Rencana ini mengenai perkampungan di Kuala Lumpur. Untuk stesen LRT, sila lihat stesen LRT Kerinchi.
Kampung Kerinchi asalnya merupakan kawasan perkampungan utama dan luas di Kuala Lumpur, Malaysia. Namun, kini ia telah mengalami transformasi pembangunan yang drastik, sekaligus menamai projek pembangunan hartanah berintegrasi di pinggiran bandaraya Kuala Lumpur. Kerinchi juga kini lebih dikenali sebagai Bangsar Selatan (Bangsar South).
Kerja-kerja penaiktarafan kawasan yang berukuran 60-ekar (240,000 m2) ini dibangunkan oleh UOA Holdings Berhad selaku syarikat yang bertanggungjawab mendapatkan sebidang ekar tanah di Kampung Kerinchi sejak tahun 2005. Antara projek perumahan sedia ada dalam lingkungan terhampir di kawasan Kerinchi termasuklah Projek Perumahan Rakyat (PPR), apartmen dan flat mampu milik seperti Apartmen Vista Angkasa, Kampung Kerinchi dan Flat Sri Angkasa. Projek terbaharu, The Bangsar South, dijangka dapat membangunkan lagi kawasan Kerinchi pada masa depan. The Bangsar South merangkumi binaan menara dengan sentuhan moden dan kontemporari, kondominium hartanah kos pertengahan dan tinggi dan beberapa ruang komersial dan kedai aneka dalam satu hab perniagaan.
Sebelum pembinaan, pemaju telah merangka pelan penaiktarafan Kampung Kerinchi pada tahun 2007, justeru membawa kepada projek pelebaran jalan masuk utama, jambatan pejalan kaki berbumbung yang panjang menghubungkan Stesen LRT Kerinchi ke Kompleks Bangsar South dan kerja-kerja pemetaan landskap kontemporari.[1][2]
Penjagaan kesihatan
Menara LifeCare ialah pusat perubatan yang dibina bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan oleh masyarakat dan penduduk sekitar. Ia telah mula beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun 2012.
Selain itu hospital milik Universiti Malaya iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya juga turut menyediakan perkhidmatan kelas terbaik yang lengkap pada kadar yang murah dan berpatutan.