"Casablanca" (digayakan dalam semua huruf besar) ialah lagu yang dirakamkan dan dipersembahkan oleh Naufal Azrin dan Nuha Bahrin.[1][2] Lagu ini, yang mengandungi lirik bahasa Arab dan Melayu, ialah hasil nukilan oleh Daqmie dan Wan Saleh, manakala lirik oleh Daqmie dan Abdulkarim Al Ali dan dikeluarkan pada 20 Mei 2022. Meskipun tajuk lagu ini diambil dari ibu negara Maghribi yang bernama sama, namun ia tidak terkandung dalam lirik.[3]
Latar belakang dan rakaman
"Casablanca" ialah sebuah lagu yang berkonsepkan moden dengan pengaruh Timur Tengah. Ia merupakan kolaborasi pertama Naufal Azrin dan Nuha Bahrin. Naufal pernah menganggotai kumpulan nasyid Zayne, manakala Nuha ialah bekas peserta Vokal Mania di TV3 dan melancarkan single pertamanya, "XSEMPURNA" pada Mac 2021.[4][5] Nuha berkata mengenai proses rakaman lagu ini:
"Proses rakaman lagu alhamdulillah saya dan Naufal sangat faham antara satu sama lain. Jadi semuanya berjalan lancar. Pada saya proses penghasilan lagu ini sangat cepat dan saya rasa sebab pasukan ini sangat membantu. Semua orang saling tolong menolong, sokong satu sama lain dan berkongsi idea untuk menjadikan lagu ini lebih baik. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Saya harap semua orang boleh hargai usaha yang kami berikan untuk lagu ini,".
"Casablanca" dicipta oleh Daqmie dan Wan Saleh, manakala liriknya ditulis oleh Daqmie dan penulis lirik kelahiran Syria, Abdulkarim Al Ali. Amir Hufaz, Khairul dan Wan Saleh berkhidmat sebagai penerbit. Proses rakaman lagu ini mengambil masa sehari untuk disiapkan. Naufal berkata:
"Untuk bahasa Arab kami diberi tunjuk ajar oleh Abdul Karim, dia yang ajar kami supaya ia sedap didengari oleh orang. Kalau tak memang susah nak bawa, tapi bila dia ada ia menjadi senang. Abdul Karim juga boleh berbahasa Melayu, jadi ia memudahkan proses rakaman lagu ini,".
Lirik
Lirik lagu "Casablanca" menggabungkan bahasa Arab dan Melayu.[4] Di bawah ialah rangkap pertama (dinyanyikan secara berulang pada rangkap kedua) dalam bahasa Arab dengan terjemahan bahasa Melayu.
Asal
Terjemahan
يا حبيبي، يا نبض قلبي
خليك معايا طول الوقت ما تفارق عيني
بعدك يكويني، قربك يحيني
محتاجك جنبي دلوقتي وأيامي الجايه
وحدك أنت نصيبي، نور العين يا حبيبي
غيرك ما بعشق حدا
Duhai cintaku
Denyut jantungku
Tetaplah bersama aku sepanjang waktu, jangan berjauhan dariku
Jauh darimu membuat aku resah
Bersamamu aku bahagia
Tetaplah bersamaku saat ini dan selamanya
Kaulah satu-satunya milikku
Jantung hati kasihku
Tiada selain dirimu yang aku rindu
Muzik video
Sebuah muzik video telah diterbitkan bagi mempromosikan single ini, diarahkan oleh Huzai Abu Zarim dan dikeluarkan secara rasmi di saluran YouTube Masyhur pada 4 Jun 2022.[4] Sejak dikeluarkan, muzik video untuk "Casablanca" kini menerima lebih daripada 24 juta tontonan di YouTube.[6]
Persembahan secara langsung
Bagi mempromosikan "Casablanca", Naufal Azrin dan Nuha Bahrin mempersembahkan lagu ini secara langsung dalam rancangan MeleTOP di Astro Ria pada 13 Julai 2022[7][8] dan Malaysia Hari Ini di TV3 pada 16 Julai 2022.[9]
Persembahan komersial
"Casablanca" menjadi kejayaan secara komersial sejak dikeluarkan sekaligus berjaya mencuri perhatian pendengar di Indonesia[10][11] apabila ia menjadi lagu pertama tempatan yang paling tular dengan menduduki tangga teratas carta Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia.[6][12] Di aplikasi TikTok, lagu ini telah meraih mencecah 14.1 juta menerusi #casablancachallenge.[13][14]
Kontroversi
Tidak lama selepas dikeluarkan, "Casablanca" menjadi subjek kontroversi apabila sebaris ayat lagu ini yang berbunyi 'denyut jantung ku berdebar' dalam lirik lagu itu menerima teguran daripada pempengaruh media sosial yang juga guru Bahasa Malaysia, Saliza Ibrahim atau Cikgu Zack Kirana melalui media sosial. Cikgu Zack Kirana mendakwa istilah 'denyut' digunakan bagi menggambarkan jantung berdebar dalam lirik lagu itu. Namun, pandangan beliau disanggah beberapa personaliti media sosial lain. Mereka berpendapat tiada salahnya istilah denyut digunakan kerana membawa makna serupa.[15]