banyak mengangkat nama kumpulan ini di pentas industri muzik tanah air, kumpulan Devotees terus merancakkan landskap karier mereka dengan kemunculan album bersinergi dan magis, Devotees 336.
Berani bangkit dengan konsep unik, Devotees yang mewakili Devotees Music Works bersama-sama Al Baghdadi Method Sdn Bhd telah menghasilkan sebuah album berasaskan pelajaran al-quran yang menggunakan teknik Al Baghdadi. Album berbentuk pendidikan ini menghimpunkan 336 sebutan asas bagi 29 huruf hijayyah yang merangkumi bunyi mad, tanwin, sukun, sabdu dan sebagainya.
Album Devotees 336 memuatkan 11 track lagu istimewa yang diadun bersesuaian dengan muzik kontemporari telah disusun sendiri oleh kumpulan Devotees di samping menyuntik kelainan dengan menampilkan Devotees Junior yang bertindak sebagai suara latar. Devotees Junior diwakili oleh adik Muhammad Izzi Jalaluddin, 10 tahun, Muhammad Irfan Jalaluddin, 8 tahun, Muhammad Ilman Jalaluddin, 8 tahun dan Muhammad Aqil Jalaludddin, 12 tahun.