Besbol di Sukan Olimpik Musim Panas 2008 di Beijing telah berlangsung dari 13 Ogos sehingga 23 Ogos 2008. Kesemua perlawanan berlangsung di Padang Besbol Wukesong, yang merupakan venue sementara dibina di Pusat Kebudayaan & Sukan Beijing. Buat kali ketiga dalam sejarah Olimpik, pemain besbol profesional dibenarkan untuk bertanding walaupun tiada pemain aktif dari Major League Baseball.
Edisi ini merupakan kejohanan besbol terakhir di Olimpik sebelum Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengundi untuk tidak meneruskan besbol sebagai acara sukan yang dipertandingkan di Sukan Olimpik 2012.[1] Bersama-sama sofbol, besbol juga ditolak untuk dimasukkan ke dalam Sukan Olimpik 2016 dalam satu mesyuarat IOC pada Oktober 2009.[2] Walau bagaimanapun, dalam undian IOC 2016, besbol telah dipertandingkan semula untuk Sukan Olimpik 2020.[3]
Acara ini juga menguatkuasakan peraturan baru buat kali pertama oleh IBAF yang membenarkan setiap pasukan memulakan inning dengan dua pelari tapak (base runner) mulai inning ke-11.[4]Korea Selatan meraih pingat emas dengan merekodkan kemenangan 3-2 ke atas Cuba. Sementara itu, Amerika Syarikat merangkul pingat gangsa.
Lapan pasukan yang berentap di kejohanan besbol Olimpik dan ia terdiri daripada dua pusingan. Pusingan utama tertakluk kepada format round robin apabila kesemua pasukan akan berlawan antara satu sama lain. Berikutan itu, empat pasukan akan mara ke pusingan penyingkiran bagi penentuan pingat emas dan gangsa.